Thursday 1 November 2012

DARJAT KASIH BAB 4 ~ BAB 9 sekarang!!


BAB 4
Afeqien Abduillah, bakal seorang ustaz.

Malam tadi hujan lebat, Amyra terasa panas di dalam pelukan ibunya. Saat begini, yang ditunggu-tunggu Amyra selalu. Rasa rindu Amyra kepada ibunya terubat seketika.  Amyra melihat ibunya tidur nyenyak. Direnungnya wajah ibu kesayangannya itu dalam-dalam.  Amyra sedar ibunya banyak berkorban dan hidup susah sebelum ini. Amyra masih ingat  Lelaki Jawa itu. Biar  Allah (SWT) sahaja yang akan membalas segala perbuatannya. Amyra mahu melupakannya. Tetapi sejahat-jahat Lelaki jawa itu, dia tetap bapa Amyra. Tidak ada cara untuk melupakan segala peristiwa ketika bersama bapanya.  Amyra seboleh-bolehnya mahu melupakan segalanya dan tidak mahu peduli tentang bapanya lagi. Dia akan menangis dan kecewa.

Puas Amyra cuba memejamkan matanya, hujan yang lebat dan dingin itu, tidak sedikit pun membuatkan mata Amyra mengantuk. Rugi sekali, kerana hujan di waktu malam adalah saat yang dinanti-nanti  Amyra supaya dapat tidur dengan  lena, apatah lagi ada pula ibu kesayangan di dalam pelukan. Sejuk dan selesa.  Peristiwa malam tadi membuatkan Amyra tersenyum sendirian. Amyra sekali lagi menggantang asap.
Bayangan wajah Daneal terpampang di ruangan matanya. Hujan semakin lebat, Amyra menjadi rindu, rindu untuk bertemu Daneal lagi. Amyra tenggelam di dalam angan-angannya sendiri. Amyra memeluk ibunya sehingga terlena.

“Hurmm..Myra, ibu dah panaskan makanan kiriman Datin Maznah. Sedap, marilah sarapan sama-sama?.” Pelawa Masdiana kepada anak kesayangannya itu, sebaik sahaja Amyra menuju ke dapur.

“Petang nanti kawan serumah Amyra akan balik , jadi bolehlah ibu pulang, kesian Pak Cik keseorangan di rumah, Dah dua malam ibu dengan Myra disini…” kata Amyra sambil tersenyum dan membetulkan tempat duduknya.

Macaroni goreng,  yang disenduknya ke piring, tidak dapat disuapnya. Bayangan Daneal tersenyum disitu. Amyra tersipu sendirian. Perasaannya sudah celaru. Wajah tenang ibunya di hadapan matanya tenggelam timbul berselang seli dengan wajah Daneal, lelaki kacak itu.

“Mungkin inikah yang dikatakan penyakit ‘angau?." Hati kecilnya bertanya.

“Amyra, siap-siaplah, sekejap lagi,’ Pak Cik’ Myra akan datang jemput kita. Myra masih ingat lagi tak dengan Afeqien Abduillah. Dia sudah tamat menuntut di Universiti Al Azhar di Mesir. Sekarang dia sedang menunggu panggilan untuk menjadi Ustaz di sebuah Sekolah Agama.” Kata Masdiana melenyapkan anganan Amyra.

“Bagaimana ibu tahu semua ini?." Tanya Amyra kehairanan. wajah Afeq yang tenang dan bersih itu tiba-tiba muncul.

Amyra masih ingat, satu hari itu, ibunya membawanya ke rumah anak-anak yatim Darul Taufiq. Ketika itu Afeq sedang bercuti. Afeq adalah seorang anak yatim piatu dan dibesarkan di rumah anak-anak yatim Darul Taufiq. Afeq seorang pelajar cemerlang dan soleh. Afeq selalu mengajar ilmu agama, menjadi imam dan mengajar mengaji kepada anak-anak yatim di situ yang dianggapnya seperti adik-adiknya sendiri ketika beliau bercuti.  Dia berazam akan menggunakan ilmu yang dituntutnya itu, untuk berbakti kepada rumah anak-anak yatim tersebut, yang banyak berjasa kepadanya. Suara Afeq sungguh merdu apabila mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’anul Karim.

Masdiana selalu melawat beberapa rumah anak-anak yatim di sekitar Kuala Lumpur. Dengan cara ini, Masdiana merasa dirinya masih diperlukan, disayangi dan dihargai. Masdiana terasa tenang dan bahagia di situ.

“Ibu ada bercakap dengan Puan Zainab semalam. dalam telefon, tiba-tiba ibu jadi rindu pula hendak pergi ke sana,.” Jelas Masdiana lagi.

Amyra tidak sampai hati untuk menolak pelawaan ibunya. Amyra segera naik keatas dan tukar pakaian. Cuti hari ini akan dihabiskan di rumah anak-anak yatim itu. Amyra tidak ada masalah untuk kesana. Amyra sedar, dia pun sama seperti mereka. Cuma Amyra lebih rasa bersyukur  kerana masih mempunyai seorang ibu yang benar-benar bertanggungjawab dan sangat mengambil berat.

“Phon...!!” Bunyi hon sebuah teksi, berhenti di hadapan rumah pekerja itu.

“Cepat  Amyra, Pak Cik Myra dah sampai tu,”kata Masdiana dengan suara yang agak lantang.

“Ya ibu, Myra dah siap ni.” Amyra segera membuka pintu untuk ibunya dan membimbit sebuah beg kecil yang memuatkan pakaian basahan ibunya..

“Apa khabar Pak Cik,?. “ Tegur Amyra sambil bersalam dengan bapa tirinya yang di panggil ‘Pak Cik ‘ itu, dengan sopan.

“Khabar baik, Myra apa khabar? Nampak ceria saja hari ini, amboi...maklumlah dapat berpeluk dengan ibu dia..Pak Cik jugak lah yang melopong…” kata Azizul Azrai, sambil menjeling manja kepada Masdiana, isteri yang sangat dicintainya.

Amyra ketawa kecil. Masdiana mencubit manja paha suaminya. Suaminya memang suka bergurau.

Teksi yang dipandu Azizul, menghala ke jalan Semarak. Masing-masing mendiamkan diri. Sesekali Azizul memandang wajah anak tirinya melalui cermin pandang belakang. Azizul boleh dikatakan seorang pencinta wanita. Kadang-kadang Masdiana rasa cemburu dengan gelagat suaminya apabila Azizul menceritakan kecantikan penumpang-penumpang wanita yang menaiki teksinya.

“Lelaki!.” Degus hati Masdiana. Lelaki tidak boleh dipercayai seratus persen. Apa lagi, 99 peratus penumpang teksi Azizul adalah wanita.

Azizul adalah seorang pemandu teksi yang cerewet. Dia lebih suka mengambil penumpang wanita daripada penumpang lelaki. Banyak baiknya. Yang penting dia ikhlas mencari nafkah untuk menyara persekolahan anak-anaknya serta isterinya Masdiana. Hari minggu, jalan tidak  begitu sesak, tetapi di jalan menghala ke Taman tasik titiwangsa selalunya tidak pernah lengang setiap hujung minggu begini. Kereta-kereta akan berasak-asak untuk mencari tempat parkir, penuh di kiri kanan jalan di kawasan Taman Tasik Titiwangsa itu. Tempat parkir kereta yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, selalu penuh.


BAB 5.
Rumah anak-anak yatim Darul Taufiq.

Masdiana, Amyra dan Azizul disambut mesra oleh Puan Zainab, pengusaha pusat anak-anak yatim Darul Taufiq itu. Dari jauh Masdiana ternampak Afeqien Abduillah sedang bergurau senda dengan ‘adik-adiknya’. Nampak sungguh akrab.  Kelihatan beberapa kanak-kanak perempuan sedang membersih dan menyiram pokok-pokok bunga di halaman rumah dua tingkat itu, di atas tanah lot, bersebelahan dengan Taman Tasik titiwangsa. Sungguh damai suasana di sini. Mereka sesekali, mereka di benarkan juga untuk keluar mengambil angin dan berjalan-jalan atau berjoging di sekitar Taman tasik Titiwangsa itu, dengan pengawasan penyelia.

Lama  Amyra memerhatikan gelagat Afeqien Abduillah yang masih muda itu. Dalam perkiraan Amyra, Daneal lebih berusia beberapa tahun dan Afeq sebaya dengannya. Cuma  Amyra sahaja yang  kurang bernasib baik. Amyra tidak pernah dapat menduduki peperiksaan kerana pada masa itu, Amyra selalu berpindah-randah mengikut ibunya dan tidak dapat bersekolah kerana tiada sijil kelahiran. Setelah Masdiana berkenalan dengan Azizul Azrai dan berjaya melepaskan diri daripada cengkaman ‘Lelaki Jawa’ itu, barulah Amyra dimasukkan kesekolah Agama Rakyat di Utara tanah air. Itupun sekejap sahaja. Walaupun begitu, Amyra seorang yang rajin belajar. Dengan menggunakan kemudahan komputer riba, Amyra belajar menulis dan mengeja dengan ibunya di ruangan ‘chating’ setiap malam. Sedari kecil, Masdiana mengajar Amyra secara tidak formal di rumah. Alhamdulillah, Amyra dapat membaca dan menulis dengan baik. Sekarang Amyra sedang belajar bahasa Inggeris pula.

 Masdiana pernah berpesan kepada Amyra bahawa, dunia teknologi morden sekarang ini, tidak membataskan kita untuk belajar. Janganlah kecewa jika kita tidak berpelajaran tinggi, kerana dengan sijil sahaja tidak akan membuatkan kita berjaya dalam hidup. Kekuatan dan jatidiri akan menjadikan hidup kita lebih berjaya di samping berdoa kepada Allah (SWT), berusaha dan yang paling penting sekali ialah restu dan doa dari ibubapa, akan membawa keberkatan hidup di dunia dan di akhirat nanti.

“Lama sungguh Puan Masdiana tidak jengok kami..” Kata Puan Zainab pengusaha pusat anak-anak yatim tersebut.

“Ya, lebih kurang enam bulan lepas, kali terakhir saya datang melawat, waktu itu Afeq tidak ada, masih menuntut di Mesir kan?” Jelas Masdiana, sambil matanya tertumpu kepada Afeq yang sedang melayan kerenah ‘adik-adiknya’.

“Abang Afeq, cuba lihat di sana, siapa yang datang,” kata Mizi, seorang anak gelandangan yang di ambil dari jalan Haji Taib, masa itu dia sedang merayau-rayau sendirian. Umurnya ketika itu 10 tahun. Sekarang Mizi telah pun menuntut di sekolah menengah. Mizi seorang yang rajin belajar dan bercita-cita tinggi.

“Assalamualaikum, ini mak cik Masdiana ke? Astaghfirullahal ‘Azdim, maaflah makcik, Afeq tidak perasan makcik datang, apa khabar?” Sambil menunduk hormat dan menghadiahkan senyuman kepada Amyra.

“Anak dara makcik ni pun ada sama?” tanya Afeqien Abduillah lagi bergurau.
“Amyra, apa khabar?” tanya Afeq sambil tersenyum.

Pandangannya dialihkan kepada Masdiana cepat-cepat. Afeq tidak mahu memandang Amyra lama-lama dengan penuh nafsu. Berdosa. Walaupun pada hakikatnya Amyra seorang yang cukup sempurna dan menawan setiap lelaki  yang memandangnya. Afeq mesti menjaga maruahnya sebagai seorang yang bakal bergelar Ustaz. Gerak geri, pertuturan dan perbuatan Afeq akan diperhatikan dan menjadi contoh oleh’adik-adiknya’. Di dalam hati Afeq, hanya Allah sahaja yang tahu, seandainya Amyra itu sedar bahawa, sudah sekian lama dia menyimpan hasrat , sejak pertama kali mereka bertemu di rumah anak-anak yatim itu, 3 tahun yang lalu. Afeq tidak pernah lupa niatnya yang suci. Dia selalu berdoa mudah-mudahan ada jodoh di antara mereka berdua. Afeq mahu teguhkan ekonominya terlebih dahulu dan banyak lagi persediaan untuk menjadi seorang suami. Sekarang usianya masih terlalu muda, begitu juga Amyra. Masih punya banyak masa dan masih banyak yang perlu di pelajari.

“Afeq apa khabar? Makcik doakan semoga Afeq berjaya mengejar cita-cita.” Kata Masdiana memberi perangsang dan harapan buat Afeqien.

Masdiana sungguh tertarik kepada Afeqien, dia adalah calon terbaik untuk anaknya Amyra. Sekurang-kurangnya Afeqien boleh membimbing Amyra dalam hal-hal agama, kerana Amyra memang tidak sempat menuntut ilmu agama dengan sempurna. Masdiana sedar. Tetapi Masdiana yakin masih belum terlambat untuk Amyra mempelajarinya. Masdiana selalu berpesan kepada Amyra supaya membuka ‘youtube’, kerana di situ, Amyra boleh belajar mengaji, mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan sebagainya. Melayari internet kepada yang berfaedah sangat banyak manafaatnya.

“Ustaz, boleh ajar Myra mengaji tak?” tanya Amyra sambil menjeling manja.

“boleh, apa salahnya, datanglah kemari pada hari minggu, bolehlah belajar mengaji bersama-sama” pelawa Afeqien.

Masdiana dan Puan Zainab tersenyum.
Setelah melawat dan bertanya khabar semua penghuni di situ, Masdiana menyumbangkan sekeping cek bernilai RM 300.00, kepada Puan Zainab.

“Terima kasih Puan Masdiana, semoga Allah sajalah yang akan membalas budi Puan Masdiana adan di perluaskan lagi pintu rezeki kepada Puan Masdiana sekeluarga” ucap Puan Zainab, sambil menerima cek itu dengan perasaan terharu.

Masdiana bukan seorang yang kaya-raya, sebanyak itu sahaja yang dia mampu asalkan hatinya benar-benar ikhlas.

“Terima kasih Puan, kerana melayan kami dengan baik sekali, kami bermohon diri dulu ya, Insyaallah jika ada masa nanti, kami akan datang lagi” kata Masdiana sambil memrgang tangan Amyra.

Azizul Azrai sudah terlebih dahulu, berada di dalam teksinya.  Membaca surat khabar sambil menunggu Masdiana dan Amyra untuk pulang. Azizul cukup menepati masa. Dia tidak suka bertangguh-tangguh, pelanggan teksinya akan marah, jika terlambat.
Azizul Azrai sempat juga beramah mesra dengan sebahagian anak-anak yatim di situ. Dia juga bersalaman sambil menepuk-nepuk bahu Afeqien sewaktu mahu beredar  sebentar tadi. Azizul memang tidak banyak bercakap, tetapi lebih banyak tersenyum sambil mendengar perbualan mereka.
Di dalam hati Azizul hanya hendak keluar cepat dari tempat itu, untuk mencari duit. Banyak benda yang belum dibayar. Yuran sekolah anak-anaknya serta perbelanjaan harian, tetapi Azizul menghormati, memahami serta menyokong setiap rancangan dan kehendak Masdiana. Itu sahaja yang Azizul mampu untuk memberi kebahagiaan kepada Masdiana.

BAB 6.
Masdiana tinggal bersama mak mertua.

“Jaga diri elok-elok ya Myra, berhati-hati selalu, jangan lupa baca doa, sebelum keluar rumah. Sekarang ini macam-macam boleh berlaku. Ingat selalu kepada Allah, mudah-mudahan Allah melindungi Myra.” pesan Masdiana, sambil mencium kedua2 belah pipi anak gadis kesayanganya itu.

Air mata Masdiana bergenang di kelopak matanya, Masdiana cuba menahannya daripada menitis ke pipi. Masdiana terpaksa membiarkan anak daranya hidup berdikari. Apa boleh buat, Masdiana tidak dapat membawa Amyra untuk tinggal bersama-samanya di rumah emak mertuanya. Lagi pun bilik di rumah dua tingkat itu hanya ada 4 buah.
Bilik utama khas untuk mak mertuanya, bilik tengah adalah bilik anak tiri Masdiana. Azmin, duda tanpa anak itu adalah anak sulung Azizul Azrai yang sejak kecil tinggal di rumah itu. Cucu kesayangan neneknya. Azmin selalu keluar daerah dan meninggalkan neneknya sendirian di rumah itu.
Sebab itulah Masdiana dan Azizul mengambil keputusan untuk tinggal bersama emak mertuanya. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjaga kebajikan emak mertuanya sepanjang masa kerana Masdiana lebih suka bekerja sendiri dan ada banyak masa di rumah.

Bilik 3, adalah bilik Masdiana dan Azizul. Semua bilik itu berada di  tingkat satu.
Satu bilik kecil berada di tingkat bawah berdekatan dengan bilik air dan dapur di khaskan untuk anak-anak buah Masdiana, yang kebanyakannya lelaki. Jadi, tidak elok untuk Amyra menumpang di rumah itu.

Mak mertua Masdiana seorang yang sangat cerewet. Walaupun usianya sudah mencecah 82 tahun, namun dia masih kuat untuk membuat kerja-kerja rumah dan memasak. Dia tidak puas hati jika ada orang lain yang mengambil alih tugasnya memasak atau menyiang ikan, serta membasuh bahan-bahan makanan. Pada dia, orang lain tidak membasuh sebersihnya.

“Buhlah banyak skit sabun tu, cepatnya basuh pinggan, bersihka, bilaslah lama-lama skit” kata mak mertua Masdiana apabila melihat Azizul mencuci pinggan.

“Mak nak buh sabun banyak tara mana mak, nak bilas lama tara mana mak? tak bersih lagi kah basuh macamni.” jawab Azizul Azrai, yang begitu pelik dengan sikap ibunya.

Kalau ibunya yang mencuci pinggan, sabun hijau pekat misti terlihat di atas pinggan mangkuk, padahal jika sebanyak itu sabun yang di gunakan masih boleh mencuci 5 hingga 10 peralatan yang lain. Sebab itulah sabun ‘sunlight’ 1 liter itu, tidak sampai 3 hari pasti habis digunakan mak mertua Masdiana untuk mencuci pekakas di dapur.

Tidak hairanlah jika dia berada di dapur sangat lama. Bilasan untuk satu-satu pekakas mengambil masa beberapa minit kerana menggunakan sabun yang banyak ketika membasuh.
Masdiana terpaksa juga bertahan dan bersabar dengan kerenah mak mertuanya yang bermacam-macam, kerana semasa dia mula hendak berpindah ke situ, semua barang-barang dan peralatan memasak tidak dibenarkan dibawa bersama.

“Mas, tak usah bawa barang-barang kat rumah mak, semua barang dah ada.” 

 Semua perabut dilelong dan disedekahkan kepada jiran-jiran. Barang-barang dapur seperti periuk belanga, pinggan mangkuk, serta peralatan letrik, dikirimkan kepada kakaknya di kampung, yang kebetulan anak saudara Masdiana ada berkunjung ke rumah itu dahulu. Jika barang-barang keperluan yang penting, Masdiana akan menyimpannya di dalam bilik.

Mak mertua Masdiana tidak suka melihat barang-barang Masdiana disimpan bersama barang-barangnya di dapur. Masdiana terpaksa juga tinggal di situ, walaupun begitu kecewa atau  tidak tahan sekalipun.  Masdiana tidak mampu untuk berpindah dalam masa terdekat, kerana Masdiana terpaksa mengumpul wang dan membeli  semua barang-barang keperluan yang baharu semula. Masdiana terpaksa bersabar dan pasrah kepada Ilahi, mudah-mudahan di beri kesabaran yang tinggi dalam menghadapi segala ujian.

Memang niat Masdiana apabila berpindah ke rumah itu, dia ingin menjaga dan melayan emak mertuanya seperti ibu kandungnya sendiri, kerana dia tidak pernah dapat merasa bagaimana menjaga ibunya semasa hayat arwah. Sewaktu Masdiana bersalinkan Amyra, pernah arwah ibunya tinggal bersamanya selama 6 bulan dan selepas itu, Masdiana tidak berkesempatan lagi untuk mengajak ibunya tinggal bersama. Itulah kenangan manis Masdiana bersama arwah ibunya. Ibu Masdiana lebih suka berada di kampung halaman.

“Mak tak boleh duduk sini, macam dalam penjara, semua rumoh ada pagar besi, tertutup kemas keming” kata ibunya, dia rasa macam terkongkong.

Jika di kampung dapat bermesra dan bermain dengan cucu-cucunya. Dapat duduk mengambil angin di atas pangkin sambil menghirup udara segar. Berlainan sekali hidup di bandar, membosankan!. Masdiana tidak pernah lupa untuk berdoa,  menghadiahkan Al-fatehah dan bacaan Surah Yasin kepada arwah ibu dan ayahnya setiap kali selepas solat.

Masdiana seorang tukang masak , hobinya ialah memasak , mencipta dan mengubah resepi-resepi sedia ada. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak di beberapa buah restoran di sekitar ibu kota. Pada jangkaan Masdiana, dia ingin sekali melihat mak mertuanya berehat, menonton ‘ tv’, membaca surat khabar atau menghabiskan masa dengan mengaji dan beribadah. Biarlah dia menunjukkan  kepakarannya memasak dan memberi hidangan yang berlaianan setiap hari kepada mak mertuanya.

Tetapi jangkaan Masdiana meleset sama sekali, rupa-rupanya mak mertuanya tidak sedikitpun berfikiran seperti Masdiana. Pada dia, kerja-kerja memasak, biarlah dia uruskan sendiri. Dia lebih suka menghabiskan masanya di dapur dari 8.30 pagi sehingga jam 12 tengah malam setiap hari, tanpa berehat atau tidur di waktu siang.

“Kenapa mak tidak mahu serahkan saja tugas-tugas di dapur kepada kak Mas?” tanya Masdiana kepada adik iparnya pada suatu hari.

“Mestilah dia tidak akan lepaskan dapur dia kepada kak Mas, itukan dapur dia, rumah dia, dah hari-hari dia buat kerja macam tu.” Jawab adik iparnya.

Kadang-kadang  Masdiana hairan memikirkan, apakah yang dibuat mak mertuanya  setiap hari, di dapur. Kalau Masdiana cerita perkara ini kepada orang lain, tentu mereka tidak akan percaya, kerana jika usia seseorang itu mencecah 80an, selalunya mereka lebih suka berehat daripada membuat kerja-kerja rumah. Mereka lebih rela menyerahkan semua urusan rumah tangga kepada anak-anak dan menantu. Mereka akan bersyukur jika ada menantu yang menjadi surirumah sepenuh masa. Ini tidak, berlainan benar dengan sikap mak mertua Masdiana, dia tidak menyangka sama sekali, keadaan seperti ini masih ada di zaman sekarang.

Mak mertua Masdiana akan selalu memeriksa barang-barang makanan yang di simpan di dalam peti sejuk, apa lagi jika makanan itu Masdiana yang masak, tidak sampai 24 jam berada dalam peti sejuk, dia akan terus membuangnya ke dalam tong sampah, tanpa bertanya terlebih dahulu, samada  Masdiana dan Azizul masih mahu memakannya. Tetapi jika masakannya, walaupun sudah tiga empat hari di perangat, masih disimpan di dalam peti.

Masdiana selalu tersinggung dengan perbuatan mak mertuanya, tetapi apa boleh buat, itu rumahnya. Masdiana hanya menumpang. Masdiana ingat itu. Ingat sampai bila-bila dan sedar siapa dirinya. Dari mana asal usulnya. Sebab itu  Masdiana terasa kecewa, dengan sikap mak mertuanya yang suka membazir dan membuang barang-barang tanpa rasa sayang. Masdiana datang dari keluarga yang miskin. Tidak pernah membuang barang-barang makanan yang masih boleh di makan. Masdiana terasa pelik dan  janggal dalam situasi itu.

Pernah satu hari Masdiana menyuruh suaminya membeli udang geragau untuk rencah masakan. Udang geragau sangat wangi dan menambah kelazatan di dalam sayuran dan masakan. Udang geragau itu masih di dalam plastik, sudah lesap dibuang mak mertuanya.

Apabila Azizul bertanya kepada ibunya, ibunya hanya menjawab “uh, mak dah buang!.”

“Kenapa mak buang?, kan udang tu dalam plastik lagi mak, udang tu tahan bertahun-tahun, apalagi plastiknya belum dibuka dan disimpan di dalam peti sejuk.” Jelas Azizul kepada ibunya.

Tetapi ibunya buat-buat tidak dengar sahaja, tanpa rasa kesal dan bersalah.
Memang dia banyak duit. Pencen yang dia dapat setiap bulan pun mencecah RM 3000.00. Tetapi tidak bermakna dia boleh membazir sesuka hatinya. Membazir itukan perbuatan syaitan!

“Memang dari dahulu perangainya begitu, tidak boleh diubah lagi sikap boros dan membazir.” Kata Azizul sambil menggelengkan kepalanya.

Kesal dengan sikap emaknya yang tidak pernah mahu mendengar setiap teguran anak-anaknya. Dia akan buat ikut hati dan perasaannya sendiri walaupun perkara yang dilakukannya itu banyak yang salah. Adik beradik Azizul yang lain pun selalu menegur sikap pembaziran maknya itu, tetapi tidak pernah diendahkan olehnya. Dari dia muda sehingga sekarang, sikap membazir dan cerewetnya itu semakin menjadi-jadi.

“Lihat mak, pisang ini baru jer mak beli semalam, hari ini dah nampak lebam-lebam, esok mesti lembik dan sudah tidak elok untuk dimakan.” beritahu Azizul kepada emaknya.

 Setiap kali selepas emaknya membeli pisang, pasti dia akan mencucinya. Dia akan cuci bersih-bersih kulit pisang itu dengan sabun dan digosoknya dengan berus pencuci pinggan. Apabila kulit pisang itu ditenyeh dengan berus, mudah bagi baktiria perosak menyerang kulit pisang dan menembusi isi pisang yang manis dan sedap itu. Setiap kali keluarga itu akan makan pisang sisa baktiria dan setiap kali itu juga semua pisang- pisang itu, akan lembik dan berair apabila masuk hari yang ketiga. Sudah puas Azizul dan Masdiana menasihatinya. Terangkanlah dalam bahasa dan ayat bagaimana bagus sekali pun, pada dia, cara dia itu sahaja adalah yang terbaik.

 “Uh!, mak tak suka pisang ini disentuh dan dijamah oleh semua orang, mak geli, baik mak basuh.” Kata ibunya.

 Selagi mak mertua Masdiana itu tidak merubah tabiat buruknya itu, pembaziran akan tetap berlaku. Bukan itu sahaja, Azizul Azrai akan disuruh maknya membeli segala buah-buahan setiap kali ada pasar minggu. Selalu buah-buahan di dalam peti itu akan layu dan kecut, tidak sempat dimakan. Hampir setiap hari, jika ‘Apek” penjual sayur ada menjual buah mangga dan betik, dia tetap akan membelinya, walaupun di dalam peti sejuk sudah ada pelbagai jenis buah.


Bab 7.
Balik Kampung.
Telefon bimbit Masdiana bergetar, beserta  muzik tema DIGI berbunyi perlahan.

“Siapa yang telefon malam-malam ini sayang?”tanya Azizul mesra sambil menarik selimutnya keatas perut.

“Entahlah bang, nombor telefon ni seperti kod dari negeri di Pantai Timur” balas Masdiana sambil menekan punat hijau telefon bimbitnya. “Hello!”

 “Assalamualaikum, kak Masdiana ke di sana? Apa khabar? Saya Kamarudin anak Osman, sepupu kak Mas yang berada di Besut” kedengaran suara seorang lelaki yang tidak pernah Masdiana kenal sebelum ini. Anak sepeupu!. Buat apa pulak tiba-tiba anak sepupu mahu bercakap denganya? Sedangkan selama ini, tidak ada seorang pun saudara maranya yang ingin ambil berat tentang kehidupannya, apa lagi jika hanya hendak bertanya khabar. Jauh panggang dari api!. Ini mesti ada hal penting, fikir Masdiana di dalam benaknya.

“Walaikumussalam, ya, saya Masdiana, ada hal apa tu?” jawab Masdiana kehairanan.

“Begini, memandangkan, kak Masdiana tidak balik ke kampung lagi, apa kata, kak Masdiana setuju sajalah jika ayah saya, menukar nama arwah mak Masdiana itu kepada nama dia di atas geran tanah yang dijual oleh arwah mak kak Mas kepada ayah saya dulu.” Kamarudin cuba terangkan sesuatu kepada Masdiana yang masih bingung.

“Mana boleh buat macamtu, bercakap di telefon, mana ada buktinya. Siapa kata saya tidak pernah balik?,” Masdiana betul-betul berang.

“Saya selalu balik kampung kerana ada urusan dengan Kak Pah, Cuma saya malas nak pergi ke kampung tu, jika tidak ada hal mustahak” jelas Masdiana. Azizul Azrai mendengarkan sahaja perbualan isterinya sambil membaca sebuah buku agama Islam.

“Kalau dah kak Mas kata begitu, harap dapat balik dengan segera, kerana kita nak buat permohonan pertukaran nama pemegang amanah kepada tuan tanah yang berhak”

“Awal bulan depan saya ada hal di Kelantan, nanti saya singgah,”

“Kalau begitu, tidak apalah, terima kasih, Assalamualaikum” Kamarudin menamatkan percakapannya itu, setelah salamnya dibalas oleh Masdiana.

Wajah Masdiana terus berubah. Masam mencuka.

“Kenapa ni sayang? Siapa yang telefon tadi, tak baik cakap keras-keras begitu,”

“Manalah Mas tak bengang bang, selama ini, mana diorang semua kisahkan Mas, pasal harta pusaka tu semua diorang kebas, tak ada sedikit pun nama Mas dalam geran tanah arwah mak dan ayah, ini tanah yang sekangkang kera pun, Mas nak kena serah kepada mereka, tidak adil!, bang…” air mata Masdiana mulai meluncur laju menuruni pipinya yang mulai disinggahi kedut-kedut halus.

“Sudahlah Mas, bulan hadapan kita balik kampung, kita lihat sendiri nama dan keluasan tanah itu,” Azizul Azrai mengusap air mata isterinya dengan kain pelikat yang dipakainya. Masdiana tersenyum. Lucu, di atas kepala katil model lama itu ada sekotak tisu, tetapi suaminya menggunakan kain pelikat yang dipakainya, untuk menyapu air mata isterinya sehingga terlodeh.

“Apalah abang ni” Masdiana cepat-cepat mengangkat kain pelikat itu, menutupi bahagian pusat suaminya.

“Sayang!, isteri abang ni, manja…” Azizul merangkul Masdiana erat-erat. Masdiana benar-benar bahagia di dalam pelukan suaminya.

Baru dua jam Masdiana terlena di dalam rangkuman suaminya, telefon Masdiana bebunyi lagi. Lama, sampai habis muzik lagu tema DIGI itu berbunyi, telefon Masdiana berbunyi sekali lagi.

‘Siapa pulak, telefon malam-malam ni.’ Ah! Mengantuk sungguh, tidak larat untuk Masdiana bangkit menjawab telefon yang berada di sudut meja solek.

Melalui cahaya samar-samar yang mencelahi bawah pintu biliknya, mata Masdiana terkebil-kebil mencari di mana duduknya cermin matanya yang disimpannya tadi, teraba-raba di dalam gelap malam yang hanya di terangi cahaya lampu dari ruang tengah rumah di tingkat satu itu. 

‘Hishammudin memanggil’

Apa pula, anak Kak Pah nak malam-malam buta ni, detik hati Masdiana.

“Hello, Assalamualaikum, ada apa Hisham?”

“Wassalam, Mak Su, Mak Long dah meninggal dunia lepas isya’ tadi.”

“Innalillahi Wainna Ilahi Rojiun…” mata Masdiana terbeliak, hilang terus rasa mengantuk, dia jadi gelabah.

“Terima kasih Hisham, Insyaallah mak su balik, bila mayat hendak dikebumikan?”

“Lepas sembahyang jumaat” kata Hisam lagi, setelah memberi salam, kedengaran Hisham mematikan telefon bimbitnya.

“Bang, bang! Kak Nah dah meninggal” Masdiana mengejutkan suaminya yang sedang nyenyak tidur. Letih seharian memandu teksi.

“Hah, Innalillahi Wainna Ilaihirojiun! Habistu, sayang nak balik kampung ke?” tanya Azizul dalam keadaan mamai.

“Rasa abang macamna? Tak patut pulak, Mas tidak balik, lagipun hal tanah tu?” Masdiana mematikan kata-katanya disitu. Tidak balik, nanti tidak elok benar, kakak sendiri meninggal.

“Oklah, siapkan baju, kita balik malam ni jugak, sempatlah kalau sayang nak lihat wajah kak Nah buat kali terakhir jika, selepas jumaat dikuburkan”

“Kena gerak mak, bang,” Masdiana mengemas pakaian kedalam beg.

“Mak, saya dengan Mas nak balik kampung malam ni jugak ni mak, kakak Mas yang sulung meninggal malam tadi” kata Azizul sebaik sahaja maknya sedar dari tidur, setelah dikejutkan.

“Tak apalah, mak kirim salam kepada semua keluarga Mas” mak mertua masdiana, bangun dan menunggu di ruang tamu utk mengunci pintu. Pada malam itu, Azmin tidak bermalam di rumah.

“Kami pergi dulu ya mak, tak apa ke ni, mak tinggal sorang-sorang?”

“Tak apa lah Mas baliklah, Azizul, bawa kereta elok-elok, selamat sampai, selamat balik” kata mak mertua Masdiana.

Suasana malam yang pekat itu, tidak ada kenderaan yang lalu lalang. Sunyi di sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pantai Timur. Tetapi jika hari-hari perayaan, jangan harap jalan selengang ini. Tidak kira waktu mana pun, memang sesak dengan pengguna lebuhraya.
Masdiana akan berada di kampung untuk beberapa hari bagi menyiapkan permohonan pindah hak milik tanah di Pejabat Tanah, Kampung Raja, Besut. Kebetulan pula dengan kematian kakaknya, Masdiana balik dengan serta merta, jika tidak, mungkin Masdiana belum pulang lagi ke kampung. Azizul memandu tanpa henti, hanya ingin cepat sampai.

“Mas mengantuk ke sayang? kalau mengantuk, tidurlah,” kata suami Masdiana sambil menggosok-gosok mesra paha isteri kesayangannya.

“Tidak apalah bang, mata Mas belum mengantuk lagi ni” jawab Masdiana, sambil mengingatkan kembali peristiwa semasa bersama arwah kakak sulungnya sejak kecil sehingga arwah meninggal dunia.

BAB 8
Imbas Kembali.

35 tahun yang lalu.

Mana buah jambu yang kak Nah pesan tu?” Masdiana tunduk, menjeling kepada Ani sambil tersipu-sipu.

Mak Su dah buang dalam tali air semua buah-buah jambu tu,” kata Ani anak ketiga Kak Nah. Masa itu, Masdiana tingkatan satu, manakala Ani darjah lima. Pada zaman 70an, mereka seusia itu, masih belum matang  untuk berfikir, masih bermain tempurung! Zaman sekarang, kanak-kanak sebaya itu, sudah pandai bercinta!

Ala, kau pun buang jugak!” 

Masdiana menjeling tajam kepada Ani, kerana dia pun apa kurangnya, sama-sama ghairah melontarkan buah-buah jambu itu kedalam tali air dengan pelbagai aksi. Buah-buah jambu sebanyak  tiga beg plastik itu memutih di dalam tali air tersebut. Mereka sangat seronok membalingkan buah-buah jambu itu satu persatu. Kanak-kanak, apa yang mereka tahu tentang pembaziran, asalkan tidak membebankan mereka.

Takan tak tinggal sebiji dua, sampai hati, Kak Nah teringin benar nak makan buah jambu tu” Ani dan Masdiana tunduk.

Macamana kami nak bawak buah jambu tu, dahlah hujan lebat, kena pimpin Aya lagi, Azli, tak nak tolong apa-apa pun,” jawab Masdiana lagi.

Ya lah ummi, kena pegang cangkul, kena pegang selipar lagi, buah jambu tu pulak banyak, penuh plastik, macamana nak bawak?” tambah Ani lagi.

Waktu itu, jalan kampung masih bertanah merah, tanpa ditar. Apabila hujan, selut daripada jalan tanah merah itu akan melekat pada selipar yang dipakai, menjadi berat dan tebal.  Waktu itu, kakak sulungnya menyuruh mereka mengambil cangkul di rumah ibu Masdiana yang jauhnya kira-kira satu kilometer dari rumah kakaknya. Untuk mengelak daripada jalan tanah merah yang licin dan berselut itu, mereka melalui jalan sawah dan batas tali air, jalan pintas menuju ke rumah kakak sulungnya di Pekan Alor Lintah.
Masdiana tersenyum sendirian apabila teringat peristiwa itu, sungguh melucukan. Kasihan kepada Kak Nah, tidak dapat makan buah jambu batu itu.

“Kenapa buang buah-buah jambu yang Ayah Pa bagi kelmarin, dalam tali air?” tanya Tok Guru Pa, apabila mereka pergi mengaji.

Masdiana dan Ani berpandangan sesama sendiri dan mengangkat kening serta bahu, hairan macamana tok gurunya boleh mengesan perbuatan mereka itu.

“Ayah Pa terkejut, bila lihat benda memutih, pelik dalam tali air, dah nak magrib, masa Ayah Pa pergi dekat-dekat, Astaghfirullahal ‘Azdim! Buah jambu!” cerita Ayah Pa, bagaimana dia terlihat buah jambu yang berterampungan di permukaan tali air itu semasa beliau ke baruh untuk mengambil lembunya pulang ke kandang. Muka Tok Guru Pa serius betu!
Wajah Masdiana dan Ani terkulat-kulat. Isteri Ayah Pa ketawa kecil di dapur. Lucu dengan gelagat mereka berdua.

Arwah kakak sulung serta arwah  suaminya adalah tukang jahit yang terkenal di Pekan Alor Lintah pada ketika itu. Kini anak sulung arwah yang mengambil alih perniagaan itu di Kota Baharu. Dari kecil lagi Masdiana telah didedahkan dengan jahitan. Kakak Masdiana yang bernama Masripah pun mahir dalam bidang jahitan kerana belajar dengan arwah. Suami arwah pula mahir dalam semua jahitan pakaian lelaki. Gandingan mereka sungguh hebat, membolehkan perniagaannya  maju dengan cepat. Suami arwah telah meninggal dunia terlebih dahulu kerana serangan jantung. Sejak itu, arwah tidak pernah berkahwin lagi, walaupun pada masa itu arwah masih cantik dan masih muda. Arwah kesal kerana di sebabkan perangai Awang, adik beradik lelakinya yg seorang sahaja itu, sudah pasti arwah tidak diberikan wali. Arwah tidak mahu keadaan kecuh dan membawa malu, lebih baik dia menjanda dan menjaga anak-anaknya sendirian. Arwah bernasib baik, kerana kesemua anak-anaknya telah tamat alam persekolahan pada masa itu.

Pernah juga Masdiana tersinggung dengan arwah, dia tidak pernah melayan Masdiana sebaiknya. Acuh tak acuh, sahaja. Seingat Masdiana sepanjang persekolahanya, Masdiana hanya mendapat wang RM5.00 sahaja daripada arwah dan sehelai baju, bukan sepasang baju, padahal arwah seorang tukang jahit dan kehidupannya agak mewah. Semuanya dilebihkan untuk anak-anaknya dahulu, walaupun pada masa itu, Masdiana sering berada di rumah kedainya kerana bermain dengan anak-anaknya. Hendak bermain dan bermesra dengan abangnya seperti langit dengan bumi. Sejak kecil lagi Awang tidak suka kepada adik bongsunya Masdiana.

“Abang, nak ikut!” jerit Masdiana. 
“Mana boleh ikut, kau  perempuan, mana boleh bermain dengan orang lelaki?”jawab abangnya, masa itu abangnya selalu bermain dengan Jusoh, anak jiran sekampung.

Entah kenapa pada satu hari itu, ketika hampir tibanya hari raya, Masdiana dihadiahkan dengan sehelai baju yang dijahit arwah sendiri. Masdiana Masih ingat, baju itu bercorak daun, berwarna hijau lumut dan berselang seli dengan warna hijau pucuk pisang. Itu pun setelah puas dipilih oleh anak-anaknya terlebih dahulu. Selepas mereka semua tidak berkenan, dijahitnya menjadi sehelai mini kurung, cantik pula apabila Masdiana memakainya.  Masdiana mengenakan baju mini kurung itu dengan sehelai kain lipat batik berwarna hitam. Kain itu dijahit oleh kakaknya Masripah. Walaupun Masripah seorang yang agak kurang berkemampuan, tetapi dia tidak pernah kedekut dan melayan Masdiana sama seperti melayan anak-anaknya sendiri.

“Cantik sungguh! Kena dengan kulit Mas..” Puji kakak sulung Masdiana untuk mengambil hati adik bongsunya sebaik sahaja Masdiana menggayakan baju yang dijahitnya itu.

“Terima kasih kak Nah,” ucap Masdiana.

Pada masa Masdiana masih bersekolah, Masripah sudah menjahit beberapa pasang baju kurung. Semua baju-baju yang dijahit  Masripah selesa dipakai. Pada masa itu anak-anak Masripah masih kecil. Masdiana menolong kakaknya itu menjaga anak-anak saudaranya sementara Masripah menjahit. Masripah menghadiahkan seutas jam tangan dan tidak lokek untuk memberi wang bagi membeli buku-buku sekolah Masdiana. Sungguh banyak budi Masripah terhadap masdiana.

“Ada lagilah, baju ni?!” kata Masripah kehairanan apabila melihat Masdiana masih memakai baju yang dijahitnya sepuluh tahun yang lalu.

Badan Masdiana tidak pernah berubah, sebab itulah baju-bajunya tidak perlu dijahit selalu. Masdiana ada mempunyai seorang kakak lagi yang bernama Maskalthom, tetapi beliau telah meninggal dunia terlebih dahulu. Maskalthom serta suaminya bekerja sebagai peneroka tanah di Jerangau. 
Semasa hayatnya, dia adalah seorang yang beriman. Mengajar mengaji kepada anak-anak kampungnya secara percuma. Arwah meninggal di dalam masjid setelah selesai sembahyang isya’ kerana hanya tercekik semasa makan, pada masa itu ada sedikit jamuan tahlil oleh penduduk kampung disitu. Arwah selalu berdoa kepada Allah supaya dia meninggal di dalam masjid. Permintaannya telah dimakbulkan Allah (SWT) Subhanallah!. Maskalthom seorang sahaja berkulit gelap di antara 4 orang adik beradik perempuan, berbanding dengan arwah kakak sulungnya yang berkulit putih. Tetapi sewaktu jenazahnya dimandikan seperti ada cahaya yang bersinar memancar di wajahnya yang tenang dan manis. Di celah-celah jarinya juga bagaikan bercahaya. Itulah rahmat yang telah ditunjukkan Allah di dunia lagi apabila umatNya benar-benar sujud kepada Allah (SWT) dan berbuat banyak kebajikan di atas dunia ini.

"Sayang, kita berhenti sembahyang subuh dan berhenti sarapan ya? Abang nak makan nasi dagang " kata-kata Azizul yang terpacul itu, menyentap Masdiana dari lamunannya.

"Terperanjat Mas, bang, 'Astaghfirullahal 'azdim..." Masdiana mengucap dan mengurut-ngurut dadanya beberapa kali.

"Maafkanlah abang, sayang, abang tak tahu Mas sedang mengelamun" kata Azizul sambil tersenyum.

 BAB 9.
Kehilangan

Setelah selesai sembahyang subuh, Azizul meneruskan lagi perjalanan menuju ke Besut. Perjalanan masih jauh lagi, tetapi Azizul menjangka mereka akan sampai sebelum pukul 12 tengahari nanti.

"Ok, kita berhenti di sini ya sayang, nampak di sana tu ada warung. Ramai orang berhenti makan di situ, mesti masakannya sedap!" kata Azizul. Masdiana diam membisu. Dia akan ikut sahaja di mana suaminya hendak berhenti.

“Assalamualaikum, Myra macamna? Sekarang, ibu sedang dalam perjalanan balik kampung , Mak Long Myra meninggal. Ibu tak sempat bagitahu Myra. Myra jaga diri elok-elok ya?” pesan Masdiana kepada anak daranya melalui telepon bimbitnya. “Myra ok ibu, kawan-kawan Myra kan ada, ibu janganlah risau ya?, sekarang Myra berada di tempat kerja“ jelas Amyra.

Masdiana tidak akan boleh makan selagi tidak khabarkan berita itu kepada anak dara kesayangannya.

"Nak makan apa encik?"
"Nasi dagang ada?"
"Ada! Minum?,"
"Bagi saya teh 'O'"
"Puan?,"
"Sama..." Masdiana tidak ceria, dia masih terkenangkan arwah kakaknya.

Dua bulan sebelum itu, Masdiana ada balik ke Besut, dia menemui Kak Pah dan juga Kak Nah. Masdiana sempat bermesra dengan arwah saat-saat akhir sebelum arwah meninggal dunia.

"Kak Nah, ambillah telekung ini, telekung ini daripada 'Telekung Projek'." Masdiana menunjukkan label yang dijahit tangan di hujung bahagian depan telekung itu, tertulis 'Telekung Projek'

"Alhamdulillah, telekung ni muat dengan Kak Nah, yang ada sekarang ni besar sangat dan labuh, sejak Kak Nah dah jadi bongkok ni" kata Kak Nah sambil ketawa kecil dan tersengeh.

Sejak itu, Kak Nah menggunakan telekung itu untuk sembahyang lima waktu.

"Kak Nah ini ada duit belanja sikit"

"Terima kasihlah adik, Kak Nah dah tak sampai dah rasanya untuk pergi ke Kuala Lumpur tu, kesihatan Kak Nah ni tidak menentu sekarang" kata Kak Nah yang teringin benar untuk mengenali keluarga Masdiana lebih dekat. 

Semasa perkahwinan Masdiana dahulu, dia tidak dapat hadir. Ada air jernih tergenang di kelopak matanya yang kendur itu. Masdiana memeluk Kak Nah erat-erat. Mungkin pada waktu itu Kak Nah seperti menyesal kerana tidak melayan Masdiana dengan baik semasa Masdiana masih menuntut dahulu.

"Maafkan kita ya Kak Nah,"
"Adik tidak ada salah apa-apa pun dengan kak Nah" kata-kata Kak Nah sungguh ikhlas ketika itu. Masdiana dan Kak Nah berpelukan. 

Selepas itu Masdiana tidak berpeluang lagi bertemu dengan Kak Nah sehinggalah ke hari ini. Masdiana sudah kehilangan dua orang kakak kandungnya. Hanya tinggal Kak Pah seorang sahaja kakak perempuannya dan Awang, abangnya.

"Mas! Sudahlah, makanlah cepat" Azizul seperti tahu isterinya sedang mengelamun. Masdiana terpinga-pinga. Nasi dagang dan teh 'O' sudah pun berada di hadapannya.

Masdiana memang tidak suka bersarapan pagi. Apa lagi ketika dia sedang bersedih. Beberapa sudu sahaja yang disuapnya. Teh 'O' diminumnya hanya seteguk. Azizul telah menghabiskan sarapannya. Setelah membayar harga makanan, mereka meneruskan perjalanan. Kali ini, mereka akan teruskan perjalanan tanpa henti sehingga sampai ke destinasi yang hendak dituju.

Tepat jam 12 tengahari, mereka sampai di perkarangan rumah arwah. Kelihatan ramai orang kampung yang datang melawat.  Masdiana menuju ke ruangan dapur setelah bersalaman dengan semua yang hadir di situ. Mayat arwah kakaknya sedang dimandikan. Sekujur tubuh yang kaku itu lembut dan tenang bagaikan tidur nyenyak. Bersih benar wajahnya ketika itu. Mulut Masdiana berkumat-kamit membaca surah Al-fatehah dan mendoakan kepada arwah, semoga rohnya dicucuri Rahmat Allah Azza Wajalla.

Mayat arwah pun mula diangkat untuk dikafankan. Ada air jernih yang meluncur di pipi kiri arwah. Mungkinkah air mandian atau airmatanya. Masdiana memandang wajah Kak Nah dengan sayu.

"Mari sesiapa yang nak mencium wajah arwah kali terakhir sebelum wajahnya di tutup?" kata pengurus mayat.

Seorang demi seoarang anak-anak Kak Nah mencium pipi dan dahi arwah. Masdiana mencium dahi arwah sambil berbisik sesuatu di telinga arwah. 

"Assalamualaikum Kak Nah. Semoga Kak Nah bahagia di sana dan adik bahagia selama Kak Nah ada bersama adik, Insyaallah kami semua akan pergi juga..." Masdiana tidak dapat menahan sebaknya. Kerongkong Masdiana terasa sakit kerana mengekang air matanya daripada keluar di pipi.

Setelah semuanya selesai, muka arwah pun ditutup dengan kain kafan, dimasukkan ke dalam tempat usungan dan dibawa ke Masjid yang berdekatan. Setelah jemaah selesai bersembahyang Jumaat, mereka semua bersembahyang jenazah arwah pula. Setelah itu, arwah dibawa kedalam van jenazah dan dihantar ke tanah perkuburan Islam. Di situ ada kubur arwah anak bongsunya, Aya yang meninggal kerana mengalami strok. Aya masih muda ketika itu yang sedang menunggu panggilan untuk menjadi guru. Sebab itulah arwah tidak tinggal di rumah itu sendirian dan tinggal bersama anak-anaknya yang lain secara bergilir-gilir. Masdiana dan Kak Pah serta anak-anak saudara yang lain turut hadir di upacara pengebumian. Masdiana dan semua wanita berada di luar pagar tanah perkuburan itu.

Setelah mayat ditalqinkan. Kami semua pun bersurai. Setelah makan dan berehat, Azizul melelapkan mata sebentar, kerana petang itu juga, Azizul terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana ada hal penting. Kebetulan pada hari pengurusan jenazah itu hari jumaat dan hari sabtu ada kenduri keluarga Azizul di Damansara. Azizul ditugaskan supaya membawa emaknya ke majlis kenduri itu. Mahu atau tidak, Azizul terpaksa pulang pada petang itu juga.Setelah bersiap-siap untuk pulang, Azizul bersalaman dengan anak-anak saudara serta semua cucu-cucu saudara. 

“Mas, duduk elok-elok ya, kalau ada apa-apa nanti telefon abang tau?,” Pesan Azizul kepada Masdiana. 

Masdiana mencium tangan suaminya dengan lirikan mata yang mesra dan manja. Azizul berat untuk melepaskan tangan Masdiana. Di sudut hati Azizul tersemat perasaan kasih dan cinta yang mendalam terhadap Masdiana.

 “Assalamualaikum semua!” ucap Azizul sambil membunyikan hon. Semua melambaikan tangan kepada Azizul dan mendoakan semoga selamat sampai. 

"Tak nampak pun Awang? Dia tidak datang ke?" tanya Masdiana kepada anak sulung arwah.

"Takkan lah kakak dia meninggal pun kami nak kena bagi kad dan menjemput dia?" kata Mariam sambil tersenyum sinis.

Tiga malam berturut-turut tahlil diadakan untuk arwah oleh anak-anaknya di rumah itu. Kebetulan musim cuti sekolah, jika tidak susah bagi mereka semua untuk menguruskan majlis itu. Masdiana menumpang di rumah kakaknya, Masripah. Walaupun Masdiana tidak begitu selesa di situ. Tetapi Masdiana tidak ada tempat lain lagi untuk menumpang, walaupun rumah Awang hanya sebelah rumah Masripah. Masdiana tidak suka untuk bermalam di rumah banglo yang Awang bina sendiri di atas tanah kepunyaan Masdiana itu. Sampai hati Awang telah merobohkan rumah papan yang dibina oleh arwah ayah mereka, padahal rumah itu adalah hak milik Masdiana, yang telah diserahkan ibunya . Selalunya, rumah atau tapak rumah hendaklah diserahkan kepada anak bongsu setelah ibu bapa meninggal dunia. Oleh kerana tamakkan harta, Awang sanggup menzalimi Masdiana adik kandungnya sendiri  dengan merampas hak Masdiana. 

Pernah satu hari, ketika itu anak-anak Masripah sedang membesar dan mulai tahu tentang halal dan haram. 

“Tak malu buat rumah di tanah haram,” ejek anak-anak Masripah kepada Awang.

Budak-budak pun faham melihat perbuatan Awang yang tidak bertanggunjawab itu.

 “Pang!..” satu penampar sekuat hati Awang singgah di pipi sebelah kiri Suhaimi, anak ke 4 Masripah, sehingga bernanah.  Pergaduhan pun berlaku lagi. Sejak peristiwa itu juga semua anak-anak Masripah tidak bertegur sapa dengan bapa saudaranya walaupun tinggal bersebelahan. Apa lagi selalu mereka melihat ibu mereka ditendang oleh Awang. Mereka menjadi kecewa dan pendendam.

1 comment:

Ayuni Ulfat said...

BAB ini telah bonda edit entah yang ke berapa kali..jika belum jumpa umphnya harap bersabar ya?..