Thursday, 1 November 2012

post2 di wall..untuk di sulam jika bersesuaian.

[~hari ini aku masak nasi daging..
pukul 12.30 tghari sudah siap semuanya..
Jika aku masak memang cepat siap..
dan sedia terhidang di atas meja.
Namun, Ibu mertuaku seperti tidak mahu makan lagi, biasalah kan,
Oleh kerana suamiku pun makan, dia pun makan sama.
"Amboi, hari ni cepat pulak makan" kata ibu mertuaku.
Selalunya jika tunggu masakan ibu mertuaku pendekata setiap hari pukul 3.00 ptg baru kami makan nasi.
Tidak pun makan jer lauk apa-apa yg ada dahulu kemudian setelah lauk dia selesai barulah dia makan seorang diri,
begitulah selalunya.
Jika aku masak, di wajah dia aku nampak kekelatan seperti teh sejuk yang telah hilang manisnya.
Biarkanlah, walaupun tiada pujian yang aku dengar dari bibirnya yang sudah kendur dan beribu kedutan itu.
Asalkan suamiku senang hati dan nasi daging itu ditambahnya beberapa kali.
Selera suamiku harus ku jaga.
jika semua masakan aku tidak pernah kena dengan selera ibu mertuaku...
Biarkanlah....
sesungguhnya aku redha....]

~tadi elok2 dah kata nak buat caru bakar, alih2 nak masak asam pedas ikan caru pulak, padahal kari ikan dah ada satu piuk..aduhai.. sabor ajerlah..

~Huh! memang tak makan nasilah hari ni!
"Mas...Mas!" Terdengar suara ibu mertuaku menjerit memanggil namaku dari luar bilik.
"Ya! ada apa mak!"
"Mak tak masak apa-apa pun, air stop terus, mak panaskan sup daging semalam dan daging bakar semalam"

Lemah longlai perasaan ku. Setiap kali air berhenti dia akan berhenti kerja2 di dapur, padahal air tangki ada. Sebab dia terlalu cerewet dalam membasuh p
ekakas dan bahan2 mentah memerlukan air yang banyak.

"kalau Azizan balik nak makan?"

Huh!Aku dah agak dah, dia kadang2 camtulah menambahkan lagi semak perutku. Selalunya jika aku masak, xsempat air nak padam pun dah selesai. Kadang2 seperti senagaja pulak, dah tahu ada lauk semalam, buat apa susah2 suruh somiku pergi pasar bagai?. Dah ada barang semua tak masak pulak! Kita nak masak, dia nak masak, last2 makan lauk semalam. aduhai tak reti betullah perangai dia ni.
Kalau laki aku balik? apa aku nak jawab?
Tapi aku tahu laki aku dah makan dengan anak bongsu kesayangannya di pucung tu....





~Pukul 3.00 ptg suamiku balik rumah.
Aku ceritakan hal tadi kepada suamiku...
Aku nampak dia turun tangga. Aku sedang duduk dgn suamiku di sofa.
"Kejap lagi mesti dia tanya, nak makan pa?" kata ku kpd suamiku, selalu dia akan tanya soalan tu, padahal dia dah tahu...

"Nak makan pa?" bila dia turun tangga sampai ke anak tangga terakhir.

"Makan apa?, tadi kata nak bakar ikan lah, mana dia?" soal su
amiku.

"Ayaq takda" jawab dia pendek, memberi alasan yg tidak logik.

Suamiku merajuk, tidak mahu makan nasi. Aku kedapur juga, ambil nasi dan duduk di sofa makan sambil tengok TV. aku terpaksa telan nasi tu, sb aku ada gastrik.

"Abg tak nak makan ke?"
"Makan apa dah pukul 4.00 ptg camni, kalau tahu camtu makan dgn Azrin tadi lagi bagus!" kata suamiku bengang.

"Lain kali, abang makan kat luar jer, kecuali mas telefon abang, kata Mas ada masak lauk, kalau tak, beginilah selalunya, takan abang tak tahu?"
Suamiku diam sambil membaca surat khabar, sesekali menjeling kepada drama di TV, kerana salah seorg pelakun drama itu adalah Rozita Cik Wan.





~Kasihan suamiku, penat-penat pergi pasar, beli apa yg dia pesan, aku pun kirim juga untuk buat menu minum petang, tapi makan nasi dah pukul 4 ptng nak buat makan minum petang kehapa?, selalu jer macamni.. Itu pun lauk semalam. Hampeh!.

"Cakap kat mak, malam ni abang tak nak makan."
"Ya lah, mas pun dah tak nak makan malam, dah kenyang sangat-sangat dah ni"
Memang seleraku untuk makan dah kurang, sebab terlalu pelik masa dan keadaan.

Kadang-kadang aku makan sekali jer sehari, walaupun lauk pauk penih peti ais. Apa guna jika tidak ada selera.





~
Sebelum keluar mencari rezeki suamiku meminta supaya aku siapkan makanan untuknya.

"Tadi abang kata tak mahu makan?"

"Lapar pulak, gorengkan telur mata ayam kat abang," kata suamiku.

"Mana ada mata ayam bang, abang kena beli telur puyuh baru boleh goreng mata ayam" kataku sambil tersenyum.

Setelah aku siap goreng telur mata lembu, suamiku ambil sendiri nasi di periuk. Suamiku mengambil kuah ka
ri ikan dan seketul buah tomato yang telah di potong empat. Ku letak telur mata dalam pinggan nasinya.

Suamiku makan telur mata lembu dengan nasi dan kicap, serta sedikit kuah kari dan ikan goreng.

"Abang nak minum apa? Teh halia boleh?"

"Hurm, boleh jugak"

Aku membancuh teh halia untuk suamiku. Setelah selesai makan, suamiku minum sambil berbual-bual denganku.Aku pun kongsi minum teh halia itu dengannya.

"Abang, jangan balik lambat, malam ni malam jumaat" kataku sambil tersengeh.

Suamiku turut tersengeh lalu berkata "Tak cukup seratus ringgit, abang tak balik"

"Yerlah tu..."

"Abang pergi dulu sayang!" suamiku mencium pipiku dengan mesra sambil tersenyum. Senyum ada makna tu!

*****

Salam pagi jumaat semuanya.. ini memang kisah hidupku, tetapi akan ku adaptasikannya ke dalam sebuah cerpen atau novel.

~Aku memang tidak suka untuk bersarapan pagi. Hari jumaat, rabu dan isnin adalah hari-hari di mana aku ditugaskan untuk membuang sampah. Aku akan turun ke bawah selalunya sekitar pukul 8.00 pagi. Ikan di dalam akuarium akan ku beri makan terlebih dahulu. Mereka mesra denganku. S
elalu menggigit-gigit manja jariku yang ku rendam ke dalam akuarium itu. Terasa lapang dada dan aku sentiasa akan tersenyum apabila melihat ikan-ikan itu.

Bukan aku tidak suka untuk menyediakan sarapan pagi untuk 'dia' tetapi aku sering kecewa. Semasa aku menyediakan sarapan, tidak kiralah nasi goreng atau apa saja, dia akan makan sekeping roti dan secawan teh terlebih dahulu. Sebaik sahaja aku siap menyediakan sarapan tersebut dia akan berkata " mak tak nak makan lagi, mak nak naik atas dulu, selesaikan hal kat atas"

Sarapan yang aku masak tadi akan menjadi sejuk. Suamiku awal-awal lagi sudah pergi kerja, begitu juga dengan anak sulung suamiku. Dia akan turun semula setelah penjual sayur membunyikan hon vannya.
Setelah selesai membeli ikan dan sayuran, dia akan makan sedikit. Lepas itu makanan tadi akan dimasukkan ke dalam tong sampah.
Aku jadi kecewa dan rasa membazir.
Kadang-kadang aku masak sarapan awal-awal sebelum subuh, tetapi aku seringkali tidak dapat berbuat begitu kerana aku selalu tidur lewat malam sebab suamiku selalu balik lambat.

Dia sangat baik hati tetapi sangat cerewet dan ada sikap cemburu.
Pilih kasih dan tidak pandai mengambil hatiku. Aku sering terasa terhina serta kecewa dengan kata-katanya yang tidak pernah bertapis dan juga layanan yang tidak sama rata di kalangan anak menantunya yang lain.
Kata-kata aku tidak pernah didengarinya. Kata-kata jiran tetangga yang berbangsa Cina pula didengarnya walaupun aku pernah berkata hal yang sama kepadanya. Dia akan melupakan setiap patah segala apa yang pernah aku ucapkan.
Aku sedar semuanya itu di sebabkan aku tidak berpangkat dan miskin. Tidak berdarjat seperti anak menantunya yang lain.
Dan lagipun, aku tidak dapat memberikan seorang cucu pun untuk mengikat rasa kasih sayang itu. Walau kebaikan apapun yang akan ku taburkan kepadanya, namun sedikit pun tidak ada makna. Nilai harta dan darjat sahaja yang dapat menawan serta membeli segala-galanya, termasuk layanan,pujian, kasih dan sayang.
..........................................................................................................................................................

~Hari ini, air mulai ada tetapi tidak deras. Bolehlah jika hendak memasak.Tetapi kain baju yang sejak semalam dalam mesin basuh, masih tidak bergerak, tidak cukup air.

Semasa mak mertuaku pergi membeli dengan 'Apek' penjual sayur di hadapan rumah, aku cepat-cepat membuat menu ringan. Ala! Seperti yang KFC jual tu, twister kalau tak silap, kat dalam tu aku letakkan salad, batang salari yang telah ku belah-belah, sosej dan jejari ketam yang sudah digoreng terlebih dahulu. Ku siram thousand ireland, mayonise dan cili sos. Ku balut ketat-ketat dan ku kerat kepada 5 bahagian, ku letak di bawah tudung saji. Aku tidak pelawa mak mertuaku makan, semasa dia mulai masuk kedapur setelah selesai berbelanja, sedangkan semalam suamiku sudah berbelanja sakan. Aku pun belum makan lagi, tetapi aku tidak perlu pelawa dia makan, sebab jika dia teringin nak makan, dia boleh makan. Silap-silap jika aku pelawa dia makan, dia tak suka atau tidak mahu? Buat sakit hati saja.

"Sebelum mak masak, mak nak makan dululah yang Mas buat tadi tu" kata mak mertuaku. 

"Bawah tudung saji tu, Mas dah potong-potong, makanlah" kataku. 

'Hurm...teringin juga dia nak makan, ingatkan tak mahu tadi!'

"Nak tambahlah dua kerat lagi, sedap jugak, satu rasa pulak" puji mak mertuaku.

Aku tahu, pujian itu, bukan sampai kemana pun. Cuma di sini, habis pun di sini saja. Lepas tu terus lupa, jika aku masak lagi sekali bulan depan, dia kata dia tidak pernah makan, atau aku tidak pernah buat benda ni.

Semalam ya, air tidak ada, itu alasan mak mertuaku, tapi hari ini? Air dah ada, sekarang sudah jam 2.30 petang baru nak masak lauk asam pedasnya yang terbengkalai semalam. Sebenarnya setiap hari pun masa memasak dia begitu malah semakin lambat, tetapi masih berdegil.

Hari ini aku berazam untuk masak lebih awal. Ya! Aku sudah bakar 3 ekor ikan cencaru, masak lemak putih terung campur kacang panjang dengan berencahkan sebelah ikan caru bakar tersebut. Kutumbuk beberapa biji lada hitam bersama bawang merah yang telah dihiris dan juga isi ikan caru bakar tadi lumat-lumat. Itulah bahan untuk sayur lemak putih. Masakan Pantai timur memang suamiku suka sangat berbanding masakan Utara yang seringkali mak mertuaku memasaknya. Sesekali berempah tidak mengapa, tetapi jika setiap hari, tekak suamiku tidak dapat menelannya.

Bawang rose ku bakar, sehingga hitam kulitnya. Ku kupas dan ku buang kulitnya yang hangus itu lalu ku hiris bawang bakar itu nipis-nipis. Belacan dan asam jawa kuramas dengan air suam. Ku tapis dan ku masukkan ke dalam bekas bawang bakar tadi. Cili merah dan cili padi ku hiris nipis. Kucampurkannya sekali dengan sedikit garam dan gula. Air perahan limau kasturi digaulkan sekali sehingga mesra bersama. Sedap, secukup rasa.

Aku mulai mendengar pekikan Azrin anak tiriku yang bongsu. Dia suka menjerit-jerit walaupun usianya sudah masuk 13 tahun pada tahun hadapan. Aku buat-buat tidak mendengar dan tidak nampak dia. Sebab jika aku layan dia, mulalah dia pijak kepala aku. Suamiku akan mengambilnya di rumah mamanya dan setiap kali cuti sekolah Azrin mesti ada bersama aku di sini.

"Assalamualaikum..."
Aku diam dan hanya menjawab salam itu di dalam hati, tanpa memandang pun kepadanya.

"Assalamualaikum!" kata azrin semakin kuat. Aku tetap menjawabnya didalam hati dan pura-pura asyik dengan kerjaku ketika itu sedang meramas belacan dan asam jawa, terasa macam nak lempangnya saja dengan tanganku yang berbau belacan ini.

"Assalamulaikum!" Azrin memberi salamnya sekali lagi. aku tetap menjawabnya di dalam hati dan tidak melihat pun wajahnya. Bukan aku benci dia, sudah 4 tahun aku kenal Azrin, perangainya yang mengada-ngada itu. Tidak pernah dengar nasihatku. Selalu buat aku sakit hati dan marah. Lebih baik aku buat-buat tidak dengar saja dan tidak melayannya. Aman sedikit. Jika aku melayannya, bermakna hari itu, terimalah episod bengang sepanjang hari atau sepanjang dia berada di sini.

"Ibu boleh tolong sesuatu tak?"

Aku tetap diam membisu dan tidak pedulikannya. Aku terpaksa bertindak kejam begitu. 
Ibu tiri!, Ya, memang aku seorang ibu tiri, tetapi jika anak tiri tu dengar kata dan tidak menyakitkan hati ibu tiri tentu dia akan mendapat layanan yang baik. Ibu tiri ini selalu dipandang tidak baik walaupun sebaik mana pun layanan yang telah diberikan selama ini. Empat tahun bukan jangka waktu yang pendek dalam melayan kerenah dan perangai seoarang anak tiri ini, lebih teruk daripada menjaga seratus orang anak-anak yatim yang tahu diri.
Semuanya kerana dia anak orang kaya. Tetapi tidak habis-habis menyusahkan ibu tiri yang miskin ini.
Ya! Jika seseorang itu berada dan kaya-raya, apa saja yang di lakukan atau cuba mengambil kesempatan terhadap orang lain demi kepentingan diri sendiri pun masih manis dipandang. Cuba aku? Aku yang sering tertekan di dalam pelbagai hal dan dilema.

"Nasi tak da? Lauk tak masak lagi ka?" kata suamiku tanpa suara hanya mulut saja yang ternganga-nganga menyebut sebutan itu kerana takut didengari emaknya yang berada satu kaki di hadapannya.

Suamiku ternampak makanan yang aku sediakan tadi, lalu mengambilnya dan memakannya.

"Azrin, nak tak?"

"Apa tuh? Oh, macam yang jual kat KFC tu ya?"

Aku diam saja dan membiarkan dua beranak itu makan.

"Nak lagi, sikit jer" suamiku memotongnya separuh dan diberikan kepada Azrin. Azrin menuju ke bilik belakang yang memang khas untuknya dan untuk cucu-cucunya yang lain.

Di dalam bilik itu ada sebuah peti Tv, pemain cekera padat dan juga Play-station.

"Bang, ambillah pinggan, lauk yang mas masak semuanya dah siap"

"Mak mailah makan dulu, mak buat apa tu?"

"Mak nak masak asam pedas"

Suamiku makan nasi yang telah ku hidangkan sambil menggelengkan kepalanya. 

"Mak, bila mak dah siap masak nanti, kalau mak nak makan, mak makanlah dulu ya?"

"Mas tak mau makan lagi ke?"

"Tak mau lagi mak, kenyang pulak lepas makan benda tu tadi" kataku, padahal aku memang lapar, tapi aku tidak ada selera. Takkanlah aku nak makan, sedangkan dia tengah sibuk nak masak lauk. Sabar sajalah! Aku terus memanjat tangga menuju kebilikku.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

"tak ada sapa pun yang sentuh asam pedas dan kari ni" katanya semasa kami makan malam, malam tadi.

Aku dan suamiku tidak berkata apa-apa. Malas nak mencelah. Tidak ada gunanya.

Jika aku dah bakar ikan cencaru saiz besar tiga ekor, sayur lemak dan air asam, sampai ke malam pun tidak habis di makan, di tambah lagi dengan asam pedas dengan kari ikan tiga dua hari lepas, siapa nak sentuh!

Tadi aku 

sudah siap bakar ikan kembung yang dilumur dengan santan pekat dan dibalut dengan daun kunyit, tiga ekor semuanya. Air asam semalam, nasib baik dia tidak buang lagi, masih boleh dimakan bersama ikan bakar itu. Aku masak sayur sawi jepun yang telah ku potong pendek-pendek. Sebelum itu aku telah pun menyediakan sarapan seperti menu semalam untuk Azrin yang baru saja bangun dari tidur. Aku potong-potong dan hidangkan di bawah tudung saji khas untuk sarapan dan minuman.

Setelah selesai semuanya, aku terus hidang lauk di bawah tudung saji khas untuk hidangan lauk-pauk. Asam pedas dia semalam, ikan bakar, sayur dan juga salad. Cukuplah hidangan yang lengkap untuk hari ini.

Dia turun sambil menyingsing lengan baju. Baru nak masak gulai ikan masin?! Begitulah selalunya. Jangan kata apa-apa, jika suamiku lapar, makanlah lauk yang ada terhidang tu. Biarkanlah dia! pukul 3.00 nanti baru segala-galanya akan selesai dan selepas itu dia akan makan nasi seorang diri. Dekat waktu asar barulah dia naik untuk sembahyang zohor dan asar sekali. Begitulah setiap hari, tidak perlu di tegur, dia tidak pernah akan berubah. Yang peliknya, jika dia pergi bermalam di rumah saudara mara atau anak-anaknya, boleh pula dia makan mengikut jadual yang betul. Entahlah! Ujian untukku.

Sekarang pukul 1.30 tengahari, suamiku sudah selesai membasuh pakaian sekolah anak bongsunya dan sudah pun selesai sembahyang zohor. Tiba pula giliran aku membasuh. Kenapa suamiku pula yang kena basuh pakaian sekolah anaknya? Mama dia ke mana? Kenapa baju sekolah itu dibawa kesini untuk dicuci? Malas aku nak ceritakan di sini, buat sakit jiwa aku saja.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Hidangan yang banyak akan membuatkan hatinya berbunga-bunga!

~Pagi yang segar ini, seperti biasa aku menuju ke akuarium dan memberi makan kepada ikan hiasan, sambil melihat-lihat keletah anak-anak ikan yang baru saja ku beli minggu sudah.


"Mas, kita nak masak apa pulak hari ini?" soalan yang terpacul di mulut dia itu, membuatkan aku betul-betul rimas.

"Kalau mak teringin nak makan apa-apa pun, mak masak sajalah..." kataku.

Aku mengambil kunci dan membuka pintu belakang. Kain alas kaki yang disuruhnya basuh semalam, belum di cuci sebab air sangat kecil dan hujan pula lebat.

'Kalau tak letak sabun banyak-banyak macamni, tak bersih ke?! Aduh!'

Air satu tong besar ini pun belum cukup untuk membilas buih sabun yang likat dan berlendir ini! Kain lap dapur pun begitu, rendam dengan air panas dan letak sabun banyak-banyak, lepas tu kena berus dengan tangan. Kalau dia tidak ada di rumah, aku bantai ja dengan mesin basuh, nak cuci guna tangan, buang masa saja.

Begitu juga semua benda yang hendak dicuci, semuanya kena guna sabun yang banyak. Dia fikir, jika letak sabun banyak-banyak, barang-barang yang hendak dicuci itu akan bersih? Silap-silap kita pula yang keracunan kerana termakan sisa bahan pencuci yang masih terlekat di pinggan-mangkuk jika tidak dibilas dengan air yang banyak. Kalau membazir nombor satu!

"Kita nak makan ikan ke ayam hari ini mas?" Dia bertanya lagi sebaik sahaja aku masuk keruangan dapur setelah habis mencuci tadi.

"Suka hati maklah, kalau mak teringin nak makan apa-apa, mak masaklah..." itu jugalah jawapanku setiap kali soalan yang sama diajukan kepadaku.

Azrin selalu bangun lambat, sebab semalaman tentu dia hanya bermain permainan komputer atau menonton video. Kain yang ada dalam mesin basuh dua hari lepas, suamiku telah menolongku membawanya ke dalam bilik air di tingkat atas, untuk kubasuh.
Selalunya pukul 12.00 tengahari barulah aku mula memasak lauk yang ringkas dan seimbang, yang penting suamiku suka.

"Mak mas nak naik atas dulu nih, nak basuh baju yang semalam tu"

Aku malas nak layan dia, kalau aku layan nanti berjam-jam pulak aku duduk di dapur. Semua kerja aku akan terbengkalai. Kalau aku bagi cadangan untuk masak lauk, dia hanya angguk, lepas tu tidak sampai lima minit dia akan berubah fikiran, dia akan bagi cadangan dia pula nak masak itu ini. Baik tak payah! Dia tidak pernah dengar cadangan aku. Buang masa saja!

Aku masuk ke bilik, selalunya aku akan menulis beberapa muka surat terlebih dahulu, barulah aku akan membuat kerja-kerja yang lain. Aku mleihat jam sudah hampir ke pukul sebelas pagi, waktu ini dia akan naik untuk mandi, kemudian turun semula untuk membeli sayur, lepas itu dia akan simpan barang-barang yang di beli itu dan menyiang ikan. Zohor barulah dia mula memasak. Begitulah setiap hari. Kecuali hari Ahad. Masa dia naik untuk mandi itulah aku selalu ambil kesempatan untuk memasak. Sempatkah? Sempat sangat, sebab jika dia masuk ke dalam bilik air tidak akan kurang satu jam! Aku lebih suka masak sendirian lebih cepat, kalau bersama dengan dia, lemah segala urat sendiku menunggu giliran untuk mengguna singki. Berjam-jam!

Entah macamana aku tersilap klik, semua tulisanku hilang. Aduh! kena taip lagi!. Aku belum cuci baju. Aku turun kebawah semula.

"Mas, mesen basuh tu rosak" katanya sebaik saja ternampak aku menemuinya di dapur.

"Mak pergilah mandi dulu, Mas belum sempat basuh baju lagi tadi, ada kerja sikit."

"Mas, mak nak masak kari ikan masin dengan nenas"

Aku diam. Tadi dia tanya aku nak masak ayam atau ikan, kalau aku bagi cadangan tadi mesti sia-sia saja, air liur aku. Aku tersenyum sendirian. Pelik!

"Sayur lemak semalam tu mak dah buang, mas masaklah sayur apa-apa pun"

Semalam sayur lemak tu banyak lagi, dah simpan dalam peti ais, kenapalah dia buang, bukannya basi. Aku terpaksa redha.
Selalunya aku akan tanya dia nak masak apa terlebih dahulu, berapa lauk, kalau dah banyak, aku tidak akan masak apa-apa lagi. Kalau satu lauk saja, yang dia nak masak, aku akan tambah supaya menjadi hidangan yang lengkap.

"Banyaknya lauk!" itulah selalunya suamiku kata jika lauk banyak sampai penuh meja. Ya! jika aku dah masak, kemudian dia tambah lagi dengan menu-menunya, tentulah banyak.

"Rezqi" katanya. Hidangan yang penuh meja membuatkan hatinya berbunga-bunga.

Rezeki atau nafsu! Kalau tidak membazir satu hari tu, tidak selesa hidupnya. Suamiku selalu menggelengkan kepalanya. Bukan ada siapa yang nak makan banyak-banyak dalam rumah ini, hanya ada dia, yang hanya makan sesenduk nasi. Suamiku yang makan sedikit sahaja. Aku! aku hanya makan sekali sahaja sehari kadang-kadang sahaja makan malam itu pun jika suamiku minta ditemankan. Anak tiriku yang sulung! Dia lagilah selalu sahaja makan di luar.

Hari ini nanti lihatlah, satu periuk besar gulai ikan masin dimasaknya. Lepas itu, mulalah tidak lepas-lepas di tangannnya ganggang telefon. Panggil anak-anak dan cucunya datang makan. Dah biasa macam tu, kalau siapapun tidak datang, masuk hari ke empat, lauk tadi itu akan terjun kedalam tong sampah.

Aku tidak perlu cakap apa-apa kepadanya. Tidak perlu tegur apa-apa. Dia akan ulang lagi dan lagi. Lebih baik biarkan saja apa dia nak buat. Tapi yang hairannya kenapa dia nak tanya aku? Aku selalu senyum dalam tangis.

Thursday, 18 October 2012

Novel 'DARJAT KASIH'~Bahagian pertama (Untuk Penilaian Karangkraf) Setelah diedit semula.


Novel 'DARJAT KASIH'~Bahagian pertama (Untuk Penilaian Karangkraf) BAB 1 ~ BAB 10, sekarang!!





Cepat! Sudah pukul 6.30 pagi, sebentar sahaja lagi mentari pagi akan menyinar. Rosak pula rancangan! Masdiana Idayu tergesa-gesa menyumbat beberapa pasang pakaian Amyra Adrya dan pakaiannya ke dalam sebuah beg besar. Segala dokumen penting juga jangan sampai tertinggal! Masdiana tahu di waktu ini ‘Along-along’ itu pasti tengah membungkam.
Mustapa, Lelaki Jawa itu juga, turut mengemas bajunya. Masdiana menjelingnya, namun tidak berdaya untuk berkata apa-apa.

“Zura, Maksu dah siap ni,”

“Ya, sekejap.” Masdiana segera mematikan telefon bimbitnya dan mengarahkan Amyra supaya keluar rumah dengan segera.

Zura, anak saudara lelaki Masdiana akan membawa mereka bertiga keluar dari situ. Zura tinggal selang beberapa buah rumah sahaja daripada rumah sewa Masdiana ketika itu.

“Ya Allah Ya Tuhanku, kau lindungilah kami dari segala mara bahaya, Amin Ya Rabbal alamin” Masdiana meraut mukanya. Wajahnya pucat dan keresahan. Namun Lelaki jawa itu hanya tenang dan bersahaja, pada dia seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku.

“Nak hantar ke mana ni?”

“Kau hantar saja kami, ke jalan menuju ke Air Hitam, jangan hantar ke stesen bas, Maksu bimbang kalau-kalau ada konco-konconya sedang memerhati di sana. Biar kami naik bas bersambung-sambung saja sehingga sampai ke Dungun.”

Masdiana benar-benar gelisah. Lelaki Jawa itu membisu. Amyra hanya diam dan sedia mengikut perintah ibunya.

“Berhenti saja di hadapan sekolah tu, lebih selamat”

“Baiklah, Maksu jangan lupa kirim salam kepada mak dan ayah saya ya? Jalan elok-elok, semoga selamat sampai” Zura bersalaman dengan Lelaki Jawa itu dan meninggalkan mereka bertiga di situ.

“Sudahlah Mus, kau janganlah ikut aku lagi, sampai di sini sajalah hubungan kita, pergilah kepada isteri dan anak-anak kau Mus, mereka pasti masih boleh menerima kau semula" Masdiana cuba memujuk Mustapa dengan lembut.

“Apa? Kau halau aku ya?” Mustapa menyepak beg pakaian Masdiana dengan sekuat hatinya, sehinggakan terpelanting hampir ketengah jalan. Mujur tidak ada kereta yang lalu.

Masdiana sempat mengambil beg pakaiannya kembali. Amyra memeluk Masdiana, tetapi tidak menangis. Ketika itu usia Amyra sembilan tahun. Terkebil-kebil mata Amyra memandang wajah bapanya. Watak begis seorang Lelaki Jawa yang bermisai tebal itu benar-benar membuatkan dada Masdiana berdegup kencang.
Masdiana diam. Dia bimbang kalau-kalau ada orang yang akan perasan gelagat mereka ketika itu. Lagi pun mereka berada di hadapan kawasan sekolah.

"Biarlah! Bersabar saja, nanti di suatu hari kau akan tahu juga siapa Masdiana" getus hati kecil Masdiana.

Masdiana menahan bas menuju ke Air Hitam, Masdiana duduk sebangku dengan Amyra, manakala lelaki Jawa itu duduk sendirian. Masdiana membayar tiket untuk mereka bertiga. Memang Lelaki Jawa itu tidak berduit! Habis buat bayar hutang ‘Along’! Masdiana menjeling Lelaki Jawa itu dengan perasaan panas hati. Jika terjadi apa-apa kepada Amyra, memang Masdiana tidak teragak-agak akan membunuh Lelaki Jawa itu! Masdiana peduli apa? Lelaki Jawa itu memang tidak bertanggung jawab, merosakan masa depanya dan Amyra. Sanggup meninggalkan anak dan isterinya sendiri dan mengikut telunjuk syaitan! Masdiana benar-benar marah. Tetapi pada masa itu, dia masih belum ada peluang untuk bertindak, walaupun dia mulai sedar. Sedar daripada perbuatan sihir Lelaki jawa itu.

*****
Malam itu juga, mereka sampai di Bandar Dungun.

“Abang Leh, boleh datang ambil kami sekarang tak?”

“Tunggu di rumah Mona ya, satu jam lagi, Abang Leh sampai." Setelah mematikan telefon bimbit, Masdiana menuju ke rumah anak saudara perempuannya itu, di flat Bijangga Dungun.

Mustapa tidak ada langsung perasaan malu. Pada dia, ilmu sihir yang sedang di tuntut itu akan dapat menarik kasih sayang keluarga Masdiana terhadapnya. Memang benar! Seluruh keluarga Masdiana tertarik dengan kelembutan budi bahasa Mustapa dan kasihan kepada Lelaki Jawa itu seorang sahaja.
Pelik! Semua anak-anak saudara yang lain menjadi dingin dan benci kepada Masdiana. Mereka semua menganggap perniagaan Lelaki Jawa itu hancur kerana Masdiana. Ya Allah! Hanya Allah sahaja yang tahu betapa selama ini, Masdiana tersiksa dan tertekan di dalam neraka ciptaan Lelaki Jawa itu.

Sebaliknya perniagaan kedai jahit Masdiana pula, terpaksa gulung tikar kerana Lelaki Jawa itu. Hutang bank sebanyak 12 ribu juga, terpaksa Masdiana tanggung sendirian, sedangkan Lelaki jawa itu yang kebas duit, untuk perniagaan ikannya. Apabila pusingan wang tidak cukup, Lelaki Jawa itu dengan mudahnya mempergunakan Masdiana sebagai penjamin, sewaktu membuat pinjaman daripada ‘Along’.

‘Along’ memang bijak, mereka hanya mahu menjerat peniaga-peniaga kecil dan akan mematikan perniagaan mereka saja. Apabila peniaga habis modal pusingan mereka akan menawarkan pinjaman dari kalangan mereka sendiri sehingga terjerat dengan ramai ‘Along’. Setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 malam, ‘Along-along’ itu akan mengawasi pergerakan Masdiana dan Mustapa. Rimas sungguh!

Masdiana dan Amyra menjadi mangsa ugutan ‘Along-along’ itu saban hari, sedangkan Lelaki Jawa itu diam bersembunyi di dalam bilik. Masdiana tidak dapat berbuat apa-apa, Masdiana hanya nekad, wang yang tinggal hanya sedikit itu, jangan dihabiskan semua untuk membayar hutang. Dan kini, Masdiana berjaya meloloskan diri dari cengkaman ‘Along’.

Di Dungun, Masdiana akan menumpang sementara di rumah kakak dan abang iparnya. Semuanya sudah dimaklumkan terlebih dahulu. Felda Jerangau adalah tempat yang paling selamat sebagai tempat persembunyian, sebelum mengatur langkah seterusnya untuk meneruskan kehidupannya yang sukar itu bersama anak kesangannya Amyra.
Lelaki Jawa itu, tidak habis-habis mengekori Masdiana. Dia tidak berdaya untuk memberitahu keluarganya hal sebenarnya. Mereka semua sangka Masdiana dan Mustapa benar-benar sudah bernikah.

Kenali watak-watak di dalam novel ini:-
Watak 1:Amyra Adrya (anak tunggal masdiana)
Watak 2:Afeqien Abduillah ( Ustaz muda)
Watak 3: Masdiana Idayu.(seorg ibu dan ayah )
Watak 4: Daneal Zul Qarnein (Tunang Farra Adeera)
Watak 5; Farra Adeera (Anak tunggal Datin Maznah)
Watak 6: Mustapa (lelaki Jawa)
Watak 7: Awang (abang kandung Masdiana)
Watak 8: Azizul Azrai (suami Masdiana)
Watak 9: Azmir Azril (anak tiri Masdiana)
Watak 10: Masripah (kakak kandung Masdiana)
Watak 11: Hajjah Hamimah. (ibu mertua Masdiana)
Watak 12: Suri dan Lela (kawan Amyra)
Watak 13: Datin Maznah (Mama Adeera)
Watak 14: Datin Mariam dan Dato' Zakaria (ibu bapa Daneal)


BAB 1
Di tempat kerja Amyra Adrya.


Tong!!... Pintu kaca 'Butik Permata' ditolak dari luar. Amyra Adrya tersentak dari lamunannya.

Sedari tadi Amyra sedang menyusun koleksi baju-baju baharu, yang baru sampai di butik tersebut, satu persatu diperhatikan. Amyra berangan-angan seandainya kesemua pakaian cantik tersebut miliknya, alangkah bertuahnya. 

Seorang pemuda tinggi lampai, berambut pendek dan berpakaian kemas masuk. Amyra mengamati pemuda tersebut. Dari wajahnya yang tampan dan bergaya itu, dia bukanlah sembarangan orang. Buat seketika Amyra terpegun. Dia berhenti menyusun baju-baju tersebut dan meluru ke arah pemuda kacak itu. .

 "Selamat pagi encik, boleh saya bantu?" ucap Amyra dengan suara yang lembut merdu.

Mata mereka bertemu seketika. Pemuda kacak itu terpaku. Diperhatikannya susuk tubuh Amyra. Kebaya labuh warna hijau pucuk pisang yang dipakainya kala itu membuatnya kelihatan cukup sempurna. Sepasang mata Amyra yang cantik, tidak berkedip apabila ditenung begitu. 

"Encik...di sini ada pelbagai pilihan tudung dan aneka fesyen baju terkini, semuanya direka khas oleh pemilik butik ini," jelas Amyra lagi memecah kesunyian.

Kebetulan pagi itu Datin Maznah keluar dengan dua orang pembantunya, kerana ada urusan di luar."Myra, jaga butik sekejap ya? lepas tengahari, kami balik semula," pesan Datin Maznah sebentar tadi. 

"Baik, datin..." kata Amyra sambil membuka pintu kaca Butik Permata untuk Datin Maznah. Butik ini entah cawangan yang ke berapa, Amyra pun tidak mahu ambil tahu. 

Butik ini baharu sahaja dibuka tiga bulan lepas, banyak lagi yang perlu ditambah dan disusun, sebab itulah Datin Maznah banyak menghabiskan masanya di butik ini. Butik ini luasnya satu lot kedai sahaja. Di Butik Permata ini, masih memerlukan pekerja. Amyra suka bekerja di butik pakaian, kerana mewarisi minat yang sama dengan ibunya Masdiana Idayu. Masdiana adalah seorang tukang jahit yang mahir. Amyra masih ingat lagi sewaktu dia masih kecil, ibunya pernah membuka kedai jahit di Kulai Besar, Johor. 

"Emm...saya nak beli sehelai selendang untuk bakal tunang saya, kami ada 'dinner' malam esok,” jelas pemuda kacak itu.

"Di sini ada banyak pilihan selendang Encik..."

" Daneal Zul Qarnein... panggil saya Daneal" celah pemuda kacak itu memperkenalkan dirinya.

"Nama you?" "Amyra, panggil saya Myra" Amyra tersenyum, sambil menggayakan selendang untuk dipilih Daneal.

"warna apa yang cantik?" "Untuk gadis yang berkulit cerah, warna krim ini cantik, batu permata dan juraian manik-manik di tepi selendang ini menambah lagi kejelitaan, tambahan pula, di waktu malam, pancaran lampu akan menaikkan lagi seri si pemakai" terang Amyra kepada Daneal, seperti dia mahir benar dalam bidang peragaan.

Amyra tersipu sendirian. Kalau pelanggan wanita susah untuk Amyra melayannya, mereka semua seakan sudah pandai memilih sendiri. Ada yang datang menunjukkan lagak. Kadang-kadang melihat-lihat sahaja tetapi tidak membeli. Itukah yang dikatakan 'window shopping?' tanya hati kecil Amyra. Buang masa.

"Saya ambil yang ini" Daneal memegang selendang berwarna krim, seperti cadangan Amyra tadi. Daneal melihat tanda harga, tanpa meminta diskaun, dia mengeluarkan wang kertas bernilai RM 300.00 kepada Amyra.

"Ini bakinya Encik Daneal, terima kasih, sila datang lagi"..ucap Amyra lembut. Jika ada sepuluh pelanggan seperti ini, lama-lama pun Amyra sanggup melayannya dengan senang hati. Amyra tersenyum sendirian.


BAB 2
Jamuan Makan malam di rumah Datin Maznah.

Hari ini, sabtu. Butik Permata akan dibuka sehingga jam 5.00 petang.

"Myra, petang nanti jangan lupa ke rumah saya, bantu anak saya mana yang patut, pukul 6.00 petang, pemandu saya akan datang jemput awak..." kata Datin Maznah mengingatkan Amyra.

Datin Maznah menjemput semua kakitangan syarikatnya untuk meraikan anak tunggalnya Farra Adeera yang baru saja tamat pengajiannya di luar negara. Farra Adeera sangat meminati bidang ' business study', sebab itu, tidak hairanlah jika gadis manis itu berjaya membawa pulang segulung ijazah. Datin Maznah yakin Deera akan dapat mengambil alih perniagaannya nanti. Selepas itu bolehlah dia bersara.

"Ibu, Myra pergi dulu ya, kereta pun dah sampai tu..." sambil bersalaman dan mencium pipi ibunya.

"jaga diri dan tingkah laku baik-baik, di rumah orang, jaga maruah kita." Masdiana memberi peringatan kepada anaknya. 

Amyra Adrya mengenakan sepasang baju kurung Pahang berwarna biru muda. Dipadankan pula dengan sehelai selendang yang dililit kemas. Dibiarkan sedikit hujung selendang yg bermanik halus itu terjuntai di pipi sebelah kirinya. Pin berbentuk bintang disemat kemas di tepinya supaya lebih menarik. Tona warna berbeza antara biru gelap dan biru cerah itu berselang seli, menaikkan lagi seri wajah Amyra. Bibirnya dicalit gincu berwarna oren muda. Pembayang matanya pula berwarna biru gelap gemerlapan.

Semua alat solek itu kepunyaan ibunya. Amyra belajar cara-cara mengenakan pembayang mata dan pemerah pipi daripada ibunya. Setelah Amyra pergi, Masdiana berdoa kehadrat Ilahi, semoga semuanya selamat.

Banglo tiga tingkat milik Datin Maznah tersergam indah.

"wah!...indah sungguh mahligai ini....bisakah aku mendapatkannya..." bisik hati kecil Amyra. Dia terasa begitu kerdil di situ. Dia mencuri pandang di kiri dan kanan kawasan banglo mewah itu.

" Cik Amyra, mari Mak Mah tunjukkan bilik Cik Puan Farra Adeera..." Amyra segera mengikuti Mak Mah, salah seorang orang gaji Datin Maznah yang paling lama dan dipercayai. Sepasang mata Amyra sempat berlegar-legar menghayati beberapa sudut di dalam banglo itu, yang rata-ratanya dihias indah

"Ini biliknya Cik Amyra..." Mak Mah berkata sambil mengetuk pintu bilik Farra Adeera. "Masuk..." terdengar suara yg tegas tetapi lembut, mempelawa. Mak Mah meninggalkan mereka berdua memperkenalkan diri masing-masing.

"hurm...cantik jugak, pembantu kedai baru mama ni," sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Amyra. Amyra terasa lapang dada dengan keramahan anak majikannya itu.

"Cik Farra tentulah lebih cantik...lihatlah gaun coklat muda ini sesuai sekali dengan selendang berwarna krim ini," puji Amyra ikhlas.

" Bakal tunang saya yang hadiahkan kepada saya semalam, katanya sesuai jika dikenakan dengan gaun ini, cantik tak?" tanya Adeera.

Amyra teringat, sewaktu Daneal memilih selendang itu di Butik Permata, kelmarin. Muka Amyra menjadi pucat. Tidak tahu kenapa. Dadanya berdegup kencang.

"Astaghfirullahal'Azdim" ucap hati kecil Amyra supaya bertenang.

"Sungguh padan sekali cik Puan" puji Amyra lagi.

"Ala, tak usahlah bercik-cik dengan saya, panggil jer Deera, kan lebih mesra," Sambil memegang erat kedua-dua belah tangan Amyra. 

Amyra merenung dengan kagum keanggunan wajah anak gadis Datin Maznah yang berusia awal dua puluhan itu. Wajah ayunya disolek dengan warna 'natural'. Menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Di halaman rumah, meja-meja berbentuk bulat telah di atur cantik. Meja-meja itu dialas dengan kain berwarna ungu. Kerusinya pula disarung dgn kain putih dan diikat dengan reben warna ungu. Cantik. Belon-belon berwarna ungu dan putih dijadikan pintu gerbang. Jambangan-jambangan bunga segar dan lampu-lampu neon berwarna-warni menambah keindahan pada malam itu. Pembesar-pembesar suara diletak di beberapa sudut penting. 'DJ' dijemput khas untuk memeriahkan lagi majlis itu.

Sudah ramai tetamu yang mula hadir. Datin Maznah sibuk melayan tetamunya. Lilin yang dipasang di setiap meja menjadikan suasana malam itu sungguh romantik. Karangan bunga mawar merah dan putih menggamit tetamu supaya duduk.

"Aunty, boleh Daneal berjumpa Deera sekejap?" tanya Daneal, kerana dari tadi dia tidak nampak pun kelibat bakal tunangnya. Dia resah. Tidak sabar untuknya menatap wajah Adeera pada malam itu.

"Silakan...Deera ada di biliknya," Datin Maznah mengizinkannya.

Dengan pantas, Daneal menghayun langkahnya menuju kebilik bakal tunangnya. Bilik Farra Adeera di tingkat satu. Dari atas 'balcony', akan nampak jelas pemandangan kolam ikan, kolam renang dan hiasan taman di halaman banglo itu.

Tok..Tok..! Pintu bilik Deera diketuk perlahan. Deera kenal benar dengan gaya ketukan itu. Deera tersenyum simpul lalu meluru ke muka pintu. Pintu biliknya dikuak cepat.

"Sayang...! kenapa lambat..!?" rengek Deera mesra.. Jemari mereka pun bertaut. 

Amyra terpegun sebaik-baik Daneal memusingkan tubuhnya bila terasa ada orang lain yang turut hadir di kamar itu. Lelaki itu! Lelaki yang mendapat layanan istimewanya ketika di butik hari itu. Tetapi kenapa dia harus berasa gugup dan goyah. Perlukah perasaan itu? Apapun Daneal tidak sempat memerhatikan Amyra kerana terpaksa fokus melayan gelagat manja Adeera.

Ah alangkah anggunnya tampang sepasang kekasih itu! Sungguh padan. Sama-sama tinggi lampai. Farra Adeera berkacukan Inggeris Melayu, berhidung mancung dan berkulit putih bersih. Daneal Zulkarnain yang segak mengenakan suite hitam, bagaikan seorang model yang sering terpapar di halaman-halaman majalah. Daneal masih tidak tidak sedar dirinya diperhatikan Amyra.

"Ehem..maaf, tumpang lalu, saya ingin ke bawah sebentar."

Daneal, tersentak seketika. Baru perasan. "Myra," bisik hatinya. "Cantiknya" hati kecil Daneal berbisik memuji-muji. Berbeza sekali penampilan gadis itu ketika ditemuinya di butik dulu.

Sepasang mata galak Daneal, memerhati gerak lengguk Amyra. Amyra adalah gadis kacukan Melayu Jawa. Berkulit kuning langsat. 

"Sayang..!" sergah Adeera. Daneal tersentak dari lamunannya.

"Siapa tu?". Daneal pura-pura bertanya.

"Ala..dia tu pembantu butik mama... jom! turun..." ajak Adeera.

Fikiran Daneal masih tertumpu kepada Amyra. Dia tidak tahu kenapa. Hati dan fikirannya tidak lepas-lepas terbayangkan wajah Amyra.

Di dalam bilik air, Ameera seperti mahu menangis. Dadanya berdegup kencang. Adakah dia cemburu?. Tidak mungkin. Siapalah dirinya.

Amyra teringat kata-kata ibunya, " jaga tingkah laku dan adab sopan di rumah orang, Jaga Maruah".

Amyra membetulkan pakaian dan tudungnya. Amyra cuba mengukir senyuman di cermin. Kaku terasa. Senyuman yang tidak ikhlas. Dia cuba juga, keluar dari tempat persembunyiannya itu. Sebaik sahaja Amyra melangkah keluar, tiba-tiba dari jauh, Amyra ternampak dua sejoli itu menuruni anak tangga satu persatu seperti puteri dan putera raja.

Gaun labuh Deera yang meleret menambah lagi keanggunan. Kali ini Amyra benar-benar rasa cemburu, apabila melihat mereka berpegangan tangan seiringan. Para tetamu pun turut mencuri pandang dan berbisik-bisik. Dato' Zakaria dan Datin Mariam tersenyum megah. Amyra masuk kembali ke dalam bilik air. Dinding yang penuh dengan batu marmar yang bersih berkilat itu, menampakkan wajahnya yang sugul. Sekali lagi Amyra menahan tangis sendirian.

Dari corong pembesar suara, Amyra mula terdengar ucapan Datin Maznah. Dia difahamkan Adeera dan Daneal akan ditunangkan pada bulan hadapan. Mereka juga akan dilantik menjadi orang penting dalam syarikatnya. Amyra tidak dapat tumpukan kepada ucapan Datin Maznah. Dia sekali lagi cuba untuk keluar dari tempat persembunyiannya itu. 

Amyra cuba bergaul dan duduk semeja dengan pekerja-pekerja lain. Memaksa dirinya berbual mesra dan sesekali tersenyum. Daneal masih mencuri pandang wajah Amyra Adrya, walaupun sesekali terpaksa melayan bakal tunangnya. Mereka duduk semeja bersama Dato' Zakaria dan Darin Mariam. 

"Cantik sungguh Deera malam ini," puji Datin Mariam, bakal ibu mertuanya.

"Terima kasih Aunty..." kata Deera sambil tersenyum.

Setelah selesai amanat dan ucapan yang disampaikan oleh Datin Maznah, semua hadirin di jemput menikmati hidangan. Lagu-lagu sentimental menjadi suasana bertambah tenang dan romantik.



BAB 3 Tidak bertepuk sebelah tangan.

Datin Maznah menjemput semua pekerja di syarikatnya ke majlis yang sederhana itu. Ada yang membawa ahli keluarga masing-masing. Dalam kesibukan itu, Datin maznah sempat juga beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Tetamu menjamu selera sambil berbual, sesekali kedengaran gelak ketawa. 

Amyra Adrya, menjamah hidangan dengan perlahan. Kemana melayang fikirannya, menerawang, menggangtang asap, sehinggakan tidak mendengar perbualan rakan-rakan semeja. Dia khayal dalam lamunan yang direka-rekanya sendiri. Sesekali Amyra mencuri pandang kepada Daneal yang duduk di meja hadapan. Namun wajahnya yang disimbahi cahaya lampu led di celah-celah pokok hiasan, jelas kelihatan. Amyra berdebar dan cemburu; terasa panas dadanya, apabila melihat kemesraan Deera. Amyra terasa pelik, kenapa dia mesti cemburu. Puas dia bertanya-tanya di dalam hatinya. Sudu dan garfu bermain-main di atas steak, tidak disuapkan ke mulut, bahkan ditusuk-tusuknya berkali-kali. Amyra melayan perasaannya sendiri.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, para tetamu semakin beransur untuk pulang. Dato' Zakaria dan Datin Mariam juga turut memohon diri. 
 "Daneal, mama balik dulu ya, jangan balik lambat; dan jangan nakal-nakal tau," Datin Mariam menjeling tanda amaran kepada anak tunggal kesayangannya. Setelah bersalaman, mereka pun berlalu.

"Datin, Deera, Myra pun nak balik dulu ya, ibu Amyra ada di rumah seorang tu," jelas Amyra kepada Datin maznah.

"Eh, kenapa tidak ajak ibu Myra sekali tadi, dapat juga berkenalan, tunggu sekejap ya, Myra..." 
Datin Maznah pandai menjaga hati pekerja-pekerjanya kerana pada pendapat beliau, untuk mencari pekerja yang baik bukan senang sekarang ini, tambahan lagi gadis-gadis sekarang lebih suka memilih kerja. Pekerja baginya adalah 'asset' penting dalam sesebuah syarikat itu. Pekerja yang didikasi dan tekun dalam pekerjaannya akan membuatkan syarikat untung berlipat kali ganda.

"Mak Mah, tolong bungkuskan makanan untuk Amyra bawa pulang ya... oh ya, Mak Mah ada nampak Deris?." Tanya Datin Maznah.

Dari tadi lagi Datin Maznah tidak nampak batang hidung Deris, pemandunya.

"Maaf Datin, Mak Mah terlupa nak bagitahu Datin, Deris ada bagitahu Mak Mah, dia terpaksa pulang, sebab isterinya sakit hendak bersalin. Agaknya dia ke hospital, mungkin Deris tak nak ganggu Datin, sebab itu dia tidak bagitahu Datin. lagipun Deris tergesa-gesa tadi." Kata Mak Mah sambil meminta maaf.


Semua tetamu mengucapkan terima kasih kepada Datin Maznah dan memohon diri untuk pulang. Ada yang datang dari jauh, yang mana bekerja di cawangan-cawangan di luar Kuala Lumpur. Ada juga yang menghantar wakil. Sebab itulah rakan serumah Amyra pun terpaksa keluar daerah untuk menggantikan tempat di cawangan-cawangan yang belum cukup pekerja buat sementara waktu. Jawatan-jawatan kosong telah pun diiklankan di dada akhbar untuk memenuhi kekosongan pekerja di beberapa cawangan Butik Permata milik Datin Maznah di seluruh negara.

"Deera, Aunty, Daneal pun ingin meminta izin untuk pulang, nanti apa pulak kata mama..." kata Daneal sambil menghadiahkan senyuman untuk bakal tunangnya.

"Daneal, Pak Deris dah balik, boleh tak, Daneal tolong tumpangkan Amyra kerumah pekerja di jalan Melati?" Tanya Datin Maznah kepada Daneal.

Dada Amyra berdegup kencang. Sekali lagi mukanya pucat. Cahaya lampu led berwarna hijau di situ dapat menutup wajah kelat Amyra saat itu.

"Aduh..macamana ni," detik hati kecil Amyra.

 "Tak apalah Daneal, pergilah, hantarkan Amyra, kasihan dia, dah malam ni, Deera dah penat sangat," Deera memegang tangan Daneal dengan mesra. 
Setelah bersalaman dengan semua, Amyra dipelawa Daneal masuk ke kereta. Pertama kali Amyra melihat kereta sebegini cantik. Model Mercedes Benz dua pintu, warna hitam. Apatah lagi untuk menaikinya. Sungguh bertuah dirasakannya pada malam ini. Macam dalam cerita Cinderella pula layaknya. Amyra tersenyum simpul. Perasan. Daneal membuka pintu untuk Amyra dan mempersilakan Amyra naik dengan mesra. Ternyata Daneal seorang yang sungguh romantik. Pandai ambil hati dan pada dirinya ada segala-galanya. Bertuah sungguh kepada sesiapa yang dapat memiliki Daneal.

Daneal memasuki kereta, seiringan enjin kereta dihidupkan, hati Amyra bergemuruh lagi, bagaikan petrol yang sedang mendidih. Malam yang pekat dan sejuknya penghawa dingin tidak terasa oleh Amyra. Hebat sungguh getaran perasaannya. Bertepuk sebelah tangan akan membuatkan dia kecewa; Amyra tahu itu. Sudah berkali-kali dia memujuk hatinya bahawa, dia tidak layak untuk Daneal. Daneal tidak akan memandangnya walaupun sebelah mata, Amyra yakin itu. Amyra malu untuk menatap wajah Daneal.

"Myra, kenapa dengan awak?, awak takut ke?" Terpacul soalan Daneal membuatkan Amyra tersentak dari lamunan. 

"Ti, tidak ada apa-apa..." jawab Amyra gugup.

Daneal tidak lepas-lepas memandang Amyra.

"Cantik dan menawan.” Detik hati kecil Daneal. Ramai gadis yang pernah dia jumpa, namun kecantikan Amyra sungguh berbeza sekali. Ada tarikan magnetik. Pertama kali dalam sejarah, Daneal membawa keretanya begitu perlahan. Supaya lambat sampai dan dapat menatap wajah Amyra sepuas-puasnya.

 "Berhenti di sini, En. Daneal, sudah sampai.” 
Daneal memberhentikan kereta mewahnya.

"Amyra, saya suka awak..." 
"Astaghfirullahal 'Azdim...." ucap Amyra perlahan, berkali-kali. 

"Tidak mungkin." Bisik hati kecilnya. 

"Izinkan saya keluar dulu En. Daneal..."

Daneal dengan pantas membuka pintu kereta buat gadis cantik yang sedang mencuri hatinya.

"Nanti kita jumpa lagi," pinta Daneal sambil menghulurkan sekeping kad kecil.

Amyra segera masuk ke halaman rumah teres dua tingkat, khas untuk pekerja itu, tanpa menoleh kepada Daneal. Dia benar-benar malu dan gementar kerana tidak menyangka sama sekali bahawa dia kini tidak bertepuk sebelah tangan.