Wednesday 23 January 2013

kisah seorg menantu, sebelum diedit


“Mas pergi dulu mak”
“Mas nak pergi ke mana pulak?”
Masdiana hanya berdiam diri, malas untuk dia menjawab soalan itu. Masdiana pura-pura tidak mendengar dan pura-pura sibuk mencari capal untuk dipakainya. Dengan wajah yang murung, Masdiana membuka pintu dan melangkah pergi meninggalkan emak mertuanya. Kalau hendak diikutkan memang perbuatan Masdiana itu melampau terhadap ibu mertuanya, tetapi Masdiana bukanlah seorang yang terlalu baik, yang boleh terima seadanya. Dia ada hati dan perasaan. Jika sekali dua, tidak mengapa, bolehlah hati Masdiana bertahan lagi, tetapi jika setiap minggu takkanlah tak boleh ingat, menantu yang seorang ini mahu ke mana? Nampak sangat!
Masdiana terkilan sangat-sangat kerana setiap rutinnya tidak pernah emak mertuanya ingat. Tidak pernah ambil tahu. Setiap hari selasa, Masdiana ada mesyuarat Amanah Ikhtiar Malaysia di Selayang, tidak perlulah hendak dibandingkan dengan anaknya yang berpangkat besar itu yang seringkali pergi bermesyuarat bersama-sama jemaah menteri di Putra Jaya. Oleh kerana mesyuarat yang Masdiana hadirkan diri setiap selasa itu tidak sepenting mana, tidak perlukah emak mertuanya untuk mengambil tahu langsung. Setiap kali sebaik sahaja Masdiana hendak keluar rumah itu, emak mertuanya pasti akan bertanya kepadanya semula. Masdiana terasa benar-benar tersinggung. Jika anak-anak menantunya yang lain, selalu dia hafal kegiatan mereka di dalam benaknya, kadang-kadang direka-reka dan ditambah-tambahnya cerita supaya lebih menarik, walaupun mereka tinggal berjauhan. Itulah ibarat kata, jauh-jauh berbau bunga, dekat-dekat berbau najis. Sekali pun ketika dia sedang mencuci pinggan atau ketika menyiang ikan di singki dia akan berkata-kata sendirian.
“Hurmm... Shamsiah tengah sibuk memasaklah waktu ni, nak menjamu kawan-kawan anak dia yang datang tu” sambil tersenyum sendirian antara dengar dan tidak. Kembang kempis hidungnya berbangga.
“Apa dia mak?”tanya Masdiana yang menyangka mak mertuanya sedang bercakap dengannya.
“Dak, Shamsiah tu tengah sibuklah tu...” belum sempat perkataan yang ingin mak mertuanya ulang semula, Masdiana sudah tahu benar. Kadang-kadang Masdiana tidak mahu mendengarnya dan cuba ubah hal lain. Sudah biasa begitu, naik menyampah!
Pada ketika yang lain pula mak mertuanya akan berkata, “Masa ni, Roslan ada di istana sedang dinner dengan sultan”
Masdiana yang sedang makan akan bertanya semula kepadanya kerana tidak jelas perkataannya, setiap kali itu juga Masdiana akan rasa meluat untuk berada di dapur bersama-sama emak mertuanya, yang tiada lain hanya menyebut-nyebut perihal pekerjaan anak-anak dan menantunya yang lain. Bangga benar dia!
Masdiana, bagaikan Cinderella, terpaksa mendengar dan bekerja. Tidak ada apa-apa keistimewaan di atas dirinya untuk emak mertuanya menghafal rutin hariannya. Semalam, sewaktu makan malam emak mertuanya berkata, “Hayati tiga beranak tu dah pergi Perlis dah gamaknya masa ni”
Hati Masdiana terasa panas. Selera makannya hilang serta merta.
“Aih, Mas dah sudah dah?”
“Dah mak”
Masdiana bangun dan terus ke singki untuk mencuci pinggan. Sisa nasi di buangnya ke dalam tong sampah yang berada di tepi singki itu. Tidak ada lagikah hal lain yang hendak di ulang tayang. Rasa bosan di hati Masdiana meluap-luap tetapi tidak ditunjukkan kepada emak mertuanya.
“Mas naik dulu ya mak, ada kerja banyak kat atas tu”
Biar mak mertuanya berhalunisasi sendirian. Jika itu sahaja yang boleh membahagiakannya. Masdina memang terasa sedih, kerana seolah-olah kehadirannya di rumah itu bagaikan tidak bermakna. Seperti tunggul!
Tidak ada cerita menarik yang boleh di kongsikan bersama Masdiana selain daripada perihal anak-anak menantunya sahaja. Rimas!
Kalaupun Masdiana bercerita tentang kegiatannya, tentang apa-apa sahaja, dia ibaratkan masuk telinga kanan dan keluar saja ke telinga kiri. Tidak ada erti apa-apa, lebih baik Masdiana berkurung sahaja di dalam biliknya dan membuat kerja-kerja sendiri. Lebih selesa.
“Abang kat mana tu? Meeting dah habis”
“Cepatnya, tunggu setengah jam lagi, jalan sesak ni”
“Okey, Mas tunggu di tempat biasa”
Masdiana mematikan talian telefon bimbitnya dan berjalan seiringan bersama sahabat-sahabat lain menuju ke warung kecil di tepi rumah di Kampung Selayang lama itu. Masdiana akan menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakan di situ dan berbual-bual kosong. Kadang-kadang mereka ketawa riang apabila ada kata-kata lucu yang sesekali terhambur dari mulut Salmi, sahabat AIM itu.
Pin!
“Itu suami kau dah datang, okey jumpa lagi minggu depan ya, Mas”
Salmi melambaikan tanganya sambil tersenyum. Masdiana selalu membeli kuih-muih di situ dan memakannya bersama Azizul di dalam teksi. Mereka berdua sudah faham benar, kalau pulang ke rumah waktu itu, walaupun sudah masuk waktu zohor, mak mertuanya masih belum pun siap menyiang ikan. Dari pagi sehingga ke tengahari, dia hanya akan membuat kerja-kerja lain yang tidak sepatutnya dilakukannya terlebih dahulu. Sudah menjadi tabiatnya begitu. Biarkanlah! Jika Masdiana dan Azizul lapar, mereka akan makan di luar sahaja dan membeli bungkus untuk emaknya sama.
“Ha, nak masak apa tengahari ni Mas, tak ada apa lauk pun nak makan, Mas nak masak apa?” soalan yang agak keras dan tidak mesra langsung. Nada tutur katanya tidak selembut apabila berkata-kata dengan anak menantunya yang lain.
Begitulah setiap hari apabila Masdiana masuk sahaja ke ruang dapur. Pertanyaan yang serupa itu jugalah yang akan menerjah masuk ke kupingnya. Setiap kali cadangan yang Masdiana berikan, setiap kali itu jugalah emak mertuanya akan mengabaikannya. Masdiana menjadi serba-salah, padahal lauk-pauk yang dimasaknya semalam dan kelmarin itu masih tidak luak dimakan. Lauk-pauk yang belum dimasak pun penuh di dalam peti sejuk. Tidak tahu lagi apa yang hendak Masdiana perkatakan kepada emak mertuanya. Jika Masdiana yang memasak lauk-pauk kegemaran suaminya, belum pun sampai dua puluh empat jam, atau hendak menjamah untuk yang ke dua kalinya, pasti lauk-pauk itu sudah pun berada di dalam perut tong sampah. Mak mertuanya tidak pernah akan ulang untuk makan sampai dua kali jika masakan itu daripada orang lain, walaupun masakan itu tersangat lazat dan berlainan sekali. Dia tetap akan mencari masakannya dan lebih rela panaskan lauk itu kembali, walaupun sudah seminggu tersimpan di dalam peti sejuk. Apa boleh buat, jika dia lebih selesa dengan tabiat cerewetnya itu, Masdiana tidak boleh berbuat apa-apa, selain hanya menelan perasaan kecewa yang berduri.
“Malam minggu ni depa semua nak datang” kata emak mertuanya dengan riak wajah yang gembira. Masdiana hanya berdiam diri, terkedu.
Setiap kali apabila Mak mertuanya mengambil duit pencen, dia akan memanggil anak menantunya dan membuat jamuan makan malam serta berkumpul bersama anak-anak dan cucu-cucunya. Masdiana berasa sangat seronok apabila dapat berkumpul degan ipar-duai sedikit masa dahulu, ketika baru-baru berkahwin dengan Azizul. Sewaktu Masdiana mulai mengenal hati budi ipar-duainya. Rasa meriah sangat, berkumpul, bercerita sama-sama, mengemas pinggan mangkuk. Yang berpangkat dato’-dato’ pula akan bercerita pengalamannya semasa di luar negara. Tunjuk gambar-gambar dan tempat-tempat menarik di Cina, Korea, Arab, England, Jepun dan rakaman-rakaman video semasa makan di merata tempat. Tetapi kini, apabila terlalu kerap, Masdiana menjadi jemu dan sudah mulai menjadi serik untuk berkumpul begitu, apabila semakin lama semakin menonjol sikap pilih kasih emak mertuanya di dalam tutur kata dan layanannya terhadap mereka. Berlebih-lebihan, terlalu ketara!
“Mak, tulang dan daging ini, kita masaklah untuk jamuan makan malam, malam minggu ni”
“Nak masak apa?”
“Masaklah bihoon sup Utara ka, anak-anak Rosman suka sup-sup macam ni”
“Ya tak ya jugak”
Masdiana teringat perbualan di antara emak mertuanya sedikit masa dahulu. Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Ke esokkannya;
“Mak nak masak mee mushroom, Tarmizi minta mak masak, dia nak makan katanya” sepantas itu, mak mertuanya boleh berubah fikiran, padahal sebelum itu dia bersetuju Masdiana memasak bihoon Utara. Yang hairannya bilakah masanya pula Tarmizi membuat permintaan secepat itu? Sedangkan Masdiana hanya berbincang. Selalu Masdiana perhatikan, itulah perangai cemburunya yang nampak sangat bahawa, dia tidak puashati jika masakannya tidak terhidang. Tarmizi adalah cucu kesayangannya, anak kepada anak bongsunya, Roslan, yang berpangkat Dato’ Paduka. Itulah Cucu kesayangan kepada anak kesayangannya. Apa lagi!
“Tak apalah mak, kan Mas bagi cadangan saja, masak sajalah mee mushroom semua sekali, sebab tulang tu pun bukannya banyak”
“Tak mau, Mas kena masak jugak bihoon sup tu”
“La, buat apa mak masak ke dua-duanya sup, masak mee mushroom sudahlah”
“Tak mau, Mas kena masak jugak bihoon sup tu, Azizul nak makan” alasan yang tidak munasabah keluar dari mulut emak mertuanya.
“Ala mak, kalau abang nak makan, lain kali Mas boleh masakkan satu periuk kecil untuknya”
“Tak mau, Mas kena masak jugak”
“Okeylah, Mas masak sikit je”
“Tak usahlah masak sikit, masak je banyak-banyak”
“Mak buat apa masak banyak-banyak, kan mak pun masak mee mushroom tu”
“Mak masak mee mushroom tu sikit je”
“Okey kita buat sama banyak”
“Tak usah, Mas masaklah bihoon tu, letak kuah banyak-banyak sikit”
Masdiana sudah malas untuk bertegang urat dengan mak mertuanya, dia mengikut sahaja apa yang disuruh oleh mak mertuanya itu. Sejak itu Masdiana mulai tahu begitulah perangai keras kepala mak mertuanya, yang tidak akan mendengar nasihat atau cadangannya. Jika anak-anaknya yang lain bagi cadangan, dia akan ulang-ulang dengan mengatakan anak dia yang itu, yang ini kata tidak boleh buat itu dan larang buat ini. Masdiana faham benar. Kata-kata dari mulutnnya ibarat hanyalah sepereti air di longkang, yang tidak ada siapa mahu menghidunya apatah lagi untuk melihatnya.
“Mak dah lupa nak masak mee mushromm ni, macamna Rosnani menumisnya, dah lupalah mak, Mas tahu?” mak mertuanya cuba memancing.
“Tak tahu mak, Mas mana pernah masak mee mushroom” kata Masdiana, walaupun sebenarnya Masdiana adalah seorang tukang masak, tetapi dia tidak perlu untuk menunjukkan kepakarannya. Tidak ada ertinya, walaupun dia pernah mendapat anugerah peniaga terbaik untuk bazaar Ramadan di Kelana Jaya dua tahun berturut-turut, namun masih tidak nampak di mata hati emak mertuanya bahawa, Masdiana adalah seorang tukang masak yang mahir. Walaupun setiap kali jika ada perayaan atau rumah-rumah terbuka, ada saja pelanggan yang menempah makanan daripada Masdiana, pada dia, dia tidak pernah rasa bangga, ada menantu seperti Masdiana. Biarlah!
Setelah semuanya siap dan keluarga berkumpul untuk makan, semua ipar duai dan anak-anak buah Masdiana, hanya memakan mee mushromm yang dimasak oleh mak mertuanya. Masakan yang sedikit itu, tidak mencukupi. Mak mertua Masdiana terasa terkilan benar.
“Itulah Mas dah kata, mak tak dengar, kalaulah mak masak kesemuanya mee mushroom kan elok” kata Masdiana kepada mak mertuanya, walaupun Masdiana tahu, kedua-duanya adalah hidangan sup, mana mungkin perut mereka boleh di isi lagi, sedangkan masakan mak mertuanya lah yang patut didahulukan.
Hati Masdiana tidak perlu dijaga seperti mana hati orang tua itu. Masdiana akur, walaupun hatinya bagai tersayat sembilu apabila seperiuk besar sup itu, terpaksa dituangkannya ke longkang di belakang dapur. Bersama deraian air mata di saat itu, Masdiana bernekad untuk tidak akan memberi cadangan dan tidak akan memasak apa-apa hidangan lagi di masa-masa yang akan datang ketika adanya majlis makan malam. Masdiana terkilan sungguh!
“Lain kali jangan dok masak bihoon sup ke apa ke”
Lontaran kata-kata daripada mak mertuanya itu bagaikan memamah jantungnya. Kata-katanya itu tersemat utuh di kotak hatinya sampai ke hari ini, sebab itulah apabila setiap kali mak mertuanya meminta cadangan dan bertanyakan berkenaan dengan lauk untuk hidangan harian, Masdiana hanya akan mengucapkan perkataan yang sama;
“Kalau mak rasa nak makan apa-apa, mak masaklah, pada Mas dan Azizul tak ada masalah, kami berdua makan yang ringkas-ringkas je, ada budu, ulam, sayur lemak dan ikan goreng dah boleh makan nasi bertambah-tambah”
Mak mertua Masdiana terdiam. Kalau dia, dia lebih suka jika ada pelbagai menu untuk hidangan tengahari dan yang paling kelakarnya apabila malam hari, kesemua lauk akan dipanaskan termasuk lauk yang ada di dalam peti sejuk, dikeluarkannya, sehingga menjadi lebih banyak daripada hidangan tengahari.
“Mak, buat apa banyak-banyak lauk, inikan makan malam, siapa yang nak makan banyak-banyak macamni?”
Mak mertua Madiana hanya mengembangkan hidungnya dan seolah-olah berbangga pula apabila setiap kali Azizul bertanya begitu kepadanya. Sekarang Masdiana mengalami penyakit gastric yang kuat di sebabkan memakan makanan yang tidak seimbang. Kadang-kadang seperti terfikir di benak Masdiana, seolah-olah hidangan itu seperti mahu membunuhnya. Kalau tidak, kenapa dia tidak pernah mahu mendengar segala nasihat dan pandangan. Ketegaq! Kata orang Utara.
"Abang,..mas tak selesalah untuk ada sama-sama malam ni...." Kata Masdiana semasa di hadapan rumah, sewaktu suaminya sedang membersihkan barangan akuarium ikan.

Ikan emas yang dipelihara Masdiana cepat membesar dan kuat makan, selalu sahaja air di dalam aquarium itu menjadi keruh.

"Hah, jangan buat lagi, kali ini Mas nak buat alasan apa pulak...macam dah terbayang di fikiran abang apa yang Mas nak buat kali ini”

"Abang..Mas belum bersedia lagi untuk makan bersama-sama dengan adik-beradik abang... Mas bukannya bergaduh, cuma mas terasa macam tidak di layan, tidak setaraf mereka, tidak ada apa yang hendak dibualkan..." Jelas Masdiana sedih.

"Awak duduk jer buat tak tau, masa makan, awak makan..."kata Azizul lagi memujuk hati Masdiana.

"Abang tahu tak, setiap kali adik-adik abang menelefon mak, mereka tidak pernah pun menyebut atau bertanya khabar tentang Mas. Macam petang semalam tu, menantu bongsu kesayangan mak telefon...tidak sebut apa pun tentang Mas, memang dia tidak ada malam ni, tetapi jika hati dan perasaan Mas ini sedih dan tersinggung, Mas tidak reti nak berpura-puralah bang... Jika ada yang ternampak perangai Mas yang mungkin boleh menyebabkan rasa tersinggung di hati mereka, macamna? Baiklah Mas tidak ada malam ni bang...." rayu Masdiana lagi.

Azizul Azrai terdiam. Dia meneruskan kerja-kerjanya mencuci akuarium itu. Dalam hatinya memang terdetik rasa kasihan kepada isterinya, namun apa yang dapat dia lakukan hanya akan setuju sahaja apa yang Masdiana ingini.
“Sekarang ni, mereka semua bersalam dengan Mas pun hanya di hujung-hujung jari je, tak macam dulu, siap berpeluk bercium. Bukan Mas tak tahu kalau depan anak-anaknya, selalu mak mengadu sakit situ sini, tetapi bila di hadapan Mas semuanya dia nak buat sendiri, Mas sedihlah bang”.
‘Kapak, tidak boleh membelah kayu, jika kayu tidak menjadi hulunya’ Begitulah di ibaratkan. Apabila Azizul diam, Masdiana melangkah lesu menuju ke dapur.

"Ya Allah, apa yang mak aku buat kat dapur dari tadi? Tidak ada satu lauk lagi yang di masak? Sekarang jam sudah pukul 2.00 petang, kalau duduk sendiri tentu senang saja nak masak, Azmir dan Azizul, makan budu. Ada je ikan bakar, ulam-ulam celur dan sayur lemak, dah cukup berselera dia mengadapnya. Ini, nak kena tengok apa yang dia teringin nak makan dahulu...Nak masak yang susah-susah, lama-lama pulak tu, ada kari, baru nak makan. Budu, jangan haraplah dia nak sentuh...." keluh hati kecil Masdiana.

Mak mertua Masdiana suka makan lewat-lewat. Selalunya pukul 3.00 petang. Jika Masdiana masak seawal jam 12.00 tengahari pun, ada sahaja alasan dia untuk mengelak daripada makan awal.

"Hari ini Mas masaklah apa yang Mas nak masak, mak tak mahu masak hari ini..." jika itu ucapan yang keluar daripada mulut mak mertuanya, memang senanglah bagi Masdiana untuk memasaknya pada hari itu. Itu pun jika semalam, emak mertuanya sudah memasak banyak lauk.
Jarang-jarang sekali Masdiana mendapat peluang seperti itu.
Selalunya seperti bermain tarik tali pula, macam dia nak memasak, kadang-kadang seperti dia harap Masdiana yang memasak. Kadang-kadang Masdiana terfikir, macam sengaja mak mertuanya hendak mencari fasal dengannya dan apabila dia tidak berpuas hati, dia akan mengadu kepada Azizul. Itulah sebabnya Masdiana bimbang jika Amyra mendirikan rumah-tangga dengan orang yang memilih bulu seperti emak mertuanya. Dia tidak mahu hidup Amyra tersiksa sepertinya.
Jika ada majlis makan malam di rumah, Masdiana akan selalu sibukkan diri dengan pergi ke rumah Amyra atau pun menginap sahaja di hotel, untuk menenangkan fikirannya. Masdina cuba mencari kebahagiaan dalam rumah itu. Mencari kebaikan emak mertuanya dan cuba belajar bersikap lebih terbuka, tetapi belum tiba masanya lagi. Masdiana masih menjeruk rasa.

No comments: