Friday 11 January 2013

plot enovel diari seorg menantu 3

Petikan daripada eNovel diari seorang menantu.
12/1/13

Shahrul Nizam baru sahaja pulang dari pasar. Banyak lauk dan sayur-sayuran yang dipesan emaknya. Penuh meja. Macam-macam ada.
Maya Ayuni turun ke dapur. Dilihatnya apa yang dibeli. Cili padi dah ada, dibeli nya lagi, limau kasturi pun dibelinya lagi. Cepat-cepat, cili padi yang ada di dalam peti sejuk mak mertuanya dimasukkannya ke dalam peti sejuknya, sebab selalunya jika dia beli yang baru, yang lama mesti dibuangnya walaupun masih segar dan elok lagi. Semalam, ubat gigi masih boleh digunakan dalam 10 kali gosok pun senang-senang saja dibuangnya. Maya Ayuni mengutipnya semula dari dalam tong sampah di tingkat atas di hadapan pintu bilik air itu. Kalau membazir nombor satu.

"Hah, hari ni nak masak apa pulak kita?" tanya emak mertua Ayuni.
Ayuni berpandangan dengan suaminya sambil tersenyum.

"Apakata hari ini kita makan ikan. Kita masak ikan bakar, air asam"

Ayuni hanya berdia diri sambil tersenyum. Malas untuknya membuka mulut, kalau dah itu kata emak mertuanya. Terserahlah, apa yang Ayuni boleh katakan lagi? Bukan emak mertuanya terima pun kalau dia memberi cadangan.

Nak dengar Ayuni berkata " Ikan bakar? Ui... Sedapnya mak...ikan bakar lama tak makan...Nak, nak!" Begitu? Baru hidungnya nak kembang, sebab menantunya suka dengan cadangannya? Kalau dia rasa seronok apabila menantunya suka jika dia bagi cadangan, apa kata sesekali jika menantu bagi cadangan tu, tolonglah seronok jugak! Ini tak pernah dipersetujuinya. Tak payahlah, Ayuni dah biasa makan ikan bakar di rumah itu. Hari-hari makan sedap, dah tak terasa lagi hari yang istimewa untuk sesekali makan sedap.

Emak mertuanya sedang sibuk mengemas bahan mentah dan sayuran. janganlah kita cuba nak tolong dia mengemas, dia tidak suka. Semua plastik dari pasar akan dibuang dan ditukarynya dengan plastik yang baharu dari dalam rumah. Ya! memang jaga kebersihan. Takut nanti ada kuman hipetatis B yang melekat pada plastik, maklumlah dah lalu dan berselisih dengan ramai orang. Manalah tahu kalau-kalau plastik itu sudah dijangkiti kuman merbahaya!

Kalau orang miskin? Adakah dia akan tukar plastik lain? Tentulah terus menyimpannya ke dalam peti sejuk, tanpa memikirkan perkara sejauh itu. Ya, kalau pun kita berbelanja di pasar, mereka semua menggunakan plastik yang baru, mana ada peniaga guna plastik terpakai? Itu cara mak mertuanya! Pelbagai saiz plastik dibeli dan disimpan di dapur untuk menukar palstik dari pasar. Macam berniaga pula layaknya. Plastikkan mahal!

"Itu ikan kembung mak belum pesiang lagi"

"Mak nak suruh Ayu pesiang ke?"

"Tak lah, biarlah mak buat"

Pulak! Kalau dia yang nak pesiang buat apa nak cakap. Aduhai, dia rasa penat, tapi dia tak harap menantunya pesiang ikan takut, masih ada darah yang masih melekat.

"kalau mak nak simpan sayur-sayur tu, tak apalah Ayu naik dululah mak" kata Ayuni lagi, dia tidak suka membuang masa di dapur, dengan hanya berbual-bual kosong dan akan menyinggung perasaannya saja. Baik dia naik ke atas, Buat apa-apa yang patut. Masa itu jam baru menunjukkan ke pukul 10.00 pagi.

Pukul 10.30 pagi, Ayuni turun lagi ke dapur.

"Mak tinggal kat Ayu 4 ekor ikan kembung belum dipesiang, kotlah Ayu nak tangkap gambar bila dah masak nanti tak ada ekor pulak, tak cantik" alasan. Padahal dia tak larat nak pesiang semuanya tadi. Patutlah cepat siap. Kalau tak, mahu setengah jam lagi baru nak selesai pesiang ikan tu. Dia pesiang untuk dia masak kari saja, dua ekor.

"Mak cakap betul-betullah, mak nak suruh Ayu bakar ikan tu ke? Gambar ikan bakar dah banyaklah mak, buat apa nak ambil gambar lagi?" mak mertuanya cuba memahami hobi menantunya itu. Sejak gambar Ayuni masuk dalam majalah tentang chef blogger, barulah dia mulai menyukai hobi Ayuni. Kalau tak, dulu memang seperti berbulu sahaja di mata mak mertuanya, apabila setiap kali Ayuni masak lauk, Ayuni akan mengambil gambar terlebih dahulu.

"Mak nak naik mandi dululah, sekejap lagi mak turun masak kari" sekejap tu, mahu-mahu satu jam.

Maya Ayuni mulai tugas memasak. Dia pesiang ikan, ambil daun pisang dan menyediakan satu kotak kecil santan.
Dihamparnya sekeping daun pisang, lalu diletakknya ikan kembung tadi keatas daun pisang itu. Santan kotak tadi dicurahkan ke atas ikan kembung tadi dan dilumurnya hingga rata. Disediakannya kuali leper dan dituangnya sedikit minyak, lalu ikan yang telah dibalut dengan daun pisang itu, dibakar diatas kuali leper tadi. Aroma dan asapnya berbau ke seluruh dapur hingga ke ruang tamu.

Sambil menunggu ikan bakar itu masak, dia memotong sayur sawi. Fish ball dibelah dua. Sedikit so un, dicuci dan digunting. Bawang Horland dipotong baji. Bawang putih dimayang nipis. Dia menumis bawang bersama sedikit serbuk lada sulah. Wangi. Sambil itu Maya Ayuni membersihkan sawi lalu dimasukkan ke dalam periuk yang ditumis dengan bawang tadi. Dimasukkan 4 senduk air lalu didihkan. Stok ayam, sedikit sos tiram dan seasoning Maggi diletaknya sedikit sahaja, untuk perasa. Secubit garam lagi ditambah, untuk rasa yang secukupnya.

Air asam, yang emak mertuanya sebutkan tadi ditukarnya menjadi sambal kicap. Lama Ayuni tidak makan ikan bakar bersama sambal kicap. Asyik-asyik air asam!

Masak lemak cilipadi semalam dipanaskannya, begitu juga dengan asam tumis mak mertuanya semalam. Sotong goreng pun ada sepiring lagi. Hah! Dah penuh meja dengan lauk pauk, masih lagi nak masak kari ikan? Entahlah, jika itu sudah cara dia. Ayuni malas nak kata apa lagi dah. kalau Ayuni lapar, dia terus akan makan. Tidak payah lagi nak tunggu lauk kari ikan daripada emak mertuanya. Lagi pun lauk kari ikan tu, dimasaknya kerap sangat. Dah jemu makan rempah. Nak juga lauk-lauk yang ringkas dan rebus-rebus macamni. Cuaca panas-panas masih nak pekena rempah. Aduhai! Sabar sajalah!

"Mak, Ayu dah lapar sangat ni, dah pedih dah perut ni. kalau mak nak masak kari tu, masaklah, Ayu nak makan dulu ni" kata Ayuni. Sengaja dia berkata begitu, sebab selalunya, mak mertuanya akan tetap dengan pendiriannya, dia akan masak juga kari ikan itu, walaupun memakan masa satu jam lagi. Dia sanggup berlapar. Nak makan lauk dia jugak!

Mak mertuanya pegang dan lepas ikan itu ke dalam bekas yang sejak berjam-jam tadi dibiarkan diluar. Membasuh ikan sampai lembik dan pucat putih, kemudian dibiarnya pula di atas meja. Mana nak segar lagi? Pilih ikan dan sayur nak yang segar, tapi dedahkan macamtu berjam-jam lamanya, tak ada ertinya. Sayur, pilih yang baik, tetapi apabila memasak sayur itu, sampai lebik, tak ada gunanya. Tapi dah itu cara dia. Biarkanlah!

Sekarang pukul 11.30 pagi. Ayuni tidak peduli, dia ambil pinggan dan makan nasi.

"Emak nak masak kari dulu ke? Ayu tak buat air asam ni, lama tak makan sambal kicap" Muka mak mertuanya berkerut.

"Tak campur budu?"

Tengoklah! Dia punya fikiran, asyik negatif saja. Buat Ayuni jadi marah. Takkanlah Ayuni nak letak budu, sedangkan dia tahu yang emak mertuanya tidak makan budu. Mana ada sambal kicap orang letak budu. Okeylah! Sebab dia tu dah tua. Mungkin dia dah nyanyok! Dah tak ingat walaupun beberapa kali Ayuni telah menghidangkan sambal kicap seperti itu kepadanya. Oleh kerana di dalam fikirannya asyik lauk Utara saja yang terpateri, jadi lauk dari daerah lain, dia tidak mahu merasai kehebatannya. Susah sungguh!

"Mak, ini sambal kicap, Ayu tak kata pun sambal kicap budu, atau sambal budu kicap. Bahan dia, kicap manis, limau kasturi, bawang besar dan cilipadi saja" mak mertuanya terdiam.

Ayu melihat mak mertuanya mengambil pinggan dan mengambil satu senduk nasi. Dalam hati Ayuni, nak pulak maknya makan nasi seawal jam 11.30 pagi? Selalunya pukul 3.00 petang baru nak makan. walaupun Ayuni masak seawal pukul 12.00 tengahari atau paling lewatnya menghidangkan lauk pada pukul 1.30 tengahari. Senyum. Jangan berkata apa-apa. Namun kalau nak dia merubah masa makannya, tentulah mustahil. Untuk sehari ini mungkinlah!

"Mak, kalau di Utara. makan ikan bakar dengan air asam. Di sebelah selatan pulak, makan ikan bakar dengan sambal kicap. Kalau di Pantai Timur pulak, ikan bakar dicicah dengan budu. Mak kena terima masakan tu semua. Tak bolehlah mak nak ikut selera Utara saja. Orang lain pun nak makan jugak selera masakan di negeri-negeri lain" Ayuni mulai berkhutbah. Suka atau tidak, mak mertuanya kenalah menadah telinganya.

"Mak, Ayu risau nanti kalau lah mak jatuh sakit. Terlantar di hospital. mak tak suka masakan di hospital tu. mak nak masakan mak jugak. Macamana? Sebab tu dari sekarang mak kena terima juga masakan orang lain" kata Ayuni lagi. Dia cuba menyedarkan mak mertuanya. Tetapi Ayuni tidak mengharap dia boleh berubah. Sekadar memberitahunya.

Usai makan, Ayuni masih duduk di sisi emak mertuanya. Selalunya Ayuni akan bersegera menuju ke biliknya. Dia akan meninggalkan mak mertuanya menghabiskan makan sendirian. Sebab mak mertuanya makan lambat, dan dia lebih suka berkemas dapur sendiri. Pada dia, dialah yang mencuci dapur dan pinggan pangkuk dengan lebih bersih.

"Mak, Ayu nak cakap sikit nih, ada kawan Ayu nak bagi tugas menguruskan taska, tetapi Ayu kenalah duduk di Klang. Ayu kesian pulak nak tinggalkan mak seorang. Nanti siapa pulak nak tolong mak masak, buang sampah dan basuh alas kaki tu" Ayuni cuba memancing fikiran mak mertuanya. Adakah Ayuni masih diperlukan di rumah itu?

"Mak tak mahu, kalau mak dok sorang-sorang kat rumah ni. Kalau Ayu tak ada, susahlah mak. Orang lain sibuk" Ayuni hanya tersenyum. Dalam hati Ayuni berkata "Tahu pun orang lain tak ada masa untuk bersamanya, lain kali tu hargailah jugak hati menantu yang sorang ni. Layanlah sama adil, jangan dok berat sebelah. Mungkin dia baru sedar, selama ini pernah Ayuni berkata kepada ibu mertuanya;

"Mak, setiap anak menantu mak semuanya ada kelebihan masing-masing. Janganlah yang kaya dan berpangkat itu dilayan dengan lebih baik dan terlebih nampak kasih sayangnya. Ayu ni, walaupun hidup menumpang dirumah mak, tetapi semuanya ada hikmahnya mak. Ayu tak kerja, tak ada pangkat, miskin, tak ada rumah, tetapi Ayu ada banyak masa untuk mak. Sepatutnya mak haruslah bersikap sama rata dan adil"

Masa itu, Ayuni pernah menyuarakan rasa tersinggungnya dan tidak puashatinya terhadap mak mertuanya yang melayan serta bangga-banggakan anak menantunya yang lain berlebih-lebihan. Tetapi masa itu barangkali, dia rasakan tiada apa-apa yang bakal terjadi. Apabila Ayuni menyuarakan hasratnya itu, wajahnya mulai sugul dan bersedih. Semoga dia lebih insaf dan memahami. Janganlah dibeza-bezakan lagi diantara anak-anak menantu. Sesungguhnya mereka semua adalah saling melengkapi diantara satu dengan yang lain.

No comments: