Monday 22 April 2013

Siapa tuanmu 5


Doktor telah mengesahkan lelaki itu tidak mengidap darah tinggi mahupun kencing manis. Lelaki itu hidup dalam keadaan yang miskin. Kais pagi makan pagi. Bekerja keras dan mengeluarkan banyak peluh tentu badannya sihat dan kuat. Jangan kata untuk mendapat sakit berat, demam dan sakit kepala pun jarang-jarang sekali dalam setahun. Itu adalah pengakuan benar daripada isteri lelaki itu.

Lelaki itu membuka matanya. Dia melihat di sekelilingnya.
"Aduh!! Bisanya kaki aku. Tolong! Tolong! Sakitnya. Apa yang gigit nih!! Aduh!!" jerit lelaki itu sekuat hatinya. Dia meronta-ronta, mahu membuka balutan di kakinya itu. Semua yang berada di dalam wad itu terperanjat. Pesakit yang sedang tidur pun terbangun.
Jururawat berkejaran, menarik skrin dan memeriksa lelaki itu. Doktor telah dipanggil.

"Astaghfirullahal 'Azdim...." isteri lelaki itu yang terlihat kaki kanan suaminya hampir termuntah. Cepat-cepat dia berlari ke bilik air.

Terdengar isi perut ibu muda yang sedang mengandungkan anak ke dua itu, keluar bercurahan. Penat dan menggigil badan ibu muda itu. Dia longlai di dalam tandas. Anak lelakinya cepat menghidu kesukaran ibunya di dalam tandas itu lalu memimpin ibunya keluar. Kerusi roda disorongkan ke punggung ibunya. Kekuatan anak kecil itu amat membanggakan. Sedang orang lain sedang berkerumun memandang peristiwa yang sangat mengerikan itu.

Isi pada sekitar tempat luka itu hitam dan membusuk, tidak ubah seperti yang berlaku ke atas pegawai bank di Paka. Virus apakah itu? Semua bertanya-tanya sesama sendiri.
Doktor telah membuat keputusan untuk memotong kaki kanan lelaki itu. Walaupun kuman itu merebak tidak begitu pantas, tetapi bimbang jika tidak dipotong, daging yang lain akan terus membusuk. Bau yang menyesakkan itu menyerang ruang wad tersebut. Semua pesakit dan penjaga menutup hidung masing-masing.

Setelah isteri lelaki itu pulih kembali, dia dipanggil jururawat untuk menandatangani surat keizinan supaya membenarkan doktor membuat pembedahan ke atas kaki kanan suaminya yang mulai mereput dan merebak. Tidak boleh dibiarkannya lagi. Pasti akan bertambah parah. Sama. Doktor pakar pun tidak tahu virus atau kuman berbahaya jenis apa. Doktor yang merawat lelaki itu dan berpengalaman selama hampir 20 tahun, sungguh hairan dan pelik kerana kuman yang paling bahaya seperti itu, baru pertama kali dia melihatnya. Doktor itu juga tidak dapat mencari punca atau vaksin apa yang sesuai untuk membunuh atau sekurang-kurangnya dapat melemahkan kuman ajaib tersebut.

"Jangan dipotong kakinya. Biar saya cuba. Semoga dengan izin Allah dia akan selamat. Insyaallah" kata seorang lelaki setengah abad. Entah dari mana lelaki itu tiba-tiba muncul dan mencelah.

Ibu muda itu tidak jadi untuk menandatangani surat keizinan tersebut. Mulut lelaki separuh abad yang bersarban itu, berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Dia sesekali menghembus dan menyapu kaki kanan pesakit tersebut. Pesakit itu berhenti mengerang. Lelaki separuh abad itu memberi minum air putih yang telah siap dijampi.

"Bacalah Bismillah dan Berselawatlah. Insyaallah kuman itu akan kepanasan dan hilang" kata lelaki separuh abad itu dengan penuh yakin.

"Terima kasih Ustaz" ucap isteri pesakit itu.

"Saya bukan Ustaz. Saya orang biasa sahaja" kata lelaki separuh abad itu lalu memohon diri untuk berlalu.

Isteri pesakit itu tidak sempat untuk bertanya alamat lelaki tersebut. Manalah tahu jika ingin berubat lagi dia boleh menuju ke rumah lelaki itu. Namun dengan sekelip mata lelaki separuh abad yang berjubah hijau dan berserban putih itu sudah hilang dari pandangan.

Suami ibu muda itu telah lena tidur. Keadaan di dalam wad itu telah sunyi dari pekikan dan lolongan pesakit. yang tadinya agak kecuh, seperti bersahut-sahutan diantara pesakit dengan pesakit di situ. Masing-masing yang mengaduh kesakitan itu tiba-tiba senyap sejurus lelaki separuh abad itu berlalu pergi.

No comments: