Wednesday, 23 January 2013

isah seorg menantu sebelum diedit 2


“Jaga diri elok-elok ya Myra, berhati-hati selalu, jangan lupa baca doa, sebelum keluar rumah. Sekarang ini macam-macam boleh berlaku. Ingat selalu kepada Allah, mudah-mudahan Allah melindungi Myra.” pesan Masdiana, sambil mencium kedua-dua belah pipi anak gadis kesayanganya itu.
Masdiana terpaksa membiarkan anak daranya hidup berdikari. Air jernih bergenang di kelopak matanya, Masdiana cuba menahannya daripada menitis ke pipi. Apa boleh buat, Masdiana tidak dapat membawa Amyra untuk tinggal bersama-samanya di rumah emak mertuanya. Lagi pun bilik di rumah dua tingkat itu hanya ada 4 buah.
Bilik utama khas untuk mak mertuanya, bilik tengah adalah bilik anak tiri Masdiana. Azmin, duda tanpa anak itu adalah anak sulung Azizul Azrai yang sejak kecil tinggal di rumah itu. Cucu kesayangan neneknya. Azmin selalu keluar daerah dan meninggalkan neneknya sendirian di rumah itu.
Sebab itulah Masdiana dan Azizul mengambil keputusan untuk tinggal bersama emak mertuanya. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjaga kebajikan emak mertuanya sepanjang masa kerana Masdiana lebih suka bekerja sendiri dan ada banyak masa di rumah.
Bilik 3, adalah bilik Masdiana dan Azizul. Semua bilik itu berada di tingkat satu.
Satu bilik kecil berada di tingkat bawah berdekatan dengan bilik air dan dapur di khaskan untuk anak-anak buah Masdiana, yang kebanyakannya lelaki. Jadi, tidak elok untuk Amyra menumpang di rumah itu.
Mak mertua Masdiana seorang yang sangat cerewet. Walaupun usianya sudah mencecah 82 tahun, namun dia masih kuat untuk membuat kerja-kerja rumah dan memasak. Dia tidak puas hati jika ada orang lain yang mengambil alih tugasnya memasak atau menyiang ikan, serta membasuh bahan-bahan makanan. Pada dia, orang lain tidak membasuh sebersihnya.
“Buhlah banyak skit sabun tu, cepatnya basuh pinggan, bersihka, bilaslah lama-lama skit” kata mak mertua Masdiana apabila melihat Azizul mencuci pinggan.
“Mak nak buh sabun banyak tara mana mak, nak bilas lama tara mana mak? tak bersih lagi kah basuh macamni.” jawab Azizul Azrai, yang begitu pelik dengan sikap ibunya.
Kalau ibunya yang mencuci pinggan, sabun hijau pekat misti terlihat di atas pinggan mangkuk, padahal jika sebanyak itu sabun yang digunakan masih boleh mencuci 5 hingga 10 peralatan yang lain. Sebab itulah sabun ‘sunlight’ 1 liter itu, tidak sampai 3 hari pasti habis digunakan mak mertua Masdiana untuk mencuci pekakas di dapur.
Tidak hairanlah jika dia berada di dapur sangat lama. Bilasan untuk satu-satu pekakas mengambil masa beberapa minit kerana menggunakan sabun yang banyak ketika membasuh.
Masdiana terpaksa juga bertahan dan bersabar dengan kerenah mak mertuanya yang bermacam-macam, kerana semasa dia mula hendak berpindah ke situ, semua barang-barang dan peralatan memasak tidak dibenarkan dibawa bersama.
“Mas, tak usah bawa barang-barang kat rumah mak, semua barang dah ada.”
Semua perabut dilelong dan disedekahkan kepada jiran-jiran. Barang-barang dapur seperti periuk belanga, pinggan mangkuk, serta peralatan letrik, dikirimkan kepada kakaknya di kampung, yang kebetulan anak saudara Masdiana ada berkunjung ke rumah itu dahulu. Jika barang-barang keperluan yang penting, Masdiana akan menyimpannya di dalam bilik.
"Mak, Mas tengok di Mall semalam, cantiknya tempat letak lauk, teringin nak beli untuk mak, cawan-cawan pun cantik"
"Tak usah belilah Mas, tak ada tempat lagi nak simpan. Dalam kabinet tu, banyak lagi cawan dan pinggan tidak diguna. Kalau Mas nak beli jugak, Mas simpan saja dalam bilik Mas"
Mak mertua Masdiana tidak suka melihat barang-barang Masdiana disimpan bersama barang-barangnya di dapur. Jika barang-barang pemberian menantu kesayangannya yang lain, akan selalu diguna dan dipuji-puji serta disebut-sebutnya selalu, walaupun barang-barang murah dan biasa dijual di pasar-pasar malam. Masdiana terpaksa juga tinggal di situ, walaupun begitu kecewa dengan layanan yang tidak sama rata dan pilih kasih. Masdiana tidak mampu untuk berpindah dalam masa terdekat, kerana Masdiana terpaksa mengumpul wang dan membeli semua barang-barang keperluan semula. Masdiana terpaksa bersabar dan pasrah kepada Ilahi, mudah-mudahan diberi kesabaran yang tinggi dalam menghadapi segala ujian.
Memang niat Masdiana apabila berpindah ke rumah itu, dia ingin menjaga dan melayan emak mertuanya seperti ibu kandungnya sendiri, kerana dia tidak pernah dapat merasa bagaimana menjaga ibunya semasa hayat arwah. Sewaktu Masdiana bersalinkan Amyra, pernah arwah ibunya tinggal bersamanya selama 6 bulan dan selepas itu, Masdiana tidak berkesempatan lagi untuk mengajak ibunya tinggal bersama. Itulah kenangan manis Masdiana bersama arwah ibunya. Ibu Masdiana lebih suka berada di kampung halaman dan tinggal bersama Kak Pah sehinggalah arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Mak tak boleh duduk sini, macam dalam penjara, semua rumoh ada pagar besi, tertutup kemas keming” kata ibunya, dia rasa rimas dan terkongkong.
Jika di kampung dapat bermesra dan bermain dengan cucu-cucunya. Dapat duduk mengambil angin di atas pangkin sambil menghirup udara segar. Berlainan sekali hidup di bandar, membosankan!. Masdiana tidak pernah lupa untuk berdoa, menghadiahkan Al-fatehah dan bacaan Surah Yasin kepada arwah ibu dan ayahnya setiap kali selepas solat.
Masdiana seorang tukang masak , hobinya ialah memasak , mencipta dan mengubah resepi-resepi sedia ada. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak di beberapa buah restoran di sekitar ibu kota. Pada jangkaan Masdiana, dia ingin sekali melihat mak mertuanya berehat, menonton ‘ tv’, membaca surat khabar atau menghabiskan masa dengan mengaji dan beribadah. Biarlah dia menunjukkan kepakarannya memasak dan memberi hidangan yang berlaianan setiap hari kepada mak mertuanya.
Tetapi jangkaan Masdiana meleset sama sekali, rupa-rupanya mak mertuanya tidak sedikitpun berfikiran seperti Masdiana. Pada dia, kerja-kerja memasak, biarlah dia uruskan sendiri. Dia lebih suka menghabiskan masanya di dapur dari 8.30 pagi sehingga jam 12 tengah malam setiap hari, tanpa berehat atau tidur di waktu siang.
“Kenapa mak tidak mahu serahkan saja tugas-tugas di dapur kepada kak Mas?” tanya Masdiana kepada adik iparnya pada suatu hari.
“Mestilah dia tidak akan lepaskan dapur dia kepada kak Mas, itukan dapur dia, rumah dia, dah hari-hari dia buat kerja macam tu.” Jawab adik iparnya.
Kadang-kadang Masdiana hairan memikirkan, apakah yang dibuat mak mertuanya setiap hari, di dapur. Kalau Masdiana cerita perkara ini kepada orang lain, tentu mereka tidak akan percaya, kerana jika usia seseorang itu mencecah 80an, selalunya mereka lebih suka berehat daripada membuat kerja-kerja rumah. Mereka lebih rela menyerahkan semua urusan rumah tangga kepada anak-anak dan menantu. Mereka akan bersyukur jika ada menantu yang menjadi surirumah sepenuh masa. Ini tidak, berlainan benar dengan sikap mak mertua Masdiana, dia tidak menyangka sama sekali, keadaan seperti ini masih ada di zaman sekarang.
Mak mertua Masdiana akan selalu memeriksa barang-barang makanan yang di simpan di dalam peti sejuk, apa lagi jika makanan itu Masdiana yang masak, tidak sampai 24 jam berada dalam peti sejuk, dia akan terus membuangnya ke dalam tong sampah, tanpa bertanya terlebih dahulu, samada Masdiana dan Azizul masih mahu memakannya. Tetapi jika masakannya, walaupun sudah tiga empat hari diperangatkan, masih lagi disimpan di dalam peti sejuk.
Masdiana selalu tersinggung dengan perbuatan mak mertuanya, tetapi apa boleh buat, itu rumahnya. Masdiana hanya menumpang. Masdiana ingat itu. Ingat sampai bila-bila dan sedar siapa dirinya. Dari mana asal usulnya. Sebab itu Masdiana terasa kecewa, dengan sikap mak mertuanya yang suka membazir dan membuang barang-barang tanpa rasa sayang. Masdiana datang dari keluarga yang miskin. Tidak pernah membuang barang-barang makanan yang masih boleh dimakan. Masdiana terasa pelik dan janggal dalam situasi itu.
Pernah satu hari Masdiana menyuruh suaminya membeli udang geragau untuk rencah masakan. Udang geragau sangat wangi dan menambah kelazatan di dalam sayuran dan masakan. Udang geragau itu masih di dalam plastik, sudah lesap dibuang mak mertuanya.
Apabila Azizul bertanya kepada ibunya, ibunya hanya menjawab “uh, mak dah buang!.”
“Kenapa mak buang? kan udang tu dalam plastik lagi mak, udang tu tahan bertahun-tahun, apalagi plastiknya belum dibuka dan disimpan di dalam peti sejuk.” Jelas Azizul kepada ibunya.
Tetapi ibunya buat-buat tidak dengar sahaja, tanpa rasa kesal dan bersalah.
Memang dia banyak duit. Pencen yang dia dapat setiap bulan pun mencecah RM 3000.00. Tetapi tidak bermakna dia boleh membazir sesuka hatinya. Membazir itukan perbuatan syaitan!
“Memang dari dahulu perangainya begitu, tidak boleh diubah lagi sikap boros dan membazir.” Kata Azizul sambil menggelengkan kepalanya.
Kesal dengan sikap emaknya yang tidak pernah mahu mendengar setiap teguran anak-anaknya. Dia akan buat ikut hati dan perasaannya sendiri walaupun perkara yang dilakukannya itu banyak yang salah. Adik beradik Azizul yang lain pun selalu menegur sikap pembaziran maknya itu, tetapi tidak pernah diendahkan olehnya. Dari dia muda sehingga sekarang, sikap membazir dan cerewetnya itu semakin menjadi-jadi.
“Lihat mak, pisang ini baru jer mak beli semalam, hari ini dah nampak lebam-lebam, esok mesti lembik dan sudah tidak elok untuk dimakan.” beritahu Azizul kepada emaknya.
Setiap kali selepas emaknya membeli pisang, pasti dia akan mencucinya. Dia akan cuci bersih-bersih kulit pisang itu dengan sabun dan digosoknya dengan berus pencuci pinggan. Apabila kulit pisang itu ditenyeh dengan berus, mudah bagi baktiria perosak menyerang kulit pisang dan menembusi isi pisang yang manis dan sedap itu. Setiap kali keluarga itu akan makan pisang sisa baktiria dan setiap kali itu juga semua pisang- pisang itu, akan lembik dan berair apabila masuk hari yang ketiga. Sudah puas Azizul dan Masdiana menasihatinya. Terangkanlah dalam bahasa dan ayat bagaimana bagus sekali pun, pada dia, cara dia itu sahaja adalah yang terbaik.
“Uh!, mak tak suka pisang ini disentuh dan dijamah oleh semua orang, mak geli, baik mak basuh.” Kata ibunya.
Selagi mak mertua Masdiana itu tidak merubah tabiat buruknya itu, pembaziran akan tetap berlaku. Bukan itu sahaja, Azizul Azrai akan disuruh maknya membeli segala buah-buahan setiap kali ada pasar minggu. Selalu buah-buahan di dalam peti itu akan layu dan kecut, tidak sempat dimakan. Hampir setiap hari, jika ‘Apek” penjual sayur ada menjual buah mangga dan betik, dia tetap akan membelinya, walaupun di dalam peti sejuk sudah ada pelbagai jenis buah.

kisah seorg menantu, sebelum diedit


“Mas pergi dulu mak”
“Mas nak pergi ke mana pulak?”
Masdiana hanya berdiam diri, malas untuk dia menjawab soalan itu. Masdiana pura-pura tidak mendengar dan pura-pura sibuk mencari capal untuk dipakainya. Dengan wajah yang murung, Masdiana membuka pintu dan melangkah pergi meninggalkan emak mertuanya. Kalau hendak diikutkan memang perbuatan Masdiana itu melampau terhadap ibu mertuanya, tetapi Masdiana bukanlah seorang yang terlalu baik, yang boleh terima seadanya. Dia ada hati dan perasaan. Jika sekali dua, tidak mengapa, bolehlah hati Masdiana bertahan lagi, tetapi jika setiap minggu takkanlah tak boleh ingat, menantu yang seorang ini mahu ke mana? Nampak sangat!
Masdiana terkilan sangat-sangat kerana setiap rutinnya tidak pernah emak mertuanya ingat. Tidak pernah ambil tahu. Setiap hari selasa, Masdiana ada mesyuarat Amanah Ikhtiar Malaysia di Selayang, tidak perlulah hendak dibandingkan dengan anaknya yang berpangkat besar itu yang seringkali pergi bermesyuarat bersama-sama jemaah menteri di Putra Jaya. Oleh kerana mesyuarat yang Masdiana hadirkan diri setiap selasa itu tidak sepenting mana, tidak perlukah emak mertuanya untuk mengambil tahu langsung. Setiap kali sebaik sahaja Masdiana hendak keluar rumah itu, emak mertuanya pasti akan bertanya kepadanya semula. Masdiana terasa benar-benar tersinggung. Jika anak-anak menantunya yang lain, selalu dia hafal kegiatan mereka di dalam benaknya, kadang-kadang direka-reka dan ditambah-tambahnya cerita supaya lebih menarik, walaupun mereka tinggal berjauhan. Itulah ibarat kata, jauh-jauh berbau bunga, dekat-dekat berbau najis. Sekali pun ketika dia sedang mencuci pinggan atau ketika menyiang ikan di singki dia akan berkata-kata sendirian.
“Hurmm... Shamsiah tengah sibuk memasaklah waktu ni, nak menjamu kawan-kawan anak dia yang datang tu” sambil tersenyum sendirian antara dengar dan tidak. Kembang kempis hidungnya berbangga.
“Apa dia mak?”tanya Masdiana yang menyangka mak mertuanya sedang bercakap dengannya.
“Dak, Shamsiah tu tengah sibuklah tu...” belum sempat perkataan yang ingin mak mertuanya ulang semula, Masdiana sudah tahu benar. Kadang-kadang Masdiana tidak mahu mendengarnya dan cuba ubah hal lain. Sudah biasa begitu, naik menyampah!
Pada ketika yang lain pula mak mertuanya akan berkata, “Masa ni, Roslan ada di istana sedang dinner dengan sultan”
Masdiana yang sedang makan akan bertanya semula kepadanya kerana tidak jelas perkataannya, setiap kali itu juga Masdiana akan rasa meluat untuk berada di dapur bersama-sama emak mertuanya, yang tiada lain hanya menyebut-nyebut perihal pekerjaan anak-anak dan menantunya yang lain. Bangga benar dia!
Masdiana, bagaikan Cinderella, terpaksa mendengar dan bekerja. Tidak ada apa-apa keistimewaan di atas dirinya untuk emak mertuanya menghafal rutin hariannya. Semalam, sewaktu makan malam emak mertuanya berkata, “Hayati tiga beranak tu dah pergi Perlis dah gamaknya masa ni”
Hati Masdiana terasa panas. Selera makannya hilang serta merta.
“Aih, Mas dah sudah dah?”
“Dah mak”
Masdiana bangun dan terus ke singki untuk mencuci pinggan. Sisa nasi di buangnya ke dalam tong sampah yang berada di tepi singki itu. Tidak ada lagikah hal lain yang hendak di ulang tayang. Rasa bosan di hati Masdiana meluap-luap tetapi tidak ditunjukkan kepada emak mertuanya.
“Mas naik dulu ya mak, ada kerja banyak kat atas tu”
Biar mak mertuanya berhalunisasi sendirian. Jika itu sahaja yang boleh membahagiakannya. Masdina memang terasa sedih, kerana seolah-olah kehadirannya di rumah itu bagaikan tidak bermakna. Seperti tunggul!
Tidak ada cerita menarik yang boleh di kongsikan bersama Masdiana selain daripada perihal anak-anak menantunya sahaja. Rimas!
Kalaupun Masdiana bercerita tentang kegiatannya, tentang apa-apa sahaja, dia ibaratkan masuk telinga kanan dan keluar saja ke telinga kiri. Tidak ada erti apa-apa, lebih baik Masdiana berkurung sahaja di dalam biliknya dan membuat kerja-kerja sendiri. Lebih selesa.
“Abang kat mana tu? Meeting dah habis”
“Cepatnya, tunggu setengah jam lagi, jalan sesak ni”
“Okey, Mas tunggu di tempat biasa”
Masdiana mematikan talian telefon bimbitnya dan berjalan seiringan bersama sahabat-sahabat lain menuju ke warung kecil di tepi rumah di Kampung Selayang lama itu. Masdiana akan menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakan di situ dan berbual-bual kosong. Kadang-kadang mereka ketawa riang apabila ada kata-kata lucu yang sesekali terhambur dari mulut Salmi, sahabat AIM itu.
Pin!
“Itu suami kau dah datang, okey jumpa lagi minggu depan ya, Mas”
Salmi melambaikan tanganya sambil tersenyum. Masdiana selalu membeli kuih-muih di situ dan memakannya bersama Azizul di dalam teksi. Mereka berdua sudah faham benar, kalau pulang ke rumah waktu itu, walaupun sudah masuk waktu zohor, mak mertuanya masih belum pun siap menyiang ikan. Dari pagi sehingga ke tengahari, dia hanya akan membuat kerja-kerja lain yang tidak sepatutnya dilakukannya terlebih dahulu. Sudah menjadi tabiatnya begitu. Biarkanlah! Jika Masdiana dan Azizul lapar, mereka akan makan di luar sahaja dan membeli bungkus untuk emaknya sama.
“Ha, nak masak apa tengahari ni Mas, tak ada apa lauk pun nak makan, Mas nak masak apa?” soalan yang agak keras dan tidak mesra langsung. Nada tutur katanya tidak selembut apabila berkata-kata dengan anak menantunya yang lain.
Begitulah setiap hari apabila Masdiana masuk sahaja ke ruang dapur. Pertanyaan yang serupa itu jugalah yang akan menerjah masuk ke kupingnya. Setiap kali cadangan yang Masdiana berikan, setiap kali itu jugalah emak mertuanya akan mengabaikannya. Masdiana menjadi serba-salah, padahal lauk-pauk yang dimasaknya semalam dan kelmarin itu masih tidak luak dimakan. Lauk-pauk yang belum dimasak pun penuh di dalam peti sejuk. Tidak tahu lagi apa yang hendak Masdiana perkatakan kepada emak mertuanya. Jika Masdiana yang memasak lauk-pauk kegemaran suaminya, belum pun sampai dua puluh empat jam, atau hendak menjamah untuk yang ke dua kalinya, pasti lauk-pauk itu sudah pun berada di dalam perut tong sampah. Mak mertuanya tidak pernah akan ulang untuk makan sampai dua kali jika masakan itu daripada orang lain, walaupun masakan itu tersangat lazat dan berlainan sekali. Dia tetap akan mencari masakannya dan lebih rela panaskan lauk itu kembali, walaupun sudah seminggu tersimpan di dalam peti sejuk. Apa boleh buat, jika dia lebih selesa dengan tabiat cerewetnya itu, Masdiana tidak boleh berbuat apa-apa, selain hanya menelan perasaan kecewa yang berduri.
“Malam minggu ni depa semua nak datang” kata emak mertuanya dengan riak wajah yang gembira. Masdiana hanya berdiam diri, terkedu.
Setiap kali apabila Mak mertuanya mengambil duit pencen, dia akan memanggil anak menantunya dan membuat jamuan makan malam serta berkumpul bersama anak-anak dan cucu-cucunya. Masdiana berasa sangat seronok apabila dapat berkumpul degan ipar-duai sedikit masa dahulu, ketika baru-baru berkahwin dengan Azizul. Sewaktu Masdiana mulai mengenal hati budi ipar-duainya. Rasa meriah sangat, berkumpul, bercerita sama-sama, mengemas pinggan mangkuk. Yang berpangkat dato’-dato’ pula akan bercerita pengalamannya semasa di luar negara. Tunjuk gambar-gambar dan tempat-tempat menarik di Cina, Korea, Arab, England, Jepun dan rakaman-rakaman video semasa makan di merata tempat. Tetapi kini, apabila terlalu kerap, Masdiana menjadi jemu dan sudah mulai menjadi serik untuk berkumpul begitu, apabila semakin lama semakin menonjol sikap pilih kasih emak mertuanya di dalam tutur kata dan layanannya terhadap mereka. Berlebih-lebihan, terlalu ketara!
“Mak, tulang dan daging ini, kita masaklah untuk jamuan makan malam, malam minggu ni”
“Nak masak apa?”
“Masaklah bihoon sup Utara ka, anak-anak Rosman suka sup-sup macam ni”
“Ya tak ya jugak”
Masdiana teringat perbualan di antara emak mertuanya sedikit masa dahulu. Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Ke esokkannya;
“Mak nak masak mee mushroom, Tarmizi minta mak masak, dia nak makan katanya” sepantas itu, mak mertuanya boleh berubah fikiran, padahal sebelum itu dia bersetuju Masdiana memasak bihoon Utara. Yang hairannya bilakah masanya pula Tarmizi membuat permintaan secepat itu? Sedangkan Masdiana hanya berbincang. Selalu Masdiana perhatikan, itulah perangai cemburunya yang nampak sangat bahawa, dia tidak puashati jika masakannya tidak terhidang. Tarmizi adalah cucu kesayangannya, anak kepada anak bongsunya, Roslan, yang berpangkat Dato’ Paduka. Itulah Cucu kesayangan kepada anak kesayangannya. Apa lagi!
“Tak apalah mak, kan Mas bagi cadangan saja, masak sajalah mee mushroom semua sekali, sebab tulang tu pun bukannya banyak”
“Tak mau, Mas kena masak jugak bihoon sup tu”
“La, buat apa mak masak ke dua-duanya sup, masak mee mushroom sudahlah”
“Tak mau, Mas kena masak jugak bihoon sup tu, Azizul nak makan” alasan yang tidak munasabah keluar dari mulut emak mertuanya.
“Ala mak, kalau abang nak makan, lain kali Mas boleh masakkan satu periuk kecil untuknya”
“Tak mau, Mas kena masak jugak”
“Okeylah, Mas masak sikit je”
“Tak usahlah masak sikit, masak je banyak-banyak”
“Mak buat apa masak banyak-banyak, kan mak pun masak mee mushroom tu”
“Mak masak mee mushroom tu sikit je”
“Okey kita buat sama banyak”
“Tak usah, Mas masaklah bihoon tu, letak kuah banyak-banyak sikit”
Masdiana sudah malas untuk bertegang urat dengan mak mertuanya, dia mengikut sahaja apa yang disuruh oleh mak mertuanya itu. Sejak itu Masdiana mulai tahu begitulah perangai keras kepala mak mertuanya, yang tidak akan mendengar nasihat atau cadangannya. Jika anak-anaknya yang lain bagi cadangan, dia akan ulang-ulang dengan mengatakan anak dia yang itu, yang ini kata tidak boleh buat itu dan larang buat ini. Masdiana faham benar. Kata-kata dari mulutnnya ibarat hanyalah sepereti air di longkang, yang tidak ada siapa mahu menghidunya apatah lagi untuk melihatnya.
“Mak dah lupa nak masak mee mushromm ni, macamna Rosnani menumisnya, dah lupalah mak, Mas tahu?” mak mertuanya cuba memancing.
“Tak tahu mak, Mas mana pernah masak mee mushroom” kata Masdiana, walaupun sebenarnya Masdiana adalah seorang tukang masak, tetapi dia tidak perlu untuk menunjukkan kepakarannya. Tidak ada ertinya, walaupun dia pernah mendapat anugerah peniaga terbaik untuk bazaar Ramadan di Kelana Jaya dua tahun berturut-turut, namun masih tidak nampak di mata hati emak mertuanya bahawa, Masdiana adalah seorang tukang masak yang mahir. Walaupun setiap kali jika ada perayaan atau rumah-rumah terbuka, ada saja pelanggan yang menempah makanan daripada Masdiana, pada dia, dia tidak pernah rasa bangga, ada menantu seperti Masdiana. Biarlah!
Setelah semuanya siap dan keluarga berkumpul untuk makan, semua ipar duai dan anak-anak buah Masdiana, hanya memakan mee mushromm yang dimasak oleh mak mertuanya. Masakan yang sedikit itu, tidak mencukupi. Mak mertua Masdiana terasa terkilan benar.
“Itulah Mas dah kata, mak tak dengar, kalaulah mak masak kesemuanya mee mushroom kan elok” kata Masdiana kepada mak mertuanya, walaupun Masdiana tahu, kedua-duanya adalah hidangan sup, mana mungkin perut mereka boleh di isi lagi, sedangkan masakan mak mertuanya lah yang patut didahulukan.
Hati Masdiana tidak perlu dijaga seperti mana hati orang tua itu. Masdiana akur, walaupun hatinya bagai tersayat sembilu apabila seperiuk besar sup itu, terpaksa dituangkannya ke longkang di belakang dapur. Bersama deraian air mata di saat itu, Masdiana bernekad untuk tidak akan memberi cadangan dan tidak akan memasak apa-apa hidangan lagi di masa-masa yang akan datang ketika adanya majlis makan malam. Masdiana terkilan sungguh!
“Lain kali jangan dok masak bihoon sup ke apa ke”
Lontaran kata-kata daripada mak mertuanya itu bagaikan memamah jantungnya. Kata-katanya itu tersemat utuh di kotak hatinya sampai ke hari ini, sebab itulah apabila setiap kali mak mertuanya meminta cadangan dan bertanyakan berkenaan dengan lauk untuk hidangan harian, Masdiana hanya akan mengucapkan perkataan yang sama;
“Kalau mak rasa nak makan apa-apa, mak masaklah, pada Mas dan Azizul tak ada masalah, kami berdua makan yang ringkas-ringkas je, ada budu, ulam, sayur lemak dan ikan goreng dah boleh makan nasi bertambah-tambah”
Mak mertua Masdiana terdiam. Kalau dia, dia lebih suka jika ada pelbagai menu untuk hidangan tengahari dan yang paling kelakarnya apabila malam hari, kesemua lauk akan dipanaskan termasuk lauk yang ada di dalam peti sejuk, dikeluarkannya, sehingga menjadi lebih banyak daripada hidangan tengahari.
“Mak, buat apa banyak-banyak lauk, inikan makan malam, siapa yang nak makan banyak-banyak macamni?”
Mak mertua Madiana hanya mengembangkan hidungnya dan seolah-olah berbangga pula apabila setiap kali Azizul bertanya begitu kepadanya. Sekarang Masdiana mengalami penyakit gastric yang kuat di sebabkan memakan makanan yang tidak seimbang. Kadang-kadang seperti terfikir di benak Masdiana, seolah-olah hidangan itu seperti mahu membunuhnya. Kalau tidak, kenapa dia tidak pernah mahu mendengar segala nasihat dan pandangan. Ketegaq! Kata orang Utara.
"Abang,..mas tak selesalah untuk ada sama-sama malam ni...." Kata Masdiana semasa di hadapan rumah, sewaktu suaminya sedang membersihkan barangan akuarium ikan.

Ikan emas yang dipelihara Masdiana cepat membesar dan kuat makan, selalu sahaja air di dalam aquarium itu menjadi keruh.

"Hah, jangan buat lagi, kali ini Mas nak buat alasan apa pulak...macam dah terbayang di fikiran abang apa yang Mas nak buat kali ini”

"Abang..Mas belum bersedia lagi untuk makan bersama-sama dengan adik-beradik abang... Mas bukannya bergaduh, cuma mas terasa macam tidak di layan, tidak setaraf mereka, tidak ada apa yang hendak dibualkan..." Jelas Masdiana sedih.

"Awak duduk jer buat tak tau, masa makan, awak makan..."kata Azizul lagi memujuk hati Masdiana.

"Abang tahu tak, setiap kali adik-adik abang menelefon mak, mereka tidak pernah pun menyebut atau bertanya khabar tentang Mas. Macam petang semalam tu, menantu bongsu kesayangan mak telefon...tidak sebut apa pun tentang Mas, memang dia tidak ada malam ni, tetapi jika hati dan perasaan Mas ini sedih dan tersinggung, Mas tidak reti nak berpura-puralah bang... Jika ada yang ternampak perangai Mas yang mungkin boleh menyebabkan rasa tersinggung di hati mereka, macamna? Baiklah Mas tidak ada malam ni bang...." rayu Masdiana lagi.

Azizul Azrai terdiam. Dia meneruskan kerja-kerjanya mencuci akuarium itu. Dalam hatinya memang terdetik rasa kasihan kepada isterinya, namun apa yang dapat dia lakukan hanya akan setuju sahaja apa yang Masdiana ingini.
“Sekarang ni, mereka semua bersalam dengan Mas pun hanya di hujung-hujung jari je, tak macam dulu, siap berpeluk bercium. Bukan Mas tak tahu kalau depan anak-anaknya, selalu mak mengadu sakit situ sini, tetapi bila di hadapan Mas semuanya dia nak buat sendiri, Mas sedihlah bang”.
‘Kapak, tidak boleh membelah kayu, jika kayu tidak menjadi hulunya’ Begitulah di ibaratkan. Apabila Azizul diam, Masdiana melangkah lesu menuju ke dapur.

"Ya Allah, apa yang mak aku buat kat dapur dari tadi? Tidak ada satu lauk lagi yang di masak? Sekarang jam sudah pukul 2.00 petang, kalau duduk sendiri tentu senang saja nak masak, Azmir dan Azizul, makan budu. Ada je ikan bakar, ulam-ulam celur dan sayur lemak, dah cukup berselera dia mengadapnya. Ini, nak kena tengok apa yang dia teringin nak makan dahulu...Nak masak yang susah-susah, lama-lama pulak tu, ada kari, baru nak makan. Budu, jangan haraplah dia nak sentuh...." keluh hati kecil Masdiana.

Mak mertua Masdiana suka makan lewat-lewat. Selalunya pukul 3.00 petang. Jika Masdiana masak seawal jam 12.00 tengahari pun, ada sahaja alasan dia untuk mengelak daripada makan awal.

"Hari ini Mas masaklah apa yang Mas nak masak, mak tak mahu masak hari ini..." jika itu ucapan yang keluar daripada mulut mak mertuanya, memang senanglah bagi Masdiana untuk memasaknya pada hari itu. Itu pun jika semalam, emak mertuanya sudah memasak banyak lauk.
Jarang-jarang sekali Masdiana mendapat peluang seperti itu.
Selalunya seperti bermain tarik tali pula, macam dia nak memasak, kadang-kadang seperti dia harap Masdiana yang memasak. Kadang-kadang Masdiana terfikir, macam sengaja mak mertuanya hendak mencari fasal dengannya dan apabila dia tidak berpuas hati, dia akan mengadu kepada Azizul. Itulah sebabnya Masdiana bimbang jika Amyra mendirikan rumah-tangga dengan orang yang memilih bulu seperti emak mertuanya. Dia tidak mahu hidup Amyra tersiksa sepertinya.
Jika ada majlis makan malam di rumah, Masdiana akan selalu sibukkan diri dengan pergi ke rumah Amyra atau pun menginap sahaja di hotel, untuk menenangkan fikirannya. Masdina cuba mencari kebahagiaan dalam rumah itu. Mencari kebaikan emak mertuanya dan cuba belajar bersikap lebih terbuka, tetapi belum tiba masanya lagi. Masdiana masih menjeruk rasa.