Monday 22 April 2013

Siapa tuanmu 5


Doktor telah mengesahkan lelaki itu tidak mengidap darah tinggi mahupun kencing manis. Lelaki itu hidup dalam keadaan yang miskin. Kais pagi makan pagi. Bekerja keras dan mengeluarkan banyak peluh tentu badannya sihat dan kuat. Jangan kata untuk mendapat sakit berat, demam dan sakit kepala pun jarang-jarang sekali dalam setahun. Itu adalah pengakuan benar daripada isteri lelaki itu.

Lelaki itu membuka matanya. Dia melihat di sekelilingnya.
"Aduh!! Bisanya kaki aku. Tolong! Tolong! Sakitnya. Apa yang gigit nih!! Aduh!!" jerit lelaki itu sekuat hatinya. Dia meronta-ronta, mahu membuka balutan di kakinya itu. Semua yang berada di dalam wad itu terperanjat. Pesakit yang sedang tidur pun terbangun.
Jururawat berkejaran, menarik skrin dan memeriksa lelaki itu. Doktor telah dipanggil.

"Astaghfirullahal 'Azdim...." isteri lelaki itu yang terlihat kaki kanan suaminya hampir termuntah. Cepat-cepat dia berlari ke bilik air.

Terdengar isi perut ibu muda yang sedang mengandungkan anak ke dua itu, keluar bercurahan. Penat dan menggigil badan ibu muda itu. Dia longlai di dalam tandas. Anak lelakinya cepat menghidu kesukaran ibunya di dalam tandas itu lalu memimpin ibunya keluar. Kerusi roda disorongkan ke punggung ibunya. Kekuatan anak kecil itu amat membanggakan. Sedang orang lain sedang berkerumun memandang peristiwa yang sangat mengerikan itu.

Isi pada sekitar tempat luka itu hitam dan membusuk, tidak ubah seperti yang berlaku ke atas pegawai bank di Paka. Virus apakah itu? Semua bertanya-tanya sesama sendiri.
Doktor telah membuat keputusan untuk memotong kaki kanan lelaki itu. Walaupun kuman itu merebak tidak begitu pantas, tetapi bimbang jika tidak dipotong, daging yang lain akan terus membusuk. Bau yang menyesakkan itu menyerang ruang wad tersebut. Semua pesakit dan penjaga menutup hidung masing-masing.

Setelah isteri lelaki itu pulih kembali, dia dipanggil jururawat untuk menandatangani surat keizinan supaya membenarkan doktor membuat pembedahan ke atas kaki kanan suaminya yang mulai mereput dan merebak. Tidak boleh dibiarkannya lagi. Pasti akan bertambah parah. Sama. Doktor pakar pun tidak tahu virus atau kuman berbahaya jenis apa. Doktor yang merawat lelaki itu dan berpengalaman selama hampir 20 tahun, sungguh hairan dan pelik kerana kuman yang paling bahaya seperti itu, baru pertama kali dia melihatnya. Doktor itu juga tidak dapat mencari punca atau vaksin apa yang sesuai untuk membunuh atau sekurang-kurangnya dapat melemahkan kuman ajaib tersebut.

"Jangan dipotong kakinya. Biar saya cuba. Semoga dengan izin Allah dia akan selamat. Insyaallah" kata seorang lelaki setengah abad. Entah dari mana lelaki itu tiba-tiba muncul dan mencelah.

Ibu muda itu tidak jadi untuk menandatangani surat keizinan tersebut. Mulut lelaki separuh abad yang bersarban itu, berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Dia sesekali menghembus dan menyapu kaki kanan pesakit tersebut. Pesakit itu berhenti mengerang. Lelaki separuh abad itu memberi minum air putih yang telah siap dijampi.

"Bacalah Bismillah dan Berselawatlah. Insyaallah kuman itu akan kepanasan dan hilang" kata lelaki separuh abad itu dengan penuh yakin.

"Terima kasih Ustaz" ucap isteri pesakit itu.

"Saya bukan Ustaz. Saya orang biasa sahaja" kata lelaki separuh abad itu lalu memohon diri untuk berlalu.

Isteri pesakit itu tidak sempat untuk bertanya alamat lelaki tersebut. Manalah tahu jika ingin berubat lagi dia boleh menuju ke rumah lelaki itu. Namun dengan sekelip mata lelaki separuh abad yang berjubah hijau dan berserban putih itu sudah hilang dari pandangan.

Suami ibu muda itu telah lena tidur. Keadaan di dalam wad itu telah sunyi dari pekikan dan lolongan pesakit. yang tadinya agak kecuh, seperti bersahut-sahutan diantara pesakit dengan pesakit di situ. Masing-masing yang mengaduh kesakitan itu tiba-tiba senyap sejurus lelaki separuh abad itu berlalu pergi.

siapa tuanmu 4

Di suatu petang yang aman dan tenteram. Langit cerah. Udara yang sepoi-sepoi bahasa. Serang pekerja mesen rumput sedang leka menjalankan tugasnya. Waktu asar sudah hampir melabuhkan tirainya. Lelaki itu masih leka untuk menyiapkan tuganya yang hanya tinggal sedikit sahaja lagi. Cuaca sudah meluai dingin itu membuatkan lelaki itu tidak mahu berhenti. Tinggal hanya sedikit kawasan lagi. Tentu dia dapat mengagaknya, sebelum menjelang magrib pasti kawasan itu akan selesai semua rumput-rumput itu dimesennya. esok boleh beralih ke kawasan lain pula. cepat dia menghabiskan kerja-kerjanya, cepat dia akan mendapat upah yang berbaloi.

Adakah dia tidak tahu? Virus laknatullah sentiasa berkeliaran di dalam udara, di dalam tanah, di atas pokok, di celah-celah rumput, di tunggul-tunggul kayu, di batu-batu besar dan kecil. malah di mana-mana sahaja. Leka! Pasti terkena Virus Laknatullah!!

"Aduh!!" Lelaki itu terpandang satu tusukan ranting kayu kecil terpacak di kakinya.

MasyaAllah! Dia tidak memakai pelindung kaki yang sempurna? Kasut kain yang dipakainya di tembusi ranting kayu yang tajam mengenai tepat di atas kaki kanannya.
Darah merah mengalir pekat mebasahi kasut putih itu. Dia memberhenti tugasnya serta-merta. Tadi dia bertekad untuk menghabiskan kerja itu, namun terbengkalai sudah. Dia kecewa.

"Allah, sikit saja. Ranting kayu ini pun bukannya besar mana. Hanya tinggal 20 x 20 kaki persegi lagi. Aku boleh bertahan. Aku boleh" kata hati lelaki itu. Dia mencabut ranting kayu itu sambil menahan kesakitan. Yakin boleh!

"Aduh!! Bisa pulak!" kata lelaki itu jelas.

Seminit kemudian, lelaki itu telah rebah dan pengsan. Injin mesen rumput tadi sempat dimatikan oleh lelaki itu terlebih dahulu, kalau tidak kemungkinan besar kepalanya akan hilang diputar alat mesen rumput yang tajam itu. Bahaya!

Kebetulan pemandu kenderaan melihat kejadian itu, lalu membawanya ke hospital berdekatan. Lelaki itu di masukkan ke hospital berdekatan. Sedangkan Isteri dan anak-anaknya kerisauan.

"Ibu, mana ayah? Sudah malam belum pulang lagi?"

"Sabarlah. Ibu pun tidak tahu hendak mencarinya di mana? Ibu berdoa saja semoga dia selamat. Aamiin" ucap isteri lelaki itu cemas.

Sebentar kemudian, pemandu kereta yang telah membawa suami kepada ibu tadi datang membawa perkhabaran yang duka.

'Assalamualaikum. Suami puan sudah berada di hospital sekarang. pergilah melawat dia. Dia pengsan sewaktu bekerja tadi di tepi lebuhraya tadi"

"Terima kasih encik"

"Marilah saya hantarkan puan sekarang bersiaplah, saya tunggu"

"Terima kasih sekali lagi encik. Baiklah saya bersiap sekarang"

Pemandu kereta itu sabar menunggu ibu muda itu bersiap. Dia harus menolong ibu itu, kerana tentu di waktu ini teksi atau bas sukar diperolehi untuk menuju ke Hospital itu. Sesampainya di hospital, ibu muda itu mengucapkan jutaan terima aksih kepada pemandu kereta itu. Walaupun dia tidak mengenalinya, dia pasrah dan yakin untuk menumpangnya ke hospital. Di dalam hatinya bedoa semoga itu bukan satu pembohongan. Ternyata benar. Suaminya ditempatkan di wad lelaki. Terlantar kaku dengan kaki kanannya berbalut.

"Misi, boleh saya tahu, apa yang terjadi kepada suami saya?"

"Dia cedera ringan di kaki kanannya kerana tercucuk ranting kayu yang patah semasa dia sedang bekerja senja tadi"

"Ya Allah" ibu itu menutup mukanya dengan kedua tapak tangannya lalu menangis sedih. Anak lelakinya yang baru berumur enam tahun itu pun turut menangis.

"Sabarlah puan, Insyaallah suami puan tidak apa-apa. Cedera sedikit sahaja"

Siapa tuanmu3

Suaminya seorang yang aktif, lasak dan muda belia. Anak-anaknya masih kecil. Dia bekerja sebagai pegawai di sebuah bank di Paka, Dungun. Isterinya adalah seorang guru. Hidup mereka sekeluarga aman dan damai. Bahagia dan ceria. 

Seperti selalu, suaminya akan ke padang untuk bermain bola dengan rakan-rakan sekampung. Ketagihan bermain bola itu menjadi rutin setiap petang sehingga menjelang magrib. Sedang berseronok menggelecek bola dan menendang, tiba-tiba pegawai bank itu terjatuh ke atas rumput. Lututnya melecet sedikit. Dia meneruskan permainan itu. Tanpa memperduli luka kecil. Pemuda yang gagah serta sasa tubuh badannya itu tidak sedikit pun terasa sakit. Permainan diteruskan lagi. Tidak puashati jika tidak menyumbat gol penutup bagi pihaknya. Azan pun berkumandang bersama sorak kemenangan bagi pihak pegawai bank itu. Dengan perasaan gembira dan kepuasan, dia melangkah deras menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter sahaja dari padang tersebut.

"Petang esok jangan lupa! Aku nak sumbat gol pulak" jerit rakan sepermainannya sambil melambakan tangan.

Setelah membersihkan badan, pegawai bank itu terasa sesuatu yang aneh menyerang betis dan pahanya. Bengkak, sakit, panas, pedih dan berdenyut-denyut.
"Aduh! Bisanya! Seha, tolong abang!"
"Abang kena apa?"
"Abang terjatuh semasa bermain tadi, tetapi luka sikit saja, takkanlah sakit sekuat ini? Aduh! Tolong abang Seha, cepat tolong abang. Aduh!"

Suami Seha mengerang seperti luka terlalu parah, padahal dia selalu luka dan melecet seperti itu, tidak pernah dia mengaduh. Sera bersegera memanggil kakak dan abang iparnya yang hanya tinggal berjiran.

"Kak, tolong abang Mie kak, dia terjatuh semasa bermain bola, tidak teruk, tetapi dia mengerang dan meraung-raung seperti dirasuk. Tolong bawa dia ke hospital"

Setelah tiba di hospital Dungun, betis dan kaki suami Seha membengkak teruk. Doktor telah memberi suntikan menurunkan bengkak. Tetapi lain pula yang berlaku.
Setelah x-ray dijalankan, daging di betis dan paha sebelah kanannya kehitaman dan mereput dengan cepat. Tidak sampai lima jam, peristiwa itu berlaku.

"Suami puan terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Terengganu kerana memerlukan pemeriksaan yang lebih mendalam. Kami tidak dapat mengesahkan kuman apa yang telah merebak di dalam daging suami puan. Diharap puan dapat bersabar"

Siapa tuanmu 1

Keindahan pemandangan di sekitar penempatan kita sekarang ini hampir pupus. Pencemaran udara semakin menebal dan menyesakkan dada. Semuanya kerana kerakusan tangan manusia itu sendiri. Musnah habitat haiwan dan makhluk-makhluk halus. Ular pernah masuk di dalam rumah penduduk kampung. Monyet dan kera lebih senang mencuri makanan di dapur. Tidak ada lagi tumbuhan-tumbuhan hutan dan buah-buah kayu yang manis untuk santapan sang ungka. Unggas tidak dapat mencari dahan untuk betenggek berhenti lelah.

Ketika dunia semakin canggih dan semakin maju, semakin ramai pula yang telah berjaya disesatkan oleh syaitan yang durjana dengan lebih mudah. Kealpaan kepada dunia menjadi-jadi. Makin ramai yang telah bersahabat dengan jin-jin. Jika 100 tahun dahulu, ramai yang membela khadam untuk menjaga rumah atau menjaga anak-anak dara. Malah masih ada sampai sekarang, berkhidmat pada keturunannya yang dipanggil saka. Amalan-amalan untuk tampak cantik menawan, kuat dan gagah serta disayangi orang. Lama-kelamaan akan memakan diri sendiri.

Pemujaan dan ancak dipersembahkan di pohon-pohon kayu besar. Di busut-busut jantan dan di rumah-rumah pusaka atau di rumah-rumah tinggal. Memuja dan menyeru roh-roh orang mati untuk memuja nombor ekor dan sebagainya. Karut, sesat lagi syirik kepada Allah SWT. Perkara ini akan menjadikan syaitan-syaitan itu berkeliaran mencari mangsa. Kealpaan kita untuk membaca ayat-ayat Al Quran sebagai pendinding diri ketika keluar rumah akan mudah terkena ilmu hitam ini. Na 'Auzubillahi Minzalik.

Namun berapa ramai yang telah menerima gangguan makhluk halus ini? Sebab ada yang ingin bersahabat dengannya. Ingin berkawan dengannya. Tidak susah untuk seseorang itu berdamping dengannya.

Seperti: Leka dan lalai bermain, melebihkan hal-hal dunia sehingga meninggalkan sembahyang. Atau tidak menjawab Azan.

Atau; Melengah-lengahkan sembahyang lima waktu. Boros dalam berbelanja. Membazir atau membuang makanan. Lama menggunakan bilik air. Semua perkara itu akan melemahkan iman seseorang. Apabila iman seseorang itu menjadi lemah, mudah bagi syaitan dan iblis masuk ke segenap urat saraf seseorang itu.

Dulu, aku tidak percaya. tetapi setelah aku mengalaminya sendiri, barulah aku sedar. Sedar akan keujudan makhluk lain yang menumpang makan, tidur dan beranak pinak bersama-sama dengan kita.

Siapa Tuanmu?

siapa tuanmu 1;

kuman apa yang sedang merebak dan telah memamah daging mangsa sehingga membusuk begitu pantas? Doktor pun tidak pernah kenal kuman jenis ini. Tidak nampak jelas dengan mikroskop.
Tidak pernah ada nama kuman jenis ini. Doktor pakar pun bingung dan tidak dapat memberi penjelasan yang tepat. Ujikaji terhadap tisu badan pesakit diperiksa setiap empat jam sekali dan pembasmi kuman jenis paling kuat diberikan kepada pesakit, namun daging paha pesakit kian banyak yang mereput.

"Usahakan sahaja dengan perubatan Islam. Ini bukan sakit biasa"

"Mustahil jika dagingnya membusuk teruk hanya setiap empat jam merebak lagi dan lagi dapat diselamatkan?"

"Kita kena yakin, berdoa dan bermohon kepada Allah. Dia yang Maha Berkuasa di atas sesuatu. Jika dikehendakinya sembuh, pasti akan sembuh"

Saudara mara kepada lelaki yang sedang menderita hebat itu berbincang dan berikhtiar. Ustaz yang pandai pun dipanggil. Air bacaan ayat-ayat Al Quran pun direnjis ke seluruh betis dan paha yang kian kecil kerana ditarah dagingnya oleh Doktor Pakar. Pesakit itu, tidak berhenti-henti meraung kesakitan yang tidak terkata hebatnya.

Tercium bau seperti kulit hangus yang sedang terbakar. Bau seperti mayat yang dibakar di rumah-rumah pembakaran.

"Insyaallah, dengan IzinNya, kuman-kuman syaitan itu akan segera lari kerana kepanasan"kata Ustaz itu.

Esoknya, setelah ujian makmal dibuat, Doktor Pakar itu terkejut. Kuman yang pelik itu, sudah tidak kelihatan lagi.