Sunday 19 May 2013

Antara Dendam dan kemaafan


~Berpuluh2 tahun dia menderita kerana perbuatan sihir adiknya sendiri kerana dendam.
~Hampir seluruh akeluarganya menjadi tidak siuman gara-gara ilmu sihir yang terlampau banyak ditaruh melalui makanan dan di sekitar rumahnya. Astaghfirullahal azdhim..
~Perbuatan sihir itu bertujuan supaya semua orang membenci keluarganya. Tidak akan terlepas siksaan Allah terhadap orang itu. Kita sama-sama lihat nanti.
~Suatu hari, anak pensihir itu telah jatuh pengsan lalu tidak dibawanya ke hospital, kerana mungkin dia sudah mengetahuinya bahawa doktor tidak akan dapat tahu apa jenis penyakit anaknya. Lalu dihantarnya ke dukun dan ternyata dukun itu mengetahui segala apa yg berlaku itu adalah gara-gara jin yang dia bela sendiri telah memakan anaknya sebagai pemalasan. Masya Allah!
~Mangsa sihir itu saban waktu berdoa seiring dengan kesakitan yg dialaminya supaya Allah menghantar sihir itu kembali kepada tuannya. Dia benar2 berharap di suatu hari nanti segalanya akan terbuka nyata.
~Sihir itu juga supaya dia dan keluarganya hidup merempat dan dalam keadaan yang susah menderita sepanjang kehidupannya.
~Sekarang dia semakin menderita kerana penyakit peliknya itu, sehingga berulang-ulang kali keluar masuk hospital. Terkadang mengengsukkan badannya untuk berwudu' atau membuang air. Terkadang dia boleh berdiri dengan menggunakan  tongkat. Jika dia kesakitan teramat, dia meminta sering menumpang kasih anak menantunya. tetapi sungguh sedih dan terluka hatinya apabila menantunya secara tiba-tiba mendapat sakit-sakit, demam tidak kebah dan menantunya akan menjadi panas baran kepada anaknya. Begitulah kuatnya iblis dan jin yang dihantar pendendam itu. Apabila dia ke rumah anak dan menantu yang lain pun serupa juga, apabila jin dan iblis itu mengganggu menantunya dengan menyerang urat saraf sehingga menggigil. Cucunya akan menangis di tengah-tengah malam dan pelbagai ujian lagi sehinggakan menantu yang kedua itu pun membencinya. Apalah malang nasib dia ini. Lalu dia mengambil keputusan untuk tidak kemana-mana lagi. Biar dia mati seorang diri dan berulat pun dia sudah sanggup untuk menghadapinya.
~Dengan yang demikian, pensihir itu terus berdabik dada dan berbangga kerana semua orang menghormati dia dan dia menampakkan dirinya seorang yang hidup mewah. padahal semua kesenangannya itu kerana bersahabat dengan jin serta penuh dengan dendam kesumat, sehinggakan sanggup untuk membuatkan darah dagingganya sendiri hidup merempat. Semua harta pusaka kalau boleh biarlah jatuh ke tangannya seorang. Begitu zalimnya dia. Allah itu Maha Mengetahu.

Friday 10 May 2013

Cerpen; Kawanku Warak

Sekitar tahun 1994;
Aku masih ingat pada suatu subuh yang sunyi. Bumi masih lagi disimbahi cahaya rembulan. Terang. Sejuk dan damai. Keadaan dikampungku sepi sekali. Aku terjaga dari tidurku.

"Ah! aku dah lambat untuk ke sekolah?" kataku cemas.

Aku terus ke perigi, membasuh muka lalu mengenakan pakaian sekolah. Aku takut terlambat dan ketinggalan bas. Tentu pintu pagar sekolah akan ditutup oleh pengawas sekolah. Nama akan dicatit dan aku akan disoal. Aku tidak gemar jika perkara seperti itu berlaku lagi. Aku seboleh-bolehnya mahu mengelaknya.

Tapi kenapa sunyi sahaja pagi ini? Lain benar dari hari-hari biasa. Tidak kelihatan sebuah pun basikal kanak-kanak sekolah. Atau aku yang terlambat. sunyi dan sepi. Bagaikan semua makhluk di kampungku sedang lena tidur. Sedangkan tanah sudah terang benderang bagaikan pagi sudah mulai meninggi.
Lalu aku melangkah ke rumah jiranku. Anaknya adalah rakan baikku juga rakan sekolahku. Juga sepi. Aku menjadi hairan. Aku memandang ke langit. Bulan masih tersenyum melimpahi cahaya yang indah. Bayang-bayang badanku mengikut setiap langkahku.
Aku menunggu seketika, manalah tahu kalau-kalau kawanku itu sedang bersiap. Lama. Tidak ada tanda-tanda dan bunyi seperti ada orang sedang berjalan-jalan atau bergegas untuk ke sekolah.

Aku memberanikan diri untuk mengintai di bawah daun pintu yang renggang setengah inci dari lantai papan rumah kayu itu. Aku lihat ibunya, dia dan adik beradik lelakinya sedang menunggu bapanya untuk berjemaah.

"Oh! Masih terlalu awal. Belum masuk waktu subuh lagi kiranya. Mereka belum bersembahyang lagi" detik hatiku.

Alangkah bahagianya kehidupan sahabatku itu. Terdidik dengan baik sekali. Sedangkan aku masih terkial-kial. Tanpa jam loceng penggerak tidurku. Tiada radio untuk mendapat info. Hanya ada seorang ibu yang terlalu baik kepadaku. Tetapi dia  seorang yang buta huruf dan tidak mengikut perkembangan semasa. Rumah kami jauh dari masjid. Tidak sampai laungan azan. Ayah! Ayahku telah lama meninggalkan kami. Kalau ayah masih ada, tentu aku juga terdidik seperti kawanku itu. Aku tunduk sedih.

Aku masih mahu mengintai lagi. Tidak puas aku melihat kerukunan mereka. Ajaran agama yang begitu teratur. Aku melihat, ayahnya memegang sebuah kitab lalu membacanya. Kuliah subuh itu akan dimulakan sebelum menunaikan solat subuh. Jadi sahabatku itu akan mandi awal dan bersiap dengan telekung sembahyang beberapa minit sebelum masuknya waktu subuh. Apabila seluruh keluarga itu berkumpul di ruang tamu yang kecil itu, ayahnya akan membaca kuliah subuh dan membaca doa pagi. Setelah itu, barulah aku melihat mereka bersembahyang subuh berjemaah. Usai solat, mereka semua mengaminkan doa. Aku di tepi rumahnya pun mengaminkan doa.

Aku lihat, rakanku itu bergegas beredar dari situ dan egera menuju ke biliknya untuk bersiap ke sekolah. Menitik airmataku jatuh menimpa kasut sekolahku yang lusuh. Aku mengatur langkah menuju ke rumahku semula.

"Kenapa balik semula?"

"Baru subuh mak"

"Eloklah tu, mari makan dulu"

"Saya nak mandi dan sembahyang subuh dulu"

Aku terus ke telaga, mandi ala kadarnya, dan segera mengambil wudu'. Aku segera bersolat dan mengenakan pakaian sekolahku kembali. Aku masih sempat bersarapan.

Setelah itu, barulah aku lihat, bulan telahpun menghilangkan dirinya. Suria pagi mengambil tempat mencurahkan sinar yang indah berwarna jingga. Vitamin D yang kaya untukku menikmatinya ketika itu. Itulah vitamin untukku cergas dan ceria sepanjang masa. Kehangatan seperti itu sudah  tidak terasa lagi di zaman sekarang ini. Lapisan orzon yang kian terhakis dengan pencemaran. Ketika itu, udara segar di pagi hari, meresap ke dalam minda sesegar-segarnya. Tetapi tidak lagi sekarang, cahaya matahari yang terpanah itu akan menyakitkan kepala.

Sebaik sahaja aku melangkah ke bahu jalan. Aku melihat berduyun-duyun kanak-kanak sekolah, berpusu-pusu melalui jalan di hadapan rumahku untuk menuju ke sekolah. Ada yang berjalan kaki. Ada yang berbasikal dan ada yang di hantar oleh bapa masing-masing dengan motosikal.

Aku lihat, rakanku sedang memakai kasut di tangga batu rumahnya.
"Zizie, cepatlah. Nanti kita ketinggalan bas sekolah!" kataku dari jauh.
"Yalah aku dah siap ni" katanya.
Aku lihat ayahnya sedang bersiap untuk pergi kerja. Aku tidak ingat apakah pekerjaan bapanya pada waktu itu. Aku sudah lupa. Yang aku masih ingat dan rindu ialah terhadap kawanku itu.

Dia mengenakan tudung labuh ke sekolah. Kami bersekolah Agama. Wajahnya indah. Bersih. Mudah tersenyum dan anggun. Aku seorang yang agak nakal, suka mengajaknya bermain yang pelik-pelik. Aku sering mengajaknya bermain masak-masak. Berlakon drama dan lain-lain. Ibunya selalu bising dan tidak mengizinkan kawanku itu terlalu rapat denganku.

Pada suatu hari aku telah menganiaya seorang rakanku bernama Ida. Kalau pada Zizie, aku tidak sanggup. Aku sayang Zizie. Aku suka Zizie, dia seperti idola kepadaku. Kalau aku hendak berbuat apa-apa, tentu aku akan banding-bandingkan dengan perlakuan Zizie terlebih dahulu.  Zizie tak buat begitu atau tidak buat begini. Aku menyanjungi Zizie sehingga sekarang.
"Zizie, aku ada hantar surat kepada Ida"
"Surat apa?"
"Surat cinta"
"Dari siapa?"
"Akulah yang tulis. Saja aku nak kenakan dengan Ida tu. Dia tu nampaknya gatal sangat"
"Tak baiklah Milah. Berdosa tau"

Aku diam, tetapi aku sudah menyampaikan surat itu kepada Ida. Sudah terlambat, tentu Ida sudah menatapnya. Tentu Ida sudah gila baying setelah membaca ayat-ayat cinta karangan aku. Kalau bab mengarang, bagilah pada aku. Tentu dapat markah yang tinggi. Aku juga pernah masuk pertandingan pidato. Cikgu yang nampak bakat aku. Tetapi aku kalah. Pada masa itu, aku di serang darah gemuruh. Apa yang aku karang, aku tidak dapat menghafalnya dengan baik. Tunggang-langgang ayat yang aku lafazkan. Ada yang tergelak. Aku malu apabila teringat peristiwa itu.
"Ida ini ada surat daripada Zul. Alah budak tingkatan lima yang glamor kat sekolah kita ni. Dia bagi pada aku suruh sampaikan kepada kau semalam"
Ida nampak gembira sangat. Aku tersenyum dan ketawa sendiri sambil menutup mulutku. Jahatkan aku?
Esoknya Ida ditimpa perasan. Aku melihat gelagat Ida. Ida menghampiriku dan memberikan kepadaku sepucuk surat.
"Milah kau tolong sampaikan surat aku ini kepada Zul"kata Ida sambil tersenyum simpul.
"Baiklah, nanti aku sampaikan"
Ida gembira, sambil melilau-lilau mencari kelibat Zul ketika perbarisan pagi. Aku hanya tersenyum melihat gelagat Ida yang sudah terkena mainan yang aku reka sendiri. Kasihan kepada Ida yang menjadi mangsa kenakalan aku ketika itu. Mungkin di waktu itu, apa yang aku buat, tidak ada siapa yang menegahnya. Aku tidak ada cabaran, tidak ada keluarga besar seperti orang lain. Terdidik dengan adab dan sopan santun dengan sempurna.  Aku akan seronok apabila perkara yang aku lakukan itu mendapat kepuasan. Tidak kiralah perkara itu baik atau buruk.
Zizie dan Ida lebih muda setahun dariku. Sebab itu aku dengan mudahnya membuli mereka. Zizie hanya melihat perangai pelik aku dan tidak berani untuk menegurnya. Cuma Zizie masih mahu berkawan denganku. Pergi sekolah dan balik sekolah bersama-sama.
Aku tidak sabar untuk membaca surat daripada Ida. Setelah masuk kelas, aku menyimpannya di dalam beg sekolah. Aku tidak boleh mendedahkan surat cinta itu. Nahas! Kalau rahsia itu terbongkar. Aku jadi gelisah.  Nak tahu apakah tulisan balas daripada Ida. Aku memasukkan pula surat itu ke dalam kocek baju kurung sekolahku.

"Cikgu, saya hendak ke tandas sekejap"
"Pergi cepat sikit" kata cikgu.
Aku tidak minat untuk belajar mata pelajaran sejarah. Selalu aku ponteng kelas waktu pelajaran sejarah. Aku berjalan pantas ke tandas. Aku lihat, ada dua tiga orang murid-murid perempuan tingkatan satu sedang membetulkan pakaian masing-masing di hadapan cermin di dalam tandas perempuan itu. Aku segera masuk ke dalam tandas. Aku membuka surat itu dengan hati yang berdebar-debar. Seolah-olah aku pula yang sedang di lamun cinta.

"Waalaikumussalam...
Terima kasih saudara Zul kerana sudi untuk berkawan dengan saya. Memang sejak dulu lagi, saya berminat sangat untuk menjadi teman Zul. Tetapi hanya dalam diam. Tidak sangka saya mendapat surat dari Zul terlebih dahulu. Selama ini saya tidak berani, maklumlah Zul diminati ramai. Diharap selepas ini kita akan menjadi kawan rapat.
Sekian sahaja
Dari saya;
Ida."

"Siapa dalam tandas tu lama sangat? Buat apa ha?" terdengar suara kasar seorang murid perempuan di hadapan pintu tandasku.
Aku segera menarik pacu takungan air supaya dia menyangka aku telah selesai membuang air besar. Lalu surat itu aku melipatnya dan memasukkan ke dalam kocek baju kurungku semula. Aku membuka pintu tandas itu dan aku lihat seorang murid tingkatan lima itu sedang mencuka. Marah.
"Apalah dia tu, tandas lain ada, nak jugak masuk tandas yang satu tu" aku mengomel sendiri. Memang tandas itu satu-satunya menjadi kesukaan murid-murid. Kerana tandas itu bersih, baru dan airnya deras.
Aku segera masuk kembali ke kelas. Aku tidak dapat menumpukan perhatianku terhadap pelajaranku. Fikiranku telah tertumpu pada surat yang telah kubaca sebentar tadi. Haruskah aku membalasnya semula? Bagaimana? Bodohnya Ida. Dia tidak terfikirkah, bila masanya pulak aku baik dengan Zul budak paling top kat sekolah ini? Siapalah aku? Tak ada siapapun yang sanggup memandang aku walaupun sebelah mata. Aku ni, hitam dan buruk rupa. Nakal pulak tu. Hi hi hi  Aku berkata dan ketawa sendirian.
"Zizie, aku dah terima surat daripada Ida" beritahuku bangga.
"Eh, Milah, baik kau cakap terus terang dengan Ida, kalau tidak susah kau nanti. Berdosa besar kau. Kalau kau tak bertaubat kepada Allah dan meminta maaf dengan Ida. Kau tak boleh masuk Syurga tau?"
Aku jadi seram sejuk. Ketakutan menyelubungi jiwaku. Memang benar nasihat Zizie tu. Tapi bagaimana cara aku hendak menerangkan hal sebenarnya kepada Ida tu? Bagaiamana? Bilakah masa yang sesuai? Hatiku berdetik.
"Kau carilah masa yang baik Milah. Bagitahu dia. Kasihan dia"
Zizie seorang yang amanah. Dia selamba sahaja apabila berjumpa dengan Ida. Rahsia itu dikuncinya rapat-rapat. Dia mahu aku sendiri yang mengaku, bukan mendengar dari mulut orang lain. Nanti akan bertambah parah, katanya kepadaku. Bijak budak Zizie tu. Dia memang baik, sebab itu aku hormat padanya. Biarpun dia lebih muda dariku.
Dia terdidik dengan sempurna. Dengan jelingan bapanya sahaja, dia akan akur dan memahami. Tunduk dan bersembunyi. Itulah kekuatan yang ada pada bapanya. Mendidik akhlak dan agama yang cukup sempurna kepada anak-anaknya. Berbeza sekali dengan kehidupanku, walaupun aku adalah jiran yang paling dekat. Sepelaung. Tetapi cara kami sungguh berbeza. Aku adalah anak bongsu yang tidak sempat diperduli oleh kesibukan ibuku bekerja membanting tulang mencari rezeki untuk menyara persekolahan dan makan minum kami berdua. Sedangkan abang dan kakak-kakakku yang lain sudah berumah tangga dan mempunyai tanggungjawab mereka sendiri.
"Ida, petang karang kau datang ke rumah aku. Aku ada hal nak bagitahu kau" kataku kepada Ida pada suatu hari sewaktu kami sama-sama balik dari sekolah. Ida nampak ceria dan gembira. Dia tentu ingat, bahawa apa yang aku ingin ceritakan kepadanya itu adalah mengenai Zul yang telah menjadi pujaan hatinya siang dan malam itu.
"Pukul empat petang nanti aku datang" kata Ida dengan wajah yang berseri-seri. Walaupun matahari terik membakar wajahnya, dia tetap dapat mengukirkan senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Senyuman orang yang sedang di lamun asmara. Begitulah layaknya. Semuanya indah belaka.
Apa yang menjadi ingatanku terhadap Ida ialah sepasang bibirnya yang seksi. Mulutnya sentiasa terbuka, semasa berhadapan dengan semua orang. Senyumannya yang sangat cantik. Apabila bercakap, mulutnya bagaikan tersenyum. Gigi hadapannya tersusun rapi. Putih. Ida memang seorang gadis yang cantik dan manis. Aku sendiri pun tertawan dengan kecantikan bibirnya itu.
Kring! Kring! Bunyi basikal Ida sudah terdengar di halaman rumahku. Hatiku berdebar-debar. Takut untuk aku menghadapi saat untuk aku menyatakan kebenaran itu. Walaupun pahit, aku terpaksa akur dengan nasihat kawan baikku Zizie. Aku memijak menuruni anak tangga kayu di jemuran hadapan rumahku itu. Satu persatu. Perlahan-lahan kerana anak tangga itu ada yang sudah bergoyang. Pakunya sudah ada yang patah dimakan karat. Aku tunduk memandang bumi. Aku gentar untuk melihat wajah polos Ida. Aku jahat! Tega sekali aku menganiaya Ida yang lurus itu. Aku benar-benar berasa bersalah ketika itu. Semakin aku mendekati Ida, dadaku berombak kencang. Wajahku pucat bagaikan kehilangan semua darah yang ada di dalam tubuhku.

~Bersambung.