Saturday 1 September 2012

pengasuh ku cacat penglihatan


Aku di jaga pengasuh yang cacat penglihatan.

by Novelku Darjat Kasih on Sunday, 3 October 2010 at 00:57 ·
     
     Semasa aku masih kecil lagi kira-kira umurku dalam 3 @ 4 tahun, aku telah di jaga oleh pengasuh yang cacat penglihatan. masa tu 2 orang kakakku telah berkahwin. seorang lagi kakakku sibuk dengan kerjayanya sebagai tukang jahit. Dia belajar dan bekerja dengan kakakku yang sulung. Kakakku yang nombor dua telah berkahwin dan menjadi peneroka. Ibu dan ayahku sibuk menguruskan kebun.
      Masing-masing sibuk dengan hal sendiri, tinggallah aku yang mengharap belaian kasihsayang seorang yang aku anggap seperti kakakku sendiri. Yang nak aku kongsikan di sini ialah tanggungjawabnya menjaga aku yang nakal  dan memberi makan dan pakai pada aku dengan cukup sempurna sekali. Kak Zah itulah panggilan manjaku padanya. Walaupun aku dah besar, dia masih mendukung aku. Aku selalu mengusiknya. Waktu dulu dalam tahun 60an antara sebuah kg dengan kg yang lain di batasi semak. laluan pejalan kaki misti mengikut jalan kecil yang di kelilingi hutan. Jauhnya rumahku dengan rumahnya ialah 3 batu. Dalam perjalanan menuju kerumahku misti melalui padang, semak kecil, batas-batas ubi di celah kebun. Di perjalanan itu juga ada parit, kubang dan perigi buta.
      Aku memang nakal. Aku masih ingat waktu aku mengusik Kak Zah, hampir-hampir kami terjatuh dalam perigi buta gara-gara kenakalanku. Apa tidaknya, semasa aku di dukung kak Zah, akulah pemandu arah. aku cakaplah depan tu ada parit lalu sini, lepastu ada kubang, Kak Zah lalu ikut lain padahal tak ada, aku aje yang reka-reka dan seronok menipu Kak Zah. Kak Zah walaupun tidak nampak jalan, tetapi aku mana tahu, dia hari-hari melalui jalan itu untuk menuju kerumahku tentu dia dah hafal di mana ada parit, kubang dan perigi. Waktu dia lipat baju, aku pernah tanya dia warna-warna pada beberapa helai baju. Kak Zah jawab tepat sekali.
        Dulu rumahnya ada piring hitam atau recorder. lagu-lagu S Jibeng, lagu P Ramli dan lain-lain. Waktutu aku suka sangat lagu Si Baju Hijau. masatu ada kotak mancis cap duit syiling kat tepi kotak. Aku pura-pura putarkan punat pada kotak mancistu dan menyanyi lagu si baju hijau. Kak Zah ketawa dan terseyum simpul mendengar aku menyanyi sampai habis..
Bila aku sudah bersekolah, aku sudah tidak di jaga kak Zah lagi tetapi setiap hari selepas pulang dari sekolah, aku akan pergi ke rumah Kak Zah. Aku rasa damai dan bahagia di sana. Nak bermanja dengan abang jangan haraplah. Dia selalu merayap entah kemana. keliling rumah kak Zah ada pokok manggis, rambutan dan jambu batu. Aku selalu panjat pokok-pokok itu tiap-tiap petang. Aku selalu usik kak Zah, aku menyorok dan sergah dia. Kak Zah akan ketawa. Manis sekali.
      Pada hari cuti, pagi-pagi lagi aku sampai di rumah kak Zah. Dia pandai menoreh getah. Aku tabik dengan Kak Zah, walaupun dia cacat penglihatan, tetapi dia seorang wanita yang rajin. Sampai sekarang pun tidak pernah dia meminta sedekah. paling membanggakan dia memelihara ayam beberapa reban. Orang normal pun tidak ramai yang mengusahakan penternakan ayam sebesar itu. Kak Zah berjaya mendidik anak-anaknya kemenara gading. Ada yang dah bekerja. Lama benar aku tidak menemuinya. Sejak aku keluar dari kampungku menyambung pelajaran dan bekerja serta berumah tangga, jarang sekali aku pulang ke kampung. Apa lagi bila ibuku telah meninggal dunia pada tahun 2001. Semakin jarang aku balik.
      Kalau aku balik pun kerana perkara penting dan mengejar masa, walaupun hati rindu untuk menjenguknya, faktur masa membatasi dan tuntutan kerja sedang menanti. Aku korbankan rinduku padanya. Sehingga aku benar-benar terkilan, baru-baru ini aku ada balik kampung, tetapi masa sungguh tidak mengizinkan. Sebab aku tahu, kalau aku ingin menemuinya, banyak cerita yang nak di kongsi. Tentulah tidak cukup untuk sejam dua. Aku batalkan pemergianku kerumahnya. Satu hari, kakakku menaliponku dan beritahu suami kak Zah telah meninggal dunia. Betapa kesalnya hatiku saat itu. Dia membawa rinduku dan rindunya bersama, kerana sebelum kematiannya Abang Kasim, suami Kak Zah selalu menyebut-nyebut namaku dan teringin sekali menemui ku.
      Untuk pengetahuan semua, walaupun aku mengenali Abang kasim setelah dia berkahwin dengan Kak Zah, tetapi kemesraan dan kasihsayang saling tak tumpah seperti kak Zah sayang dan kasihkan aku. Abang Kasim pun cacat penglihatan. Mereka pasangan yang tabah. Allah itu Maha Kaya, kesemua anak-anaknya bijak dan normal. dan menjadi anak yang berguna serta taat pada ibu dan bapanya.
Aku tidak pernah melihat anak-anaknya, hanya diwaktu mereka kecil dulu.
      Aku masih ingat, sewaktu aku mengusik Abang Kasim ketika dia sedang leka menganyam bakul di Taman Rahmat. Aku mencabut rumput panjang dan berjalan perlahan-lahan, aku kenakan hujung rumput itu ketelinganya. Abang Kasim menepis-nepis dengan tangan, sambil menganyam bakul. Bila kali kedua aku buat lagi begitu, Abang kasim dah boleh menghidu kedatangan ku. "maksu Lah, bila sampai". tegur Abang Kasim manja sambil tersenyum riang. Aku bergurau, bermesra, bercakap dan melawak dengannya. Seolah-olah baru semalam...
Tetapi aku sudah kehilangannya buat selama-lamanya. Dia insan yang sungguh istimewa dalam hidupku. Kini aku benar-benar takut kehilangan Kak Zah pula. Aku berdoa pada Allah agar aku di beri kesempatan untuk menemui Kak Zah yang sangat aku rindui.....
      Ya Allah periharalah Kak Zah dan anak-anaknya. Berilah kesempatan untukku menemuinya lagi. Aku tidak sanggup rinduku di bawa pergi dan tidak dapat ku kutip lagi..............Amin YRBA.

No comments: