Monday 24 December 2012

Isteri ku yg terakhir, plot


Isteriku Yang Terakhir
 “Sayang, 23hb. December ini, adalah hari ulangtahun perkahwinan kita yang ke 4. Terima kasih sayang kerana telah sudi menjadi isteri abang. Abang sungguh berasa aman dan bahagia disisi Indah”
Lokman tidak pernah lupa tarikh hari ulangtahun perkahwinannya dengan Indah, anak dara tua yang hidup sebatang kara. Sebelum sempat Indah berumah tangga, dia sudah kehilangan ayah dan ibunya. Arwah ayahnya meninggal kerana serangan jantung, manakala ibunya meninggal kerana sakit tua. Pada masa itu, Indah bekerja sebagai pembantu taska. Wajah Indah tidaklah seindah namanya. Tetapi luhur budi seorang yang bernama Indah itu cukup sempurna buat menambat hati Lokman.
“Indah pun sangat bahagia di samping abang. Semoga jodoh kita berkekalan”
Pasir pantai di Pantai Bersih itu bersinar di simbahi cahaya bulan yang terang benderang. Kelihatan ramai kaki-kaki pancing sedang menunggu umpan mereka diragut ikan. Pernah juga Lokman mengajak Indah memancing di tepi Pantai Bersih itu, dengan menggunakan joran  yang di ikat kail tiga mata.
“Hahaha... abang dapat tiga bintang!”
Kesemua mata kail itu terlekat tapak Sulaiman. Sejak itu Lokman serik untuk memancing lagi di situ. Cuma pada malam itu, Lokman cuba mengingatkan kembali saat-saat manis semasa dia berkenalan dengan Indah dan sering bertemu di Pantai Bersih. Bayu laut yang dingin itu menyengat ke kulit mereka berdua. Lokman menanggalkan sweaternya dan menyelimuti bahu Indah dengan penuh kasih mesra. Indah menyandarkan kepalanya di dada Lokman, terasa benar kehangatan cinta Lokman terhadapnya.
“Terima kasih abang, Indah bertuah sebab dapat memiliki hati abang, walaupun Indah terpaksa menunggu lama”
Lokman memandang tepat ke dalam mata Indah. Renungan mata Lokman membuatkan hati Indah berdebar-debar. Cinta dan kasihnya sentiasa segar dan mewangi. Indah menghadiahkan senyuman yang paling manis untuk suaminya di gigi Pantai Bersih itu. Mereka berdua hanyut menikmati panah asmara cinta sejati. Pemandangan cahaya lampu di Pulau Pinang di seberang lautan itu sungguh cantik sekali. Ada beberapa buah kapal menghiasi lautan malam. Kapal pelancung menyimbahkan cahaya lampu yang bergemerlapan di kejauhan, berkerdipan dan sungguh mempesonakan. Cuaca malam itu begitu damai, dengan desiran ombak yang perlahan bagaikan irama jazz yang romantik. Mengulit keterujaan pasangan suami isteri itu, di dalam kedamaian cinta yang terpaut rapat; bersaksikan berjuta bintang yang bersinar-sinar di permukaan langit.
“Jom kita balik, nanti demam pulak berembun di tengah-tengah malam begini”
Lokman memapah Indah dengan berhati-hati. Pasir pantai yang lembut itu meninggalkan nostalgia buat mereka berdua. Mereka berjalan seiringan menuju ke kereta. Hotel tanpa bintang itu di tuju, yang terletak di Bagan Luar, Butterworth. Sedari petang tadi mereka telah menempah bilik di hotel itu untuk bermalam. Mereka berdua datang ke Butterworth kerana untuk menjemput ibu Lokman yang datang ke rumah adik-beradiknya kerana urusan harta pusaka selama dua minggu yang lalu.
“Indah, perlahankan sedikit pendingin udara tu, sejuk sangat ni, abang tak tahan” kata Lokman dengan dagunya bergetar-getar menahan kesejukan setelah keluar daripada bilik air.
“Baiklah bang”
Lokman mulai merebahkan badannya ke atas tilam empuk di bilik hotel itu. Ditariknya selimut yang tebal itu menutupi badannya. Dia tidak mampu untuk menyewa bilik hotel yang bertaraf lima bintang, siap dengan sarapan dan buffet. Cukuplah untuk mereka berdua menghabiskan masa dan berbual-bual bersama. Lokman hanya bekerja sebagai pemandu peribadi kepada keluarga dato’ Azman di Kuala Lumpur. Kerja Lokman tidak tentu masa, jarang sekali mendapat cuti. Lokman masih mempunyai anak-anak untuk diberi nafkah dan perbelanjaan pelajaran mereka. Indah akan menghabiskan masanya dengan menulis blog untuk menghilangkan rasa sunyinya apabila ditinggalkan suaminya seharian.
Lokman merapatkan mukanya ke dada Indah lalu memeluknya. Ada air jernih yang mengalir di hujung kelopak matanya. Lokman sungguh terharu. Indah tahu perasaan Lokman yang selama ini begitu kecewa dengan setiap kegagalannya di dalam perkahwinannya yang terdahulu. Sepatutnya Lokman sudah hidup senang lenang dan tidak perlu lagi untuk dia bekerja keras seperti sekarang ini. Kadang-kadang Lokman akan mengadu belikatnya sakit-sakit dan lenguh kerana terlalu lama memandu kereta.

No comments: