Monday 22 April 2013

Siapa tuanmu3

Suaminya seorang yang aktif, lasak dan muda belia. Anak-anaknya masih kecil. Dia bekerja sebagai pegawai di sebuah bank di Paka, Dungun. Isterinya adalah seorang guru. Hidup mereka sekeluarga aman dan damai. Bahagia dan ceria. 

Seperti selalu, suaminya akan ke padang untuk bermain bola dengan rakan-rakan sekampung. Ketagihan bermain bola itu menjadi rutin setiap petang sehingga menjelang magrib. Sedang berseronok menggelecek bola dan menendang, tiba-tiba pegawai bank itu terjatuh ke atas rumput. Lututnya melecet sedikit. Dia meneruskan permainan itu. Tanpa memperduli luka kecil. Pemuda yang gagah serta sasa tubuh badannya itu tidak sedikit pun terasa sakit. Permainan diteruskan lagi. Tidak puashati jika tidak menyumbat gol penutup bagi pihaknya. Azan pun berkumandang bersama sorak kemenangan bagi pihak pegawai bank itu. Dengan perasaan gembira dan kepuasan, dia melangkah deras menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter sahaja dari padang tersebut.

"Petang esok jangan lupa! Aku nak sumbat gol pulak" jerit rakan sepermainannya sambil melambakan tangan.

Setelah membersihkan badan, pegawai bank itu terasa sesuatu yang aneh menyerang betis dan pahanya. Bengkak, sakit, panas, pedih dan berdenyut-denyut.
"Aduh! Bisanya! Seha, tolong abang!"
"Abang kena apa?"
"Abang terjatuh semasa bermain tadi, tetapi luka sikit saja, takkanlah sakit sekuat ini? Aduh! Tolong abang Seha, cepat tolong abang. Aduh!"

Suami Seha mengerang seperti luka terlalu parah, padahal dia selalu luka dan melecet seperti itu, tidak pernah dia mengaduh. Sera bersegera memanggil kakak dan abang iparnya yang hanya tinggal berjiran.

"Kak, tolong abang Mie kak, dia terjatuh semasa bermain bola, tidak teruk, tetapi dia mengerang dan meraung-raung seperti dirasuk. Tolong bawa dia ke hospital"

Setelah tiba di hospital Dungun, betis dan kaki suami Seha membengkak teruk. Doktor telah memberi suntikan menurunkan bengkak. Tetapi lain pula yang berlaku.
Setelah x-ray dijalankan, daging di betis dan paha sebelah kanannya kehitaman dan mereput dengan cepat. Tidak sampai lima jam, peristiwa itu berlaku.

"Suami puan terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Terengganu kerana memerlukan pemeriksaan yang lebih mendalam. Kami tidak dapat mengesahkan kuman apa yang telah merebak di dalam daging suami puan. Diharap puan dapat bersabar"

No comments: