Thursday 18 October 2012

Novel 'DARJAT KASIH'~Bahagian pertama (Untuk Penilaian Karangkraf) Setelah diedit semula.


Novel 'DARJAT KASIH'~Bahagian pertama (Untuk Penilaian Karangkraf) BAB 1 ~ BAB 10, sekarang!!





Cepat! Sudah pukul 6.30 pagi, sebentar sahaja lagi mentari pagi akan menyinar. Rosak pula rancangan! Masdiana Idayu tergesa-gesa menyumbat beberapa pasang pakaian Amyra Adrya dan pakaiannya ke dalam sebuah beg besar. Segala dokumen penting juga jangan sampai tertinggal! Masdiana tahu di waktu ini ‘Along-along’ itu pasti tengah membungkam.
Mustapa, Lelaki Jawa itu juga, turut mengemas bajunya. Masdiana menjelingnya, namun tidak berdaya untuk berkata apa-apa.

“Zura, Maksu dah siap ni,”

“Ya, sekejap.” Masdiana segera mematikan telefon bimbitnya dan mengarahkan Amyra supaya keluar rumah dengan segera.

Zura, anak saudara lelaki Masdiana akan membawa mereka bertiga keluar dari situ. Zura tinggal selang beberapa buah rumah sahaja daripada rumah sewa Masdiana ketika itu.

“Ya Allah Ya Tuhanku, kau lindungilah kami dari segala mara bahaya, Amin Ya Rabbal alamin” Masdiana meraut mukanya. Wajahnya pucat dan keresahan. Namun Lelaki jawa itu hanya tenang dan bersahaja, pada dia seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku.

“Nak hantar ke mana ni?”

“Kau hantar saja kami, ke jalan menuju ke Air Hitam, jangan hantar ke stesen bas, Maksu bimbang kalau-kalau ada konco-konconya sedang memerhati di sana. Biar kami naik bas bersambung-sambung saja sehingga sampai ke Dungun.”

Masdiana benar-benar gelisah. Lelaki Jawa itu membisu. Amyra hanya diam dan sedia mengikut perintah ibunya.

“Berhenti saja di hadapan sekolah tu, lebih selamat”

“Baiklah, Maksu jangan lupa kirim salam kepada mak dan ayah saya ya? Jalan elok-elok, semoga selamat sampai” Zura bersalaman dengan Lelaki Jawa itu dan meninggalkan mereka bertiga di situ.

“Sudahlah Mus, kau janganlah ikut aku lagi, sampai di sini sajalah hubungan kita, pergilah kepada isteri dan anak-anak kau Mus, mereka pasti masih boleh menerima kau semula" Masdiana cuba memujuk Mustapa dengan lembut.

“Apa? Kau halau aku ya?” Mustapa menyepak beg pakaian Masdiana dengan sekuat hatinya, sehinggakan terpelanting hampir ketengah jalan. Mujur tidak ada kereta yang lalu.

Masdiana sempat mengambil beg pakaiannya kembali. Amyra memeluk Masdiana, tetapi tidak menangis. Ketika itu usia Amyra sembilan tahun. Terkebil-kebil mata Amyra memandang wajah bapanya. Watak begis seorang Lelaki Jawa yang bermisai tebal itu benar-benar membuatkan dada Masdiana berdegup kencang.
Masdiana diam. Dia bimbang kalau-kalau ada orang yang akan perasan gelagat mereka ketika itu. Lagi pun mereka berada di hadapan kawasan sekolah.

"Biarlah! Bersabar saja, nanti di suatu hari kau akan tahu juga siapa Masdiana" getus hati kecil Masdiana.

Masdiana menahan bas menuju ke Air Hitam, Masdiana duduk sebangku dengan Amyra, manakala lelaki Jawa itu duduk sendirian. Masdiana membayar tiket untuk mereka bertiga. Memang Lelaki Jawa itu tidak berduit! Habis buat bayar hutang ‘Along’! Masdiana menjeling Lelaki Jawa itu dengan perasaan panas hati. Jika terjadi apa-apa kepada Amyra, memang Masdiana tidak teragak-agak akan membunuh Lelaki Jawa itu! Masdiana peduli apa? Lelaki Jawa itu memang tidak bertanggung jawab, merosakan masa depanya dan Amyra. Sanggup meninggalkan anak dan isterinya sendiri dan mengikut telunjuk syaitan! Masdiana benar-benar marah. Tetapi pada masa itu, dia masih belum ada peluang untuk bertindak, walaupun dia mulai sedar. Sedar daripada perbuatan sihir Lelaki jawa itu.

*****
Malam itu juga, mereka sampai di Bandar Dungun.

“Abang Leh, boleh datang ambil kami sekarang tak?”

“Tunggu di rumah Mona ya, satu jam lagi, Abang Leh sampai." Setelah mematikan telefon bimbit, Masdiana menuju ke rumah anak saudara perempuannya itu, di flat Bijangga Dungun.

Mustapa tidak ada langsung perasaan malu. Pada dia, ilmu sihir yang sedang di tuntut itu akan dapat menarik kasih sayang keluarga Masdiana terhadapnya. Memang benar! Seluruh keluarga Masdiana tertarik dengan kelembutan budi bahasa Mustapa dan kasihan kepada Lelaki Jawa itu seorang sahaja.
Pelik! Semua anak-anak saudara yang lain menjadi dingin dan benci kepada Masdiana. Mereka semua menganggap perniagaan Lelaki Jawa itu hancur kerana Masdiana. Ya Allah! Hanya Allah sahaja yang tahu betapa selama ini, Masdiana tersiksa dan tertekan di dalam neraka ciptaan Lelaki Jawa itu.

Sebaliknya perniagaan kedai jahit Masdiana pula, terpaksa gulung tikar kerana Lelaki Jawa itu. Hutang bank sebanyak 12 ribu juga, terpaksa Masdiana tanggung sendirian, sedangkan Lelaki jawa itu yang kebas duit, untuk perniagaan ikannya. Apabila pusingan wang tidak cukup, Lelaki Jawa itu dengan mudahnya mempergunakan Masdiana sebagai penjamin, sewaktu membuat pinjaman daripada ‘Along’.

‘Along’ memang bijak, mereka hanya mahu menjerat peniaga-peniaga kecil dan akan mematikan perniagaan mereka saja. Apabila peniaga habis modal pusingan mereka akan menawarkan pinjaman dari kalangan mereka sendiri sehingga terjerat dengan ramai ‘Along’. Setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 malam, ‘Along-along’ itu akan mengawasi pergerakan Masdiana dan Mustapa. Rimas sungguh!

Masdiana dan Amyra menjadi mangsa ugutan ‘Along-along’ itu saban hari, sedangkan Lelaki Jawa itu diam bersembunyi di dalam bilik. Masdiana tidak dapat berbuat apa-apa, Masdiana hanya nekad, wang yang tinggal hanya sedikit itu, jangan dihabiskan semua untuk membayar hutang. Dan kini, Masdiana berjaya meloloskan diri dari cengkaman ‘Along’.

Di Dungun, Masdiana akan menumpang sementara di rumah kakak dan abang iparnya. Semuanya sudah dimaklumkan terlebih dahulu. Felda Jerangau adalah tempat yang paling selamat sebagai tempat persembunyian, sebelum mengatur langkah seterusnya untuk meneruskan kehidupannya yang sukar itu bersama anak kesangannya Amyra.
Lelaki Jawa itu, tidak habis-habis mengekori Masdiana. Dia tidak berdaya untuk memberitahu keluarganya hal sebenarnya. Mereka semua sangka Masdiana dan Mustapa benar-benar sudah bernikah.

Kenali watak-watak di dalam novel ini:-
Watak 1:Amyra Adrya (anak tunggal masdiana)
Watak 2:Afeqien Abduillah ( Ustaz muda)
Watak 3: Masdiana Idayu.(seorg ibu dan ayah )
Watak 4: Daneal Zul Qarnein (Tunang Farra Adeera)
Watak 5; Farra Adeera (Anak tunggal Datin Maznah)
Watak 6: Mustapa (lelaki Jawa)
Watak 7: Awang (abang kandung Masdiana)
Watak 8: Azizul Azrai (suami Masdiana)
Watak 9: Azmir Azril (anak tiri Masdiana)
Watak 10: Masripah (kakak kandung Masdiana)
Watak 11: Hajjah Hamimah. (ibu mertua Masdiana)
Watak 12: Suri dan Lela (kawan Amyra)
Watak 13: Datin Maznah (Mama Adeera)
Watak 14: Datin Mariam dan Dato' Zakaria (ibu bapa Daneal)


BAB 1
Di tempat kerja Amyra Adrya.


Tong!!... Pintu kaca 'Butik Permata' ditolak dari luar. Amyra Adrya tersentak dari lamunannya.

Sedari tadi Amyra sedang menyusun koleksi baju-baju baharu, yang baru sampai di butik tersebut, satu persatu diperhatikan. Amyra berangan-angan seandainya kesemua pakaian cantik tersebut miliknya, alangkah bertuahnya. 

Seorang pemuda tinggi lampai, berambut pendek dan berpakaian kemas masuk. Amyra mengamati pemuda tersebut. Dari wajahnya yang tampan dan bergaya itu, dia bukanlah sembarangan orang. Buat seketika Amyra terpegun. Dia berhenti menyusun baju-baju tersebut dan meluru ke arah pemuda kacak itu. .

 "Selamat pagi encik, boleh saya bantu?" ucap Amyra dengan suara yang lembut merdu.

Mata mereka bertemu seketika. Pemuda kacak itu terpaku. Diperhatikannya susuk tubuh Amyra. Kebaya labuh warna hijau pucuk pisang yang dipakainya kala itu membuatnya kelihatan cukup sempurna. Sepasang mata Amyra yang cantik, tidak berkedip apabila ditenung begitu. 

"Encik...di sini ada pelbagai pilihan tudung dan aneka fesyen baju terkini, semuanya direka khas oleh pemilik butik ini," jelas Amyra lagi memecah kesunyian.

Kebetulan pagi itu Datin Maznah keluar dengan dua orang pembantunya, kerana ada urusan di luar."Myra, jaga butik sekejap ya? lepas tengahari, kami balik semula," pesan Datin Maznah sebentar tadi. 

"Baik, datin..." kata Amyra sambil membuka pintu kaca Butik Permata untuk Datin Maznah. Butik ini entah cawangan yang ke berapa, Amyra pun tidak mahu ambil tahu. 

Butik ini baharu sahaja dibuka tiga bulan lepas, banyak lagi yang perlu ditambah dan disusun, sebab itulah Datin Maznah banyak menghabiskan masanya di butik ini. Butik ini luasnya satu lot kedai sahaja. Di Butik Permata ini, masih memerlukan pekerja. Amyra suka bekerja di butik pakaian, kerana mewarisi minat yang sama dengan ibunya Masdiana Idayu. Masdiana adalah seorang tukang jahit yang mahir. Amyra masih ingat lagi sewaktu dia masih kecil, ibunya pernah membuka kedai jahit di Kulai Besar, Johor. 

"Emm...saya nak beli sehelai selendang untuk bakal tunang saya, kami ada 'dinner' malam esok,” jelas pemuda kacak itu.

"Di sini ada banyak pilihan selendang Encik..."

" Daneal Zul Qarnein... panggil saya Daneal" celah pemuda kacak itu memperkenalkan dirinya.

"Nama you?" "Amyra, panggil saya Myra" Amyra tersenyum, sambil menggayakan selendang untuk dipilih Daneal.

"warna apa yang cantik?" "Untuk gadis yang berkulit cerah, warna krim ini cantik, batu permata dan juraian manik-manik di tepi selendang ini menambah lagi kejelitaan, tambahan pula, di waktu malam, pancaran lampu akan menaikkan lagi seri si pemakai" terang Amyra kepada Daneal, seperti dia mahir benar dalam bidang peragaan.

Amyra tersipu sendirian. Kalau pelanggan wanita susah untuk Amyra melayannya, mereka semua seakan sudah pandai memilih sendiri. Ada yang datang menunjukkan lagak. Kadang-kadang melihat-lihat sahaja tetapi tidak membeli. Itukah yang dikatakan 'window shopping?' tanya hati kecil Amyra. Buang masa.

"Saya ambil yang ini" Daneal memegang selendang berwarna krim, seperti cadangan Amyra tadi. Daneal melihat tanda harga, tanpa meminta diskaun, dia mengeluarkan wang kertas bernilai RM 300.00 kepada Amyra.

"Ini bakinya Encik Daneal, terima kasih, sila datang lagi"..ucap Amyra lembut. Jika ada sepuluh pelanggan seperti ini, lama-lama pun Amyra sanggup melayannya dengan senang hati. Amyra tersenyum sendirian.


BAB 2
Jamuan Makan malam di rumah Datin Maznah.

Hari ini, sabtu. Butik Permata akan dibuka sehingga jam 5.00 petang.

"Myra, petang nanti jangan lupa ke rumah saya, bantu anak saya mana yang patut, pukul 6.00 petang, pemandu saya akan datang jemput awak..." kata Datin Maznah mengingatkan Amyra.

Datin Maznah menjemput semua kakitangan syarikatnya untuk meraikan anak tunggalnya Farra Adeera yang baru saja tamat pengajiannya di luar negara. Farra Adeera sangat meminati bidang ' business study', sebab itu, tidak hairanlah jika gadis manis itu berjaya membawa pulang segulung ijazah. Datin Maznah yakin Deera akan dapat mengambil alih perniagaannya nanti. Selepas itu bolehlah dia bersara.

"Ibu, Myra pergi dulu ya, kereta pun dah sampai tu..." sambil bersalaman dan mencium pipi ibunya.

"jaga diri dan tingkah laku baik-baik, di rumah orang, jaga maruah kita." Masdiana memberi peringatan kepada anaknya. 

Amyra Adrya mengenakan sepasang baju kurung Pahang berwarna biru muda. Dipadankan pula dengan sehelai selendang yang dililit kemas. Dibiarkan sedikit hujung selendang yg bermanik halus itu terjuntai di pipi sebelah kirinya. Pin berbentuk bintang disemat kemas di tepinya supaya lebih menarik. Tona warna berbeza antara biru gelap dan biru cerah itu berselang seli, menaikkan lagi seri wajah Amyra. Bibirnya dicalit gincu berwarna oren muda. Pembayang matanya pula berwarna biru gelap gemerlapan.

Semua alat solek itu kepunyaan ibunya. Amyra belajar cara-cara mengenakan pembayang mata dan pemerah pipi daripada ibunya. Setelah Amyra pergi, Masdiana berdoa kehadrat Ilahi, semoga semuanya selamat.

Banglo tiga tingkat milik Datin Maznah tersergam indah.

"wah!...indah sungguh mahligai ini....bisakah aku mendapatkannya..." bisik hati kecil Amyra. Dia terasa begitu kerdil di situ. Dia mencuri pandang di kiri dan kanan kawasan banglo mewah itu.

" Cik Amyra, mari Mak Mah tunjukkan bilik Cik Puan Farra Adeera..." Amyra segera mengikuti Mak Mah, salah seorang orang gaji Datin Maznah yang paling lama dan dipercayai. Sepasang mata Amyra sempat berlegar-legar menghayati beberapa sudut di dalam banglo itu, yang rata-ratanya dihias indah

"Ini biliknya Cik Amyra..." Mak Mah berkata sambil mengetuk pintu bilik Farra Adeera. "Masuk..." terdengar suara yg tegas tetapi lembut, mempelawa. Mak Mah meninggalkan mereka berdua memperkenalkan diri masing-masing.

"hurm...cantik jugak, pembantu kedai baru mama ni," sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Amyra. Amyra terasa lapang dada dengan keramahan anak majikannya itu.

"Cik Farra tentulah lebih cantik...lihatlah gaun coklat muda ini sesuai sekali dengan selendang berwarna krim ini," puji Amyra ikhlas.

" Bakal tunang saya yang hadiahkan kepada saya semalam, katanya sesuai jika dikenakan dengan gaun ini, cantik tak?" tanya Adeera.

Amyra teringat, sewaktu Daneal memilih selendang itu di Butik Permata, kelmarin. Muka Amyra menjadi pucat. Tidak tahu kenapa. Dadanya berdegup kencang.

"Astaghfirullahal'Azdim" ucap hati kecil Amyra supaya bertenang.

"Sungguh padan sekali cik Puan" puji Amyra lagi.

"Ala, tak usahlah bercik-cik dengan saya, panggil jer Deera, kan lebih mesra," Sambil memegang erat kedua-dua belah tangan Amyra. 

Amyra merenung dengan kagum keanggunan wajah anak gadis Datin Maznah yang berusia awal dua puluhan itu. Wajah ayunya disolek dengan warna 'natural'. Menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Di halaman rumah, meja-meja berbentuk bulat telah di atur cantik. Meja-meja itu dialas dengan kain berwarna ungu. Kerusinya pula disarung dgn kain putih dan diikat dengan reben warna ungu. Cantik. Belon-belon berwarna ungu dan putih dijadikan pintu gerbang. Jambangan-jambangan bunga segar dan lampu-lampu neon berwarna-warni menambah keindahan pada malam itu. Pembesar-pembesar suara diletak di beberapa sudut penting. 'DJ' dijemput khas untuk memeriahkan lagi majlis itu.

Sudah ramai tetamu yang mula hadir. Datin Maznah sibuk melayan tetamunya. Lilin yang dipasang di setiap meja menjadikan suasana malam itu sungguh romantik. Karangan bunga mawar merah dan putih menggamit tetamu supaya duduk.

"Aunty, boleh Daneal berjumpa Deera sekejap?" tanya Daneal, kerana dari tadi dia tidak nampak pun kelibat bakal tunangnya. Dia resah. Tidak sabar untuknya menatap wajah Adeera pada malam itu.

"Silakan...Deera ada di biliknya," Datin Maznah mengizinkannya.

Dengan pantas, Daneal menghayun langkahnya menuju kebilik bakal tunangnya. Bilik Farra Adeera di tingkat satu. Dari atas 'balcony', akan nampak jelas pemandangan kolam ikan, kolam renang dan hiasan taman di halaman banglo itu.

Tok..Tok..! Pintu bilik Deera diketuk perlahan. Deera kenal benar dengan gaya ketukan itu. Deera tersenyum simpul lalu meluru ke muka pintu. Pintu biliknya dikuak cepat.

"Sayang...! kenapa lambat..!?" rengek Deera mesra.. Jemari mereka pun bertaut. 

Amyra terpegun sebaik-baik Daneal memusingkan tubuhnya bila terasa ada orang lain yang turut hadir di kamar itu. Lelaki itu! Lelaki yang mendapat layanan istimewanya ketika di butik hari itu. Tetapi kenapa dia harus berasa gugup dan goyah. Perlukah perasaan itu? Apapun Daneal tidak sempat memerhatikan Amyra kerana terpaksa fokus melayan gelagat manja Adeera.

Ah alangkah anggunnya tampang sepasang kekasih itu! Sungguh padan. Sama-sama tinggi lampai. Farra Adeera berkacukan Inggeris Melayu, berhidung mancung dan berkulit putih bersih. Daneal Zulkarnain yang segak mengenakan suite hitam, bagaikan seorang model yang sering terpapar di halaman-halaman majalah. Daneal masih tidak tidak sedar dirinya diperhatikan Amyra.

"Ehem..maaf, tumpang lalu, saya ingin ke bawah sebentar."

Daneal, tersentak seketika. Baru perasan. "Myra," bisik hatinya. "Cantiknya" hati kecil Daneal berbisik memuji-muji. Berbeza sekali penampilan gadis itu ketika ditemuinya di butik dulu.

Sepasang mata galak Daneal, memerhati gerak lengguk Amyra. Amyra adalah gadis kacukan Melayu Jawa. Berkulit kuning langsat. 

"Sayang..!" sergah Adeera. Daneal tersentak dari lamunannya.

"Siapa tu?". Daneal pura-pura bertanya.

"Ala..dia tu pembantu butik mama... jom! turun..." ajak Adeera.

Fikiran Daneal masih tertumpu kepada Amyra. Dia tidak tahu kenapa. Hati dan fikirannya tidak lepas-lepas terbayangkan wajah Amyra.

Di dalam bilik air, Ameera seperti mahu menangis. Dadanya berdegup kencang. Adakah dia cemburu?. Tidak mungkin. Siapalah dirinya.

Amyra teringat kata-kata ibunya, " jaga tingkah laku dan adab sopan di rumah orang, Jaga Maruah".

Amyra membetulkan pakaian dan tudungnya. Amyra cuba mengukir senyuman di cermin. Kaku terasa. Senyuman yang tidak ikhlas. Dia cuba juga, keluar dari tempat persembunyiannya itu. Sebaik sahaja Amyra melangkah keluar, tiba-tiba dari jauh, Amyra ternampak dua sejoli itu menuruni anak tangga satu persatu seperti puteri dan putera raja.

Gaun labuh Deera yang meleret menambah lagi keanggunan. Kali ini Amyra benar-benar rasa cemburu, apabila melihat mereka berpegangan tangan seiringan. Para tetamu pun turut mencuri pandang dan berbisik-bisik. Dato' Zakaria dan Datin Mariam tersenyum megah. Amyra masuk kembali ke dalam bilik air. Dinding yang penuh dengan batu marmar yang bersih berkilat itu, menampakkan wajahnya yang sugul. Sekali lagi Amyra menahan tangis sendirian.

Dari corong pembesar suara, Amyra mula terdengar ucapan Datin Maznah. Dia difahamkan Adeera dan Daneal akan ditunangkan pada bulan hadapan. Mereka juga akan dilantik menjadi orang penting dalam syarikatnya. Amyra tidak dapat tumpukan kepada ucapan Datin Maznah. Dia sekali lagi cuba untuk keluar dari tempat persembunyiannya itu. 

Amyra cuba bergaul dan duduk semeja dengan pekerja-pekerja lain. Memaksa dirinya berbual mesra dan sesekali tersenyum. Daneal masih mencuri pandang wajah Amyra Adrya, walaupun sesekali terpaksa melayan bakal tunangnya. Mereka duduk semeja bersama Dato' Zakaria dan Darin Mariam. 

"Cantik sungguh Deera malam ini," puji Datin Mariam, bakal ibu mertuanya.

"Terima kasih Aunty..." kata Deera sambil tersenyum.

Setelah selesai amanat dan ucapan yang disampaikan oleh Datin Maznah, semua hadirin di jemput menikmati hidangan. Lagu-lagu sentimental menjadi suasana bertambah tenang dan romantik.



BAB 3 Tidak bertepuk sebelah tangan.

Datin Maznah menjemput semua pekerja di syarikatnya ke majlis yang sederhana itu. Ada yang membawa ahli keluarga masing-masing. Dalam kesibukan itu, Datin maznah sempat juga beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Tetamu menjamu selera sambil berbual, sesekali kedengaran gelak ketawa. 

Amyra Adrya, menjamah hidangan dengan perlahan. Kemana melayang fikirannya, menerawang, menggangtang asap, sehinggakan tidak mendengar perbualan rakan-rakan semeja. Dia khayal dalam lamunan yang direka-rekanya sendiri. Sesekali Amyra mencuri pandang kepada Daneal yang duduk di meja hadapan. Namun wajahnya yang disimbahi cahaya lampu led di celah-celah pokok hiasan, jelas kelihatan. Amyra berdebar dan cemburu; terasa panas dadanya, apabila melihat kemesraan Deera. Amyra terasa pelik, kenapa dia mesti cemburu. Puas dia bertanya-tanya di dalam hatinya. Sudu dan garfu bermain-main di atas steak, tidak disuapkan ke mulut, bahkan ditusuk-tusuknya berkali-kali. Amyra melayan perasaannya sendiri.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, para tetamu semakin beransur untuk pulang. Dato' Zakaria dan Datin Mariam juga turut memohon diri. 
 "Daneal, mama balik dulu ya, jangan balik lambat; dan jangan nakal-nakal tau," Datin Mariam menjeling tanda amaran kepada anak tunggal kesayangannya. Setelah bersalaman, mereka pun berlalu.

"Datin, Deera, Myra pun nak balik dulu ya, ibu Amyra ada di rumah seorang tu," jelas Amyra kepada Datin maznah.

"Eh, kenapa tidak ajak ibu Myra sekali tadi, dapat juga berkenalan, tunggu sekejap ya, Myra..." 
Datin Maznah pandai menjaga hati pekerja-pekerjanya kerana pada pendapat beliau, untuk mencari pekerja yang baik bukan senang sekarang ini, tambahan lagi gadis-gadis sekarang lebih suka memilih kerja. Pekerja baginya adalah 'asset' penting dalam sesebuah syarikat itu. Pekerja yang didikasi dan tekun dalam pekerjaannya akan membuatkan syarikat untung berlipat kali ganda.

"Mak Mah, tolong bungkuskan makanan untuk Amyra bawa pulang ya... oh ya, Mak Mah ada nampak Deris?." Tanya Datin Maznah.

Dari tadi lagi Datin Maznah tidak nampak batang hidung Deris, pemandunya.

"Maaf Datin, Mak Mah terlupa nak bagitahu Datin, Deris ada bagitahu Mak Mah, dia terpaksa pulang, sebab isterinya sakit hendak bersalin. Agaknya dia ke hospital, mungkin Deris tak nak ganggu Datin, sebab itu dia tidak bagitahu Datin. lagipun Deris tergesa-gesa tadi." Kata Mak Mah sambil meminta maaf.


Semua tetamu mengucapkan terima kasih kepada Datin Maznah dan memohon diri untuk pulang. Ada yang datang dari jauh, yang mana bekerja di cawangan-cawangan di luar Kuala Lumpur. Ada juga yang menghantar wakil. Sebab itulah rakan serumah Amyra pun terpaksa keluar daerah untuk menggantikan tempat di cawangan-cawangan yang belum cukup pekerja buat sementara waktu. Jawatan-jawatan kosong telah pun diiklankan di dada akhbar untuk memenuhi kekosongan pekerja di beberapa cawangan Butik Permata milik Datin Maznah di seluruh negara.

"Deera, Aunty, Daneal pun ingin meminta izin untuk pulang, nanti apa pulak kata mama..." kata Daneal sambil menghadiahkan senyuman untuk bakal tunangnya.

"Daneal, Pak Deris dah balik, boleh tak, Daneal tolong tumpangkan Amyra kerumah pekerja di jalan Melati?" Tanya Datin Maznah kepada Daneal.

Dada Amyra berdegup kencang. Sekali lagi mukanya pucat. Cahaya lampu led berwarna hijau di situ dapat menutup wajah kelat Amyra saat itu.

"Aduh..macamana ni," detik hati kecil Amyra.

 "Tak apalah Daneal, pergilah, hantarkan Amyra, kasihan dia, dah malam ni, Deera dah penat sangat," Deera memegang tangan Daneal dengan mesra. 
Setelah bersalaman dengan semua, Amyra dipelawa Daneal masuk ke kereta. Pertama kali Amyra melihat kereta sebegini cantik. Model Mercedes Benz dua pintu, warna hitam. Apatah lagi untuk menaikinya. Sungguh bertuah dirasakannya pada malam ini. Macam dalam cerita Cinderella pula layaknya. Amyra tersenyum simpul. Perasan. Daneal membuka pintu untuk Amyra dan mempersilakan Amyra naik dengan mesra. Ternyata Daneal seorang yang sungguh romantik. Pandai ambil hati dan pada dirinya ada segala-galanya. Bertuah sungguh kepada sesiapa yang dapat memiliki Daneal.

Daneal memasuki kereta, seiringan enjin kereta dihidupkan, hati Amyra bergemuruh lagi, bagaikan petrol yang sedang mendidih. Malam yang pekat dan sejuknya penghawa dingin tidak terasa oleh Amyra. Hebat sungguh getaran perasaannya. Bertepuk sebelah tangan akan membuatkan dia kecewa; Amyra tahu itu. Sudah berkali-kali dia memujuk hatinya bahawa, dia tidak layak untuk Daneal. Daneal tidak akan memandangnya walaupun sebelah mata, Amyra yakin itu. Amyra malu untuk menatap wajah Daneal.

"Myra, kenapa dengan awak?, awak takut ke?" Terpacul soalan Daneal membuatkan Amyra tersentak dari lamunan. 

"Ti, tidak ada apa-apa..." jawab Amyra gugup.

Daneal tidak lepas-lepas memandang Amyra.

"Cantik dan menawan.” Detik hati kecil Daneal. Ramai gadis yang pernah dia jumpa, namun kecantikan Amyra sungguh berbeza sekali. Ada tarikan magnetik. Pertama kali dalam sejarah, Daneal membawa keretanya begitu perlahan. Supaya lambat sampai dan dapat menatap wajah Amyra sepuas-puasnya.

 "Berhenti di sini, En. Daneal, sudah sampai.” 
Daneal memberhentikan kereta mewahnya.

"Amyra, saya suka awak..." 
"Astaghfirullahal 'Azdim...." ucap Amyra perlahan, berkali-kali. 

"Tidak mungkin." Bisik hati kecilnya. 

"Izinkan saya keluar dulu En. Daneal..."

Daneal dengan pantas membuka pintu kereta buat gadis cantik yang sedang mencuri hatinya.

"Nanti kita jumpa lagi," pinta Daneal sambil menghulurkan sekeping kad kecil.

Amyra segera masuk ke halaman rumah teres dua tingkat, khas untuk pekerja itu, tanpa menoleh kepada Daneal. Dia benar-benar malu dan gementar kerana tidak menyangka sama sekali bahawa dia kini tidak bertepuk sebelah tangan.

Wednesday 17 October 2012

Darjat kasih bab 11~12


DARJAT KASIH

Kenali watak-watak di dalam novel ini:-
Watak 1:Amyra Adrya (anak tunggal masdiana)
Watak 2:Afeqien Abduillah ( Ustaz muda)
Watak 3: Masdiana Idayu.(seorg ibu dan ayah )
Watak 4: Daneal Zul Qarnein (Tunang Farra Adeera)
Watak 5; Farra Adeera (Anak tunggal Datin Maznah)
Watak 6: Mustapa (lelaki Jawa)
Watak 7: Awang (abang kandung Masdiana)
Watak 8: Azizul Azrai (suami Masdiana)
Watak 9: Azmir Azril (anak tiri Masdiana)
Watak 10: Masripah (kakak kandung Masdiana)
Watak 11: Hajjah Hamimah. (ibu mertua Masdiana)
Watak 12: Suri dan Lela (kawan Amyra)
Watak 13: Datin Maznah (Mama Adeera)
Watak 14: Datin Mariam dan Dato' Zakaria (ibu bapa Daneal)

BAB 11
PILIHAN KELUARGA.

“Hello, saya datang sekarang…” Amyra segera mematikan telefonnya.

“Lela, Suri, aku nak keluar sekejap, tolong jaga kedai ya?, Setengah jam lagi aku balik.” Amyra meninggalkan mereka berdua dengan seribu tanda tanya.

Amyra berjalan laju menuju ke Restoran Bambu. Dia bimbang kalau-kalau dia diperhatikan. Amyra mencari-cari meja tempat Daneal duduk. Daneal melambaikan tangannya ke arah Amyra.

“Encik Daneal, kenapa seperti ada hal mustahak benar, encik Daneal nak jumpa saya ni?” Tanya Amyra sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi empuk di Restoran Bambu itu.

Mereka berpandangan. Amyra merasa kekuk dan malu. Meja bulat yang mereka duduk itu tersorok dan terlindung dengan pokok bunga hiasan di dalam restoran tersebut. Sengaja Daneal memilih tempat sebegitu supaya lebih tenteram.

“Pesanlah makanan dulu, lepas tu kita cerita.” Daneal memandang Amyra tidak lepas-lepas.
Amyra memesan nasi goreng kampong. Amyra merasa bersalah kerana keluar dengan Daneal bakal tunang Adeera, majikannya. Kalaulah mereka tahu, habislah Amyra. Tentu kena buang kerja serta merta. Amyra tidak tahu kenapa dia begitu berani untuk berdua-duaan dengan Daneal.

“Cik Deera sakit apa?”

“Deera penat sikit jer, tidak cukup rehat, ‘stress’ dengan tugas baru dan majlis pertunangan kami.”

“Kesian Cik Deera…” Amyra tunduk membisu, air mukanya sedih.

“Ok, Deera tak apa-apa, janganlah risau ya?.” Daneal menenangkan Amyra.

“Myra, terus terang saya katakan kepada awak, awak lebih sempurna, walaupun Deera istimewa buat saya. Keluarga kami yang jodohkan, supaya saham Syarikat Permata tidak jatuh ketangan orang lain. Kami bukan jatuh hati pandang pertama seperti saya memandang awak. Awak ada megnatik.”

Hati Amyra mulai berdebar. Nasi goreng kampung yang sedang disuapkan ke mulut, hampir terburai. Amyra cuba mengawal perasaanya saat itu.

“Saya tahu awak juga sukakan saya, saya sungguh-sungguh.” Mata Daneal memandang tepat kewajah Amyra seperti memohon simpati.

“Tapi bahaya encik Daneal, kita tidak boleh begini, pertunangan encik Daneal dengan Cik Deera Cuma beberapa hari saja lagi. Tidak kesiankah kepada Cik Deera yang terlantar di hospital tu?” Amira serba salah.

“Kenapa pertemuan kita begini?, kenapa kita tidak di ketemukan lebih awal?” soalan yang tidak patut Daneal tanya. Itu hak Allah SWT. Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya.

“Encik Daneal kena kuat, ini semua ujian, lebih baik kita keluar sekarang, sebelum ada sesiapa yang perasan kita berdua disini. Saya susah, encik Daneal pun susah.” Kata Amyra memujuk Daneal dan juga dirinya sendiri supaya sedar siapa dia sebenarnya pada waktu itu.

“Saya betul-betul tidak tahu Amyra, kenapa fikiran saya terus-terusan kepada awak saja, sejak pertama kali jumpa di Butik Permata dan sekali lagi di bilik Adeera, terasa awaklah milik saya.” kata daneal lagi seperti merayu.

“Encik daneal, saya dah lambat, lebih baik saya keluar dulu ya? Biarlah masa yang akan menentukan. Janganlah di sebabkan ini, saya kehilangan kerja saya, saya tidak mahu encik Daneal.”

Amyra tidak menyangka sama sekali pertemuan seketika itu membawa erti yang sungguh berkesan sekali. Amyra terpaksa keluar dari restoran tersebut sebelum kejadian buruk berlaku. Manalah tahu.

“Amyra, saya benar-benar sayangkan awak.” Daneal memegang tangan Amyra.

“Sudahlah Encik Daneal, jangan buat saya macamni, saya keluar dulu…” Amyra terpaksa keluar juga, walaupun belum puas bersama Daneal. Dia tidak mahu di anggap perempuan murahan.
Amyra selalu mengingati pesan ibunya supaya sentiasa menjaga maruah.

Daneal merenung sepi makanan yang ditinggalkan Amyra.

“Mengapa aku begini?, mengapa aku seperti orang bingung, aku sudah tidak seperti dulu, sentiasa riang apabila bertemu gadis-gadis dan bersukaria. Ilmu apa yang Amyra pakai, sehinggakan aku benar-benar jatuh hati dan tergila-gilakannya?” Daneal berkata-kata di dalam hatinya.

Amyra seorang yang lembut, manis dan bertudung. Daneal tidak menyangka sama sekali dia boleh terpikat dengan gadis seperti ini. Padahal sebelum ini Daneal selalu bangga apabila berkepit dengan wanita-wanita yang seksi dan ‘vogue’. Kuku-kuku mereka penuh inai. Rambut-rambut palsu yang beranika warna, berkanta lengkap dan berpakaian menjolok mata. Tetapi semuanya keseronokan itu, sementara dan hilang. Amyra telah berjaya mencuri hatinya. Daneal rasa tenang dan benar-benar bahagia apabila berada disisi Amyra.


BAB 12
Hari yang dinanti sudah tiba.

Kelab Darul Ehsan Ampang Mulai dihadiri tetamu dari kedua-dua belah pihak sejak awal lagi.
Semua pekerja turut dijemput meraikan majlis pertunangan di antara Adeera dan Daneal.

Adeera masih lemah kerana baru sehari keluar dari wad. Majlis pertunangan itu mesti diteruskan juga kerana persiapan dan kad-kad undangan telah dikirimkan. Gubahan hantaran telah siap ditempah.

Adeera anggun dengan gaun kuning air, Daneal pula mengenakan sepasang baju melayu berwarna krim dan bersamping.

“Amyra, awak dan rakan Daneal menjadi pengapit di majlis pertunangan Adeera itu nanti” kata Datin Maznah kepada Amyra seminggu yang lalu.

“Cantiknya kau Myra, kalah Cik Deera kita tu , siapa yang akan bertunang ni?” usik Lela dan Suri apabila melihat Amyra mengenakan baju di Butik Permata dan sedang disolek oleh juru solek yang dijemput khas, sebelum mereka menuju ke majlis tersebut.

“Tercapai jugak impianku untuk memakai pakaian yang cantik di Butik Permata ini” kata hati kecil Amyra sambil tersenyum.

Tepat pukul 1.00 tengahari, majlis dimulakan dengan alunan pukulan gamelan daripada Persatuan Gamelan Ampang.

Jarang orang membuat majlis pertunangan yang sebesar ini. Seperti melanggar adat, bakal tunang Adeera akan duduk di pelamin itu seperti persandingan. Mereka akan duduk bersama untuk sessi bergambar.

Sementara itu, Adeera duduk bersendirian di pelamin yang dihias indah  manakala, Daneal duduk di kerusi yang telah di khaskan sebelum acara majlis dijalankan. Amyra berada di sisi Adeera sambil memegang kipas untuk menutup wajah Adeera sebagai adat. Sekiranya di rumah pihak perempuan, selalunya gadis yang akan di tunangkan itu, akan berada di dalam bilik, sehingga bakal ibu mertua datang untuk menyarungkan cincin dan melihat sendiri kesahihan gadis yang bakal menjadi tunang anak terunanya.

Acara di teruskan dengan berbalas pantun diantara pihak lelaki dan pihak perempuan, mengikut adat tradisi lama.

Pantun daripada pihak lelaki dijual terlebih dahulu.
Petang-petang pergi memukat,
Di bawa juga sebatang joran.
Kami datang membawa hajat,
Untuk menyunting bunga di taman.

Pantun sebelah perempuan pula dijawab, 
Bunga di taman sudah berkembang,
Sedang menunggu dipetik Tuan.
Jikalau sudah jodoh si kumbang,
Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

Pihak lelaki pula membalas pantun itu;
Bunga mawar sibunga tanjung,
Buat gubahan untuk hantaran.
Cincin di hulur bersirih junjung,
Kepada Puan kami serahkan.

Kedengaran tepuk  gemuruh daripada hadirin. Pantun di jawab pula oleh pihak perempuan.
Indah sungguh karangan Tuan,
Indah lagi budi bahasa.
Terima kasih kami ucapkan,
Kerana sudi mengikat tanda.

Pihak lelaki tersenyum lalu membalas pantun yang di jual.

Daun selasih, daun kasturi,
Berbesar hati sambutan diberi.
Hati gembira tidak terperi,
Semoga pertunangan di berkati Ilahi.

Pihak perempuan segera mempelawa dengan pantunya.
Dulang lima berbalas tujuh,
Harap terima dengan ikhlas.
Di persilakanlah jangan berpeluh,
Silalah ambil cincin di bekas.

Datin Mariam dijemput pengacara majlis untuk acara menyarungkan cincin kejari manis Farra Adeera. Daneal tidak dapat menumpukan perhatian kepada acara majlisnya sendiri. Perasaannya berkecamuk, kerana wajah kesayangannya berdiri di hadapan mata, sedangkan wajah Adeera di tutupi kipas yang dipegang Amyra itu.

“Ya Allah Ya Tuhanku, kau lindungilah aku daripada perkara-perkara yang tidak di ingini berlaku, kau tenangkanlah hati Daneal supaya tabah, semoga majlis ini sempurna dan selamat, Aamiin Ya, Rabbal Aalamin…” doa Amyra di dalam hatinya, apabila melihat Daneal tidak lepas-lepas merenung ke wajahnya.

Amyra menjadi resah dan tidak selesa, namun dia berjaya mengawal perasaanya. Amyra tidak mahu Daneal terlebih perasan nanti, dia tetap mengukir senyuman yang manis di hadapan hadirin, semoga tidak ada sesiapa pun yang akan tahu.

Datin Mariam menuju kepelamin, Amyra memperlihatkan wajah anggun Adeera dengan menjatuhkan kipas hiasan yang berbulu putih itu perlahan-lahan.

“Cantik sungguh bakal menantu ‘aunty’, mari ‘aunty’ sarungkan cincin ini kejari manis Deera” Datin Mariam tersenyum bangga, didalam hatinya, terdetik saat yang di tunggu itu akan menyusul pula.

Datin Maznah memerhati dengan rasa lega, kerana Adeera sihat hari itu. Datin Maznah dan Adeera tersenyum gembira.

Pukulan gamelan berbunyi lagi. Indah iramanya. Setelah upacara menyarung cincin dilakukan. Nama Daneal pun dipanggil.

“Sekarang, dijemput pula encik Daneal Zul Qarnein bin Zakaria naik kepentas dan dipersilakan duduk di sisi tunang beliau, di persilakan.”

Tiga minit berlalu, semua hadirin memandang kepada Daneal yang masih terpaku di kerusi khas itu. Amyra menjadi resah. Renungan mata Daneal tepat menembusi anak matanya.

“Sekarang dijemput Encik Daneal naik kepentas” ulang pengerusi majlis sekali lagi dengan nada yang lebih keras sedikit.

Daneal tersentak dari lamunannya, apabila dicuit rakannya yang menjadi pengapit Daneal. Daneal bangun dan menuju ke pelamin dan berjalan seiring dengan pengapitnya. Hadirin gelihati dan masing-masing berbisik sesama sendiri.

“Baru bertunang, sudah berangan-rangan, kalau bersanding betul-betul di majlis perkahwinan nanti pengsan gamaknya…ha…ha…ha…” rakan-rakan Daneal tidak henti-henti ketawakan Daneal.

“Kenapa dengan awak ni?” tanya Adeera perlahan, sebaik sahaja Daneal duduk di sebelah kanan Adeera di pelamin kecil itu.

Dada Amyra berdegup kencang apabila melihat Daneal bersama Adeera di pelamin. Dia rasa sungguh cemburu.

“Sekarang dengan hormatnya menjemput yang berbahagia Ustaz Latiff untuk membacakan Doa Selamat, bagi memohon restu kepada Allah, semoga majlis pertunangan ini di berkati Ilahi hendaknya, di persilakan” Pengerusi majlis memberi alat pembesar suara kepada Ustaz Latiff untuk membacakan Doa.

Semua hadirin menadah tangan dan berdiam diri. Ustaz latiff  membaca Doa sehingga selesai.
Setelah semua mengaminkan Doa itu, hadirin dijemput untuk menikmati hidangan di ikuti dengan pukulan gamelan yang mengasyikan. Daneal dan Deera serta kaum keluarga sibuk dengan sessi bergambar.

Darjat kasih bab 10


BAB 10.
Farra Adeera pengsan.
“Myra, tolong saya tambahkan manik berwarna kuning ke atas gaun ini ya, di sini...begini...” Deera Nampak sedikit cemas.
“Lela, Suri, tolong letakkan tanda harga pada stok yang baru sampai ini dan susun di sana...”
“Jahit macamni bolehkah cik Deera?” Myra menghulur gaun yang telah di jahit maniknya itu.
“Cik Deera...Cik Deera...” Amyra menggoncang-goncang bahu Adeera lembut.
“Lela, Suri, Cik Deera pengsan!...cepat telefon Datin Maznah dan Ambulan!” Amyra cemas.
Amyra tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku kepada Adeera. Hari bahagianya semakin hamper. Semuanya sudah siap di atur.
“Tidak dapat panggil Datin,” Lela cemas sambil berkali-kali menekan nombor telefon Datin Maznah.
“Hantar pesanan ringkas, “ Amyra menyuruh. Cemas benar mereka bertiga saat itu.
“Suri dah telefon Ambulan, sekejap lagi sampai,” Suri bersuara cemas dan berjalan kehulu dan kehilir.
Lela mengelap muka Adeera dengan tisu basah. Masih tidak sedar juga.
“En. Daneal, maaf mengganggu, Cik Deera, pengsan di butik sekarang, Datin Maznah tidak Berjaya di hubungi,” kata Amyra gugup. Pertama kali amyra menelefon Daneal.
“Deera, Suri, Ambulan dah sampai!...” Lela membuka pintu Butik Permata untuk mereka.
“Deera, bagaimana dengan Deera sekarang?” Suara Datin maznah cemas di hujung talian.
“Ya, Datin, sekarang saya dan Suri teman Cik Deera di Hospital Pusrawi di jalan Tun Razak, “ Jawab Amyra ringkas.
Amyra dengar Datin maznah mematikan telefon. Amyra tahu tentu waktu ini Datin Maznah risau benar tentang kesihatan anak tunggalnya.
“Deris, tolong hantarkan saya ke Hospital Pusrawi di jalan Tun Razak, sekarang, cepat sikit ya?” Perintah Datin Maznah kepada pemandu peribadinya.
“Baik Datin.”
“Selamat pagi, saya nak Tanya, sekejap tadi adakah seorang perempuan bernama Farra Adeera binti Ahmad Frothen mendaftar masuk?” Tanya Datin Maznah cemas.
“Sebentar ya puan, biar saya lihat...” Kata petugas kaunter pertanyaan dengan senyuman mesra.
“Ya, ada puan...puan naik lift itu ke tingkat lima, sila tunjukan kertas ini kepada petugas di situ ya puan...” Jelas petugas wanita tadi dengan nada yang lembut sambil menunjukkan ke pintu lift.
Sebaik sahaja menuju ke tingkat lima, Datin Maznah terpandang Myra dan Suri sedang duduk di ruang menunggu.
“Myra bagaimana dengan Cik Deera?”
“Cik Deera sedang dirawat, kita di suruh menunggu di sini, sebentar lagi mereka akan panggil kita.” Amyra dan Suri bersalaman dengan Datin Maznah tanpa berkata apa-apa. Masing-masing cemas dan risau.
Amyra tersentak apabila telefonnya berbunyi. Walaupun perlahan, boelh mengejutkan lamunan semua orang saat itu. Cepat-cepat Amyra mendapatkan telefon itu di dalam kocek beg galasnya.
“Ya, Walaikumussalam... Cik Deera berada di wad Hospital Pusrawi di jalan Tun Razak, Encik daneal, ya, Datin Maznah sudah sampai,” jawab Myra yang sesekali anak matanya memandang Datin Maznah. Amyra gugup di kala bercakap dengan Daneal, tidak tahu kenapa.
“Selamat pagi semua, adakah saudara terdekat Cik Frra Adeera di sini?” Tanya seorang juru rawat bertugas.
“Saya ibunya...”
“Sila ikut saya ya puan...” Datin Maznah mengikuti jururawat itu dan meninggalkan Amyra dan Suri dalam keadaan tidak keruan.
“Amyra, di mana bilik Cik Deera?” Tanya Daneal cemas, sebaik sahaja muncul di hadapan mereka berdua.
Amyra dan Suri sangat terkejut.
“Oh, maafkan saya,”
Suri mengamati wajah Daneal yang tanpan itu. Tidak berkedip.
“Sila tunggu sebentar, encik Daneal, Datin Maznah sedang mendengar penerangan di bilik doktor.” Daneal tidak duduk, dia berjalan kesana kemari. Nampak resah sekali seperti menunggu kelahiran anak pertama. Kata-kata Amyra tadi bagaikan dengar dan tidak.
“Pesakit di beri suntikan dan tidak di benarkan melawat lagi buat masa ini.” Kata jururawat itu kepada Daneal sebentar tadi.
“Cik Amyra dan Cik Suri, sila ikut saya, Datin Maznah menyuruh saya membawa kamu berdua pulang ke butik.” Jelas Deris, sebaik sahaja menemui mereka di  ruangan menunggu.
Amyra begitu lega. Dia tidak mahu berada bersama-sama Daneal di situ. Lemas terasa.
“Cik Deera sakit apa.” Tanya Deris kepada mereka berdua.
“tidak tahu lagi pakcik, kami belum mendapat apa-apa maklumat lagi...Datin pun belum keluar dari bilik doktor.” Jawab Suri.
Amyra membatu. Fikirannya melayang entah kemana. Pertemuan dengan Daneal menghilangkan sedikit rasa kerinduan di hatinya. Amyra masih terbayangkan Daneal. Satu persatu sambil tersipu-sipu sendirian. Suri tidak tahu apa-apa.
“Hei, Myra, kau tak nak turun ker?..mengelamun Nampak?” Sergah Suri.
 Bergegas, Amyra keluar daripada kereta ‘BMW ‘ hitam itu.
“Ruginya kau tak dapat ikut ke hospital tadi...wow! hensemnya Daneal... bakal tunag Cik Deera...hurmmm... tentu Cik deera bahgaia sangat apabila berada di sisi Daneal nanti...tentu Cik Deera cepat sembuh...” Sambil kedua belah tapak tangan Suri dirapatkan dan di letaknya di pipi. Matanya memandang kesyiling sambil berangan.
“Heh, suri, apalah kau ni, melebih-lebihlah pulak...”
“Ha..ha..haha ...” Lela dan Amyra tersenyum dan ketawa melihat Suri yang sedang di timpa perasaan itu.
“Siapa yang nak pergi makan, jom...aku dah penat duduk kerja sorang-sorang dari tadi ni, pelanggan sorang pun tidak datang...” Kata Lela sambil mencebik bibirnya yang berlipstik merah terang itu.
“Oklah, Suri, kau denga Lela pergi makan, biar aku sorang yang jaga kedai..., tapi jangan lama-lama pulak...” Suri dan Lela keluar sambil melambaikan tangan kepada Amyra, rakan serumah mereka.
Amyra leka memerhati setiap sudut dan mula memegang gaun yang terbengkalai tadi. Amyra merasa sungguh simpati dengan nasib Deera, mungkin terlalu penat fikir Amyra sendirian.
“Tong!...” Pintu di tolak dari luar. Amyra tersentak dari lamunannya.
“Daneal...buat apa dia di sini?, kenapa dia tidak berada di sini bakal tunangnya?” Bisik hati kecil Amyra.
“Amrya, awak dah makan?...saya nak ajak awak keluar makan ni...”Amyra tersentak mendengar pelawaan Daneal.
“Tak boleh encik Daneal...Suri dan Lela tengah rehat, tidak ada siapa yang jaga butik...” Amyra cuba mencari alasan untuk mengelak.
“Baiklah, saya menunggu di restoran Bambu di hadapan sana, satu jam lagi saya telefon...”Daneal bagai mengharap benar. Seperti ada sesuatu yang ingin di sampaikan Daneal kepadanya.
“Err..Cik Deera, bagaimana sekarang?...”
“Kalau awak nak tahu, sekejap lagi kita cakap halt u sambil makan...ok?” Sambil melirik dan tersenyum, Daneal keluar daripada butik. Mengharap.
Amyra semakin cemas dan gelisah. “Ada-ada sajalah Daneal ni, apa aku nak buat sekarang ni?”
Amyra tidak dapat meneruskan kerjanya, dia termenung dan termenung.

“Hah, apalah kau Myra, dah lapar sangat ker?, sampai monyot macamni sekali?, macam ayam di berak kapur jer...aku tengok, kau ni kenapa?, sakit jugak ker?, atau sakit angau?”
“Ha..ha..ha..ha..” Suri dan Lela ketawakan Amyra. Amyra menjeling tajam sambil tersenyum.
Perkataan ‘angau’ membuatkan Amyra tersenyum. Dia sedang mabuk, mabuk rindu.