Monday 22 April 2013

Siapa tuanmu 1

Keindahan pemandangan di sekitar penempatan kita sekarang ini hampir pupus. Pencemaran udara semakin menebal dan menyesakkan dada. Semuanya kerana kerakusan tangan manusia itu sendiri. Musnah habitat haiwan dan makhluk-makhluk halus. Ular pernah masuk di dalam rumah penduduk kampung. Monyet dan kera lebih senang mencuri makanan di dapur. Tidak ada lagi tumbuhan-tumbuhan hutan dan buah-buah kayu yang manis untuk santapan sang ungka. Unggas tidak dapat mencari dahan untuk betenggek berhenti lelah.

Ketika dunia semakin canggih dan semakin maju, semakin ramai pula yang telah berjaya disesatkan oleh syaitan yang durjana dengan lebih mudah. Kealpaan kepada dunia menjadi-jadi. Makin ramai yang telah bersahabat dengan jin-jin. Jika 100 tahun dahulu, ramai yang membela khadam untuk menjaga rumah atau menjaga anak-anak dara. Malah masih ada sampai sekarang, berkhidmat pada keturunannya yang dipanggil saka. Amalan-amalan untuk tampak cantik menawan, kuat dan gagah serta disayangi orang. Lama-kelamaan akan memakan diri sendiri.

Pemujaan dan ancak dipersembahkan di pohon-pohon kayu besar. Di busut-busut jantan dan di rumah-rumah pusaka atau di rumah-rumah tinggal. Memuja dan menyeru roh-roh orang mati untuk memuja nombor ekor dan sebagainya. Karut, sesat lagi syirik kepada Allah SWT. Perkara ini akan menjadikan syaitan-syaitan itu berkeliaran mencari mangsa. Kealpaan kita untuk membaca ayat-ayat Al Quran sebagai pendinding diri ketika keluar rumah akan mudah terkena ilmu hitam ini. Na 'Auzubillahi Minzalik.

Namun berapa ramai yang telah menerima gangguan makhluk halus ini? Sebab ada yang ingin bersahabat dengannya. Ingin berkawan dengannya. Tidak susah untuk seseorang itu berdamping dengannya.

Seperti: Leka dan lalai bermain, melebihkan hal-hal dunia sehingga meninggalkan sembahyang. Atau tidak menjawab Azan.

Atau; Melengah-lengahkan sembahyang lima waktu. Boros dalam berbelanja. Membazir atau membuang makanan. Lama menggunakan bilik air. Semua perkara itu akan melemahkan iman seseorang. Apabila iman seseorang itu menjadi lemah, mudah bagi syaitan dan iblis masuk ke segenap urat saraf seseorang itu.

Dulu, aku tidak percaya. tetapi setelah aku mengalaminya sendiri, barulah aku sedar. Sedar akan keujudan makhluk lain yang menumpang makan, tidur dan beranak pinak bersama-sama dengan kita.

No comments: